KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan desakan supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Tabung Haji yang disandang sejak 2013.

Menurut Abdul Azeez, ini kerana beliau tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh merugikan TH.

“Selama dua hari ini saya diam daripada memberikan sebarang maklum balas. Saya tunggu sebab saya nak tahu apa isu yang akan dimainkan.

“Rupa-rupanya isu politik dan mereka mahu kaitkan saya sebagai pengerusi TH. Apa kena mengena? Kalau saya rugikan duit TH, bolehlah desak saya letak jawatan,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mendesak agar Abdul Azeez meletakkan jawatan sebagai pengerusi TH kerana dikatakan memberi kenyataan bercanggah berhubung pembelian tanah daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Tun Razak Exchange.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, beliau juga telah membuktikan kredibiliti apabila berjaya menambah jumlah dividen yang diterima pendeposit di TH.

“Sebelum ini, TH bayar dividen 5.5 peratus. Alhamdulillah, secara kebetulan sejak saya jadi pengerusi dan rakan-rakan lain dalam lembaga pengarah sertai TH, kita bayar dividen 6 peratus (bonus tahunan) tambah 2 peratus (bonus haji) jadi 8 peratus pada 2013.

“Tahun lalu pula kita bayar 6.25 peratus (bonus tahunan) tambah dua peratus (bonus haji) sebanyak 8.25 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Azeez meminta agar tiada pihak mengaitkan TH dengan kancah politik.

“Saya sedar sebagai ahli politik dan ahli Umno yang mempengerusikan TH, ada pihak yang tidak senang. Tapi percayalah saya bukan dilihat ahli Umno yang biasa.

“Saya ahli Umno dalam konteks parti dan fahaman politik saya. (Tetapi) dalam kerjaya, saya sentiasa berpaksikan ‘Habluminallah dan Habluminannas’ (hubungan kita dengan ALLAH dan hubungan kita sesama manusia),” katanya.