Sunday, May 10, 2015

PM Perlu Telus, Jujur Jelas Isu Libatkan Tabung Haji - Ketua Umno Bahagian


Diterbitkan: Ahad, 10 Mei 2015 2:12 PM

PETALING JAYA: Beberapa jam sebelum sambutan ulang tahun ke-69 Umno pada Isnin, ketua Umno bahagian akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi bagi menjelaskan isu terkini membabitkan wang rakyat.
Pertemuan yang dijadualkan berlaku pada tengah hari di Seri Perdana, Putrajaya itu adalah yang kedua seumpamanya dalam tempoh dua bulan.
Pertama kali ia diadakan susulan isu kontroversi berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kali ini, juga melibatkan syarikat berkenaan tetapi mengheret satu lagi entiti yang dekat dihati rakyat - Tabung Haji (TH).
Pada pukul 3 petang hari sama juga, akan berlangsungnya mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijangka membincangkan prestasi Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh, selain isu semasa bekaitan 1MDB dan TH.
Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, semua pemimpin bahagian menantikan tarikh dan masa yang ditetapkan itu kerana ia penting untuk meredakan kekeliruan di peringkat akar umbi.
"Kita harap sangat, Presiden parti akan jelaskan sejujur-jujurnya dan dengan telus semua persoalan yang timbul melibatkan Tabung Haji.
"Jika tidak, sukar untuk kami di peringkat bahagian nak jelaskan kepada ahli akar umbi yang rata-rata kesal dan marah dengan perkembangan terbaharu ini, semuanya kerana mereka tidak faham hal sebenar," katanya ketika dihubungi mStar Online, Ahad.
Ismail berkata, walaupun dikatakan ia pertemuan biasa dengan pemimpin tertinggi parti, pihaknya tetap menunggu penjelasan berkaitan isu 1MDB dan TH kerana apa yang diperkatakan itu dapat membantu menangkis tohmahan pembangkang.
"Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kita perlu cari jalan terbaik untuk selesaikan hal ini dan tanpa penjelasan telus mengenai apa yang berlaku sukar untuk jentera parti menangkis hujah pihak yang cuba menggoyahkan keutuhan Umno," katanya.
Sementara itu, bagi Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, suasana di peringkat akar umbi Umno disifatkan dalam keadaan tidak baik susulan isu terkini yang diperkatakan ketika ini.
"Tidak baik, isu 1MDB dah teruk, sekarang lagi teruk apabila timbul pula hal pembabitan Tabung Haji," katanya.
Mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri pula, beliau mahu mengambil sikap tunggu dan lihat, bagaimanapun masih tetap dengan pendirian untuk memperjuangkan kelangsungan Umno.
"Saya akan tengok dulu suasana pada pertemuan itu sebelum bertanyakan hal semasa," katanya.
Selain dikritik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana kontroversi 1MDB, pentadbiran negara juga diheret dengan pelbagai isu yang menimbulkan keresahan rakyat termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang menjadi modal pembangkang pada dua PRK yang diadakan baru-baru ini.
Pada Mac lalu, Najib bertemu 160 daripada 191 ketua Umno bahagian serta sayap parti bagi memberi taklimat mengenai isu berkaitan 1MDB.
Perdana Menteri turut mengarahkan Ketua Audit Negara menjalankan audit ke atas 1MDB dan setakat ini hasilnya belum didedahkan kepada umum.

No comments:

Post a Comment