BIARPUN pelbagai pergolakan dilaporkan namun Marzuki tetap tenang walaupun menerima pelbagai berita di media mengenai pergolakan di Yaman, namun hati Mohd Marzuki Taib, 50, masih tenang dan yakin anaknya di sana selamat.

Anaknya Mohd Haaziq, 23, sudah empat tahun belajar dalam bidang Pengajian Syariah Islamiah di Ribath Al-Fath, Huraudhah, Yaman.

"Dia sudah tamat pengajian namun tidak mahu pulang kerana masih ingin menuntut ilmu di sana, sehinggalah peperangan tercetus dan keadaan tidak terkawal," katanya.

Hasrat untuk menyambung pengajian terpaksa dibatalkan kerana banyak kawasan terputus hubungan biarpun jarak tempat anaknya belajar dengan kawasan bergolak agak jauh.

“Malah hasrat abangnya, Muhammad Hadi (24), yang pada awalnya ingin turut serta melawat negara tersebut dan menjenguk adiknya itu juga terpaksa dibatalkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pasir Panjang di sini.

Bercerita mengenai sejarah pendidikan anaknya itu, pada awalnya dia menghantar Haaziq belajar di Madrasah Al-Hidayah, Lorong Haji Da, Batu Buruk, sementara menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Langkah itu adalah sebagai percubaan agar anaknya dapat meneruskan pengajian dalam bidang agama, seterusnya menyambung pengajian di Yaman, walaupun dia sebenarnya tidak menaruh harapan tinggi.

Anak-anaknya yang lain turut dihantar ke madrasah sama namun hanya untuk pengajian asas.

“Saya tidak sangka, dengan rela hati dia sendiri ingin meneruskan pembelajarannya di situ (Madrasah Al-Hidayah) dan mendapat sokongan daripada ustaz.

"Sebab sebelum ini, abangnya pernah beritahu saya, dia ingin mendalami bidang agama kerana ramai rakannya belajar di luar negara (Indonesia)," katanya.

Kata Marzuki, ketika itu dia belum terfikir untuk melepaskannya memandangkan dia anak sulung, meskipun dia bersekolah di SMA Ladang.

Sebaliknya, dia menghantar Muhammad Hadi untuk melanjutkan pelajaran ke Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas).

Marzuki berkata, anak sulungnya juga pernah melahirkan rasa cemburu apabila dia mengizinkan anak keduanya itu belajar di Yaman.

Menurut Marzuki, sistem pendidikan di negara ini bagus, cuma dia mahu salah seorang anaknya mendalami bidang agama kerana dengan ilmu agama yang kukuh sahaja dapat jadi pendinding pada masa hadapan.

“Jika asasnya, solat dijaga, insya- ALLAH yang lain tiada masalah. Malah jika pergi ke mana sekalipun, pergaulan dan batas akan dijaga dan kita sebagai ibu bapa tidak akan risau perkara itu,” katanya.

Bagaimanapun, perasaan berbeza dialami isterinya, Zalina Mohamad, 43, apabila mendengar pergolakan yang berlaku di Yaman. Sebagai ibu hatinya tersentuh memikirkan keselamatan anak keduanya itu.

“Selagi whatsapp tidak dibalas, hati saya bimbang. Tetapi apabila menerima respons...saya lega. Siapa tak risau tidak melihat anak depan mata, apatah lagi dengar keadaan makin teruk di sana,” katanya.

Menurutnya, Haaziq berhasrat untuk pergi semula ke Yaman jika ada peluang, tetapi jika tidak berkesempatan, mungkin dia akan menjadi tenaga pengajar di Madrasah Al-Hidayah, tempat dia belajar sebelum ini.

“Kami sebagai ibu dan bapanya akan menyokong apa sahaja perancangan masa depannya kerana yakin pilihannya itu adalah yang terbaik untuk dirinya,” katanya.