Sunday, May 10, 2015

Hari Ibu Paling Menyedihkan Buat Ibu Mangsa Nahas Helikopter


Diterbitkan: Ahad, 10 Mei 2015 11:37 AM
Datin Habibah Mahmud (kanan) bersama suaminya Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar.

BATU PAHAT: Sambutan Hari Ibu pada tahun ini menjadi sambutan yang paling menyayat hati buat Habsah Umar, 77, apabila beliau kehilangan anak ketiganya yang terlibat dalam nahas helikopter di Pakistan.

Hati Habsah hancur luluh setelah mengetahui bahawa anaknya, Datin Habibah Mahmud, adalah antara yang terbunuh selepas sebuah helikopter tentera yang dinaikinya terhempas dan merempuh sebuah sekolah di Naltar Valley pada Jumaat.

Beliau mengingati anak perempuannya itu sebagai seorang yang mesra, dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir serta tidak pernah gagal untuk membantu orang lain di sekelilingnya.

"Dia menghubungi saya dari Pakistan kira-kira dua minggu lalu dan itu merupakan kali terakhir kami bercakap," kata Habsah kepada The Star di rumahnya di Pekan Semerah di sini Sabtu.

Sambil menangis, ibu kepada sembilan anak itu berkata, Habibah sepatutnya kembali dan menetap di Malaysia dalam tempoh dua tahun lagi selepas suaminya bersara.

"Suaminya telah berkhidmat di Pakistan selama dua tahun dan mereka sepatutnya pulang selepas berkhidmat empat tahun pada tahun 2017.

"Saya terkejut apabila mengetahui mengenai berita ini di televisyen dan kami masih belum dimaklumkan sama ada jenazah beliau akan dibawa balik ke kampung halamannya di sini," kata Habsah.

Habsah berkata anak sulung Habibah telah berlepas ke Pakistan di sekitar pukul 1.30 petang Sabtu.

Ahli-ahli keluarga berkumpul di rumah mereka manakala rakan-rakan rapat juga dilihat singgah untuk menyampaikan ucapan takziah mereka.

Dilaporkan bahawa Habibah berada dalam helikopter bersama suaminya Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar, yang juga Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, bersama-sama dengan beberapa diplomat lain dan pasangan mereka dalam program rasmi apabila helikopter terhempas.

Dr Hasrul Sani terselamat dan kini dirawat di Hospital Gilgit di Pakistan.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa mayat Habibah itu dijangka tiba di Malaysia pada Ahad atau Isnin dan akan dikebumikan di Batu Pahat, Johor.

No comments:

Post a Comment