Sunday, May 10, 2015

Perjanjian Tanah Tabung Haji Tidak Dibincang Di Kabinet - Dr Wee


Diterbitkan: Ahad, 10 Mei 2015 2:25 PM
Datuk Dr Wee Ka Siong

PETALING JAYA: Kabinet tidak membincangkan mengenai transaksi pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) Lembaga Tabung Haji daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad, Dr Wee berkata beliau tidak tahu tentang perjanjian tersebut dan hanya mendapat maklumat mengenai isu ini daripada media.

"Mungkin ini masa yang tidak baik untuk Tabung Haji membeli sebahagian daripada tanah Tun Razak Exchange (TRX) atau sebaliknya adalah bijak untuk ia mempertimbangkan prospek pelaburan lain dan bukannya terlibat dalam kontroversi 1MDB pada masa ini.

"Lembaga Pengarah 1MDB dan Lembaga Tabung Haji perlu menjawab semua pertanyaan yang dibangkitkan oleh orang ramai terutamanya pendeposit bagi kepentingan ketelusan dan tadbir urus yang baik," katanya.

Urus niaga itu mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan pertubuhan bukan kerajaan.

Tabung Haji mempertahankan keputusan untuk membeli tanah tersebut dengan berkata tanah berkenaan yang berkeluasan 0.66 hektar dibeli atas keputusan komersil dan bukan untuk 'bailout' atau menyelamatkan 1MDB.

Pada hari Sabtu, Tabung Haji berkata menerima tiga tawaran daripada pihak yang berminat membeli tanah tersebut dan dijangka memuktamadkan perjanjian dalam tempoh dua minggu.

Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata mereka bertindak atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menamatkan kontroversi yang telah menjadi berita utama sejak beberapa hari lepas.

No comments:

Post a Comment