Kata beliau, proses pengundian semalam dicemari dengan insiden pergaduhan sehingga mendatangkan kecederaan kepada pasukan keselamatan yang bertugas.
Malah jelasnya, sikap yang ditunjukkan sekumpulan penyokong parti politik semalam juga disifatkan sebagai sangat tidak bertamadun.
“Perkara yang terjadi pada pilihan raya semalam tidak sepatutnya berlaku. Malaysia dan penduduknya telah matang tetapi sikap seperti melontar batu ke arah pemberita, bergaduh dan menimbulkan provokasi ketika meraih undi adalah sangat tidak bertamadun.
“Saya boleh sifatkan pilihan raya semalam adalah antara yang terburuk. Mereka mempersoalkan tindakan polis sedangkan langkah-langkah yang diambil sentiasa dijalankan di mana-mana pilihan raya sama ada pilihan raya umum (PRU) atau PRK.
“Aktiviti flushing untuk mengesan objek-objek berbahaya seperti bom sememangnya diketahui akan dilakukan tetapi ada pihak sengaja mempersoalkan tindakan polis sehingga sanggup mengepung polis. Kenapa perlu pertikai kerana tindakan itu dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu,” katanya,
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) ekoran persaraan Pengarahnya, Datuk Zubaidah Md. Ismail di Mess Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
PRK Permatang Pauh semalam dicemari dengan pelbagai insiden kekecohan yang menyaksikan beberapa orang cedera termasuk media dan petugas keselamatan diserang penyokong fanatik parti politik.
Malah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof sendiri menyifatkan PRK berkenaan adalah paling ganas kerana tindakan penyokong yang terlalu agresif.
Dalam perkembangan sama, Khalid turut mencadangkan agar SPR mengharamkan aktiviti meraih undi pada hari pengundian bagi mengelakkan sebarang kekecohan seperti yang terjadi di Permatang Pauh.
“Saya mahu memberi pandangan kepada SPR untuk mengharamkan aktiviti meraih undi kerana tiada sebab perkara itu perlu dilakukan kerana tempoh bagi ahli setiap parti berkempen sudah ditetapkan.
“SPR boleh kaji pandangan untuk menghapuskan aktiviti itu supaya risiko untuk terjadinya aktiviti keganasan tidak berlaku. Hari akhir kempen sudah cukup untuk meraih undi malah bagi saya, kempen menyokong mana-mana parti telah dilakukan sepanjang tahun,” katanya.
Ditanya tentang jumlah laporan polis berhubung insiden keganasan berkenaan, Khalid memberitahu, pihaknya menerima lebih 100 laporan.
“Saya tidak sempat melihat jumlah sebenar laporan polis yang dibuat tetapi kertas siasatan setiap laporan yang dilakukan telah dibuka,” katanya.