Anggota kumpulan Lax Kw’alaams First Nation daripada komuniti British Columbia di Port Simpson dan Prince Rupert menolak pakej faedah yang dikemukakan dalam pengundian berasingan yang diadakan pada minggu ini.
Pengundian pusingan ketiga akan diadakan di sini pada Selasa ini dengan keputusan daripada tiga undian itu akan menjadi keputusan datuk bandar dan majlis perbandaran yang dianggotai 3,600 ahli kumpulan peribumi.
Lax Kw’alaams merupakan satu daripada beberapa masyarakat peribumi Kanada yang mengadakan rundingan dengan Petronas bagi membangunkan projek LNG Pacific NorthWest bernilai AS$11 bilion (RM35.9 bilion) yang menjadi sebahagian daripada projek pelaburan berjumlah AS$35 bilion (RM125.7 bilion) oleh syarikat minyak dari Malaysia itu dalam industri gas asli di Kanada.
Penentang projek itu mendakwa fasiliti itu di Kepulauan Lelu memberi ancaman kepada habitat ikan salmon dan menimbulkan kebimbangan tentang kesan pembangunan di persekitaran kawasan itu.
Petronas berkata, mereka komited untuk melindungi spesis ikan itu dan habitat mereka dan telah membuat beberapa perubahan ke atas reka bentuk yang bersesuaian dengan kebimbangan masyarakat peribumi itu.
Satu kajian alam sekitar persekutuan tentang cadangan terminal itu ketika ini sedang dijalankan.
Datuk Bandar Lax Kw’alaams, Garry Reece berkata, beliau tidak dapat mengulas proses itu, walaupun paparan Facebook oleh anggota komuniti itu mengesahkan tawaran itu ditolak dalam kedua-dua pengundian itu minggu ini.
Tawaran itu seperti yang digariskan dalam sekeping memo oleh majlis Lax Kw’alaams termasuk 1 bilion dolar Kanada (RM2.9 bilion) dalam bentuk tunai daripada Petronas dalam tempoh 40 tahun disertai pakej tanah bernilai 108 juta dolar Kanada (RM320 juta) daripada kerajaan tempatan. – REUTERS