Sunday, May 10, 2015

Tabung Haji jual semula tanah dibeli daripada 1MDB di TRX





ABDUL Azeez bersama ahli lembaga pengarah pada sidang media berhubung isu TH dan 1MDB di Menara TH di sini hari ini. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) memutuskan untuk menjual semula satu plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada pertimbangan RM188.5 juta sebelum ini.



TH dijangka meraih keuntungan lebih RM5 juta daripada penjualan plot tanah itu seluas 1.56 ekar.



Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Rahim, berkata setakat ini sudah ada tiga pihak sedia membeli tanah ini dan urusan jual beli tanah ini akan dilaksanakan TH minggu depan.







Katanya, keputusan penjualan itu juga sudah diputuskan dan dipersetujui semua ahli Lembaga Pengarah TH.



"Kita pegang tanah ini sebulan saja dan kita sudah setuju untuk jual semula dengan sedikit keuntungan yang akan kita peroleh," katanya pada sidang media di Menara TH, pagi ini.



Mengikut Azeez, TH juga akan dapat semula 100 peratus wang yang dibayar kepada 1MDB untuk pembelian tanah itu.



Mengulas lanjut beliau berkata, Azeez berkata, keputusan menjual semula tanah dibuat atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi mengelak penyebaran fitnah secara berterusan, selain meredakan persepsi kurang baik dalam kalangan pendeposit.



Ahli Lembaga Pengarah TH yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Abdul Syukur Hussein juga berkata keputusan menjual semula itu dibuat bagi menghentikan fitnah daripada berterusan.



"Kita dah (sudah) bersetuju mengenai ini, supaya fitnah ini tidak berterusan, maka kita jual semula tanah," katanya.



Dalam pada itu, Azeez menjelaskan sekali lagi, pembelian tanah di TRX dibuat atas keputusan komersial dan bukan untuk 'bailout' atau menyelamatkan 1MDB. Penilaian dilakukan berdasarkan harga semasa oleh penilai profesional Jones Lang Wootton.



Abdul Azeez berkata, tawaran penjualan tanah berkenaan dibuat oleh 1MDB pada April 2013 pada harga RM220 juta dan selepas dua tahun dan dua sesi penilaian, ahli lembaga pengarah sebulat suara setuju dengan pembelian itu yang dimuktamadkan bulan lalu.



Pembelian tanah berkenaan, katanya, diunjurkan berpotensi memberikan pulangan keuntungan sebanyak sembilan peratus setahun, menepati sasaran pulangan pelaburan Tabung Haji sekurang-kurangnya enam peratus setahun.



Jika dilihat kepada nilai pembangunan kasar tanah berkenaan pada RM828 juta, ditolak kos pembangunan kasar sebanyak RM650.5 juta, Tabung Haji mampu memperoleh keuntungan sebanyak RM177.5 juta.



Penilaian tanah berkenaan pada RM2,774 sekaki persegi adalah lebih rendah berbanding beberapa transaksi yang dilakukan di kawasan berhampiran yang melebihi RM3,000 sekaki persegi, termasuklah pembelian tanah Kedutaan Jerman oleh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).



Mengenai konflik kepentingan, katanya, perkara berkenaan tidak berlaku kerana Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail yang juga ahli Lembaga Pengarah 1MDB berkecuali dalam semua proses membuat keputusan berhubung pembelian tanah itu.



Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Johan Abdullah yang juga Pengerusi anak syarikat 1MDB, Edra Energy Sdn Bhd, serta panel pelaburan Tabung Haji, Tan Sri Abdul Samad Alias yang juga anggota panel penasihat 1MDB, juga tidak terbabit dalam proses kelulusan di pihak 1MDB.



Abdul Azeez memberi jaminan kepada pendeposit bahawa simpanan mereka dijamin penuh oleh kerajaan dan wang yang digunakan untuk pelaburan adalah agihan dana mengikut peruntukan aset yang telah diluluskan oleh lembaga pengarah, iaitu sekitar RM11 bilion.



Hingga kini, katanya, Tabung Haji sudah melabur RM5.6 billion daripada peruntukan itu.



Pulangan daripada pelaburan berkenaan digunakan untuk subsidi dan pengurusan haji selain pengagihan keuntungan melalui hibah bonus tahunan di mana Tabung Haji telah membayar purata lebih enam peratus sepanjang tempoh 10 tahun kebelakangan ini.



Tabung Haji menganggarkan subsidi haji tahun ini berjumlah sekurang-kurangnya RM120 juta dengan subsidi bagi setiap jemaah dianggarkan sebanyak RM7,290 bagi mengekalkan kos jemaah menunaikan haji pada RM9,980 berbanding kos sebenar yang berjumlah RM17,270.

No comments:

Post a Comment