rangka kayu dinosaur
Beginilah bentuk kayu yang menyerupai dinosaur
KUALA NERUS– Sekali imbas ia seakan dinosaur dan bentuknya agak menakutkan. Begitulah penemuan pelik Mohd Rani Ngah, 48, ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan berdekatan anak Sungai Kampung Lingai, di sini.

Mohd Rani berkata, pada awalnya dia hanya nampak rangka kayu berkenaan di bahagian kepala dan apabila menghampiri kayu yang ditenggelami air itu, dia berasakan ia sesuatu yang menarik dan segera memaklumkan kepada rakan terdekat.

“Saya dan tiga rakan cuba untuk mengangkat kayu berkenaan, namun tenaga yang kami ada tidak mencukupi, justeru saya mengambil keputusan untuk menarik rangka kayu itu menggunakan jentera dan membawa balik ke bengkel untuk dibersihkan.

“Bentuknya seolah-olah dinosaur, di mana saya terpaksa memecahkan dinding bengkel bagi membolehkan kayu berkenaan dibawa masuk,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, dia mengambil masa kira-kira seminggu untuk membersihkan keseluruhan kayu yang berbentuk unik dan seakan-akan raksasa itu dengan menggantungnya di dalam bengkelnya.

“Sejak saya memaklumkan kepada rakan-rakan dan jiran berhubung penemuan kayu yang berbentuk pelik ini, membuatkan bengkel saya menjadi tumpuan ramai.

“Malah, ada yang datang mengakui takut dengan bentuk kayu yang terjadi secara semula jadi itu,” katanya.

Jelas Mohd Rani lagi, ada beberapa individu yang berminat untuk membeli kayu yang ditemuinya itu dengan tawaran harga mencecah RM3,000, namun setakat ini dia belum  bercadang untuk menjualnya kepada sesiapa.

“Setakat ini, saya belum bercadang untuk menjual kepada sesiapa, tetapi jika ada tawaran menarik, mungkin akan mempertimbangkan,” kata bapa kepada tiga anak yang sememangnya meminati seni halus dan kraf tangan ini.