Mohammed Morsi
Mohammed Morsi
KAHERAH - Bantahan dan keganasan masih berterusan sehingga malam tadi apabila beribu-ribu rakyat Mesir meneruskan protes walaupun arahan perintah berkurung dikeluarkan oleh Presiden, Mohammed Morsi dua hari lalu.

Protes berterusan terutamanya ketika waktu malam di bandar-bandar yang dikenakan perintah berkurung iaitu di Port Said, Ismailia dan Suez.

Dalam pada itu, berpuluh-puluh orang dilaporkan maut setakat lima hari protes diadakan.

Sementara itu, gesaan Mohammed bagi mengadakan rundingan turut ditolak oleh pihak pembangkang.

Mohammed menggesa pemimpin pembangkang menghadiri sesi mesyuarat khas Ahad lalu bagi mencari usaha menenangkan keadaan tetapi ditolak.

Hanya parti Islamis saja yang bersetuju untuk turut sama dalam rundingan.

Protes besar-besaran bermula selepas mahkamah Port Said menjatuhi hukuman mati kepada pesalah yang menyebabkan kematian 21 orang semasa perlawanan bola sepak hampir setahun lalu.

Difahamkan angka korban akibat protes berkenaan meningkat sehingga 50 ke 60 orang dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan sejak Khamis lepas.