Wednesday, July 23, 2014

18 terbunuh di Mindanao


Cotabato: Peningkatan perseteruan antara tentera Filipina dan kumpulan pemberontak Muslim di selatan negara itu membunuh 18 orang dalam keganasan seharian, kata pasukan keselamatan.

Seramai 17 anggota Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) dan seorang tentera maut dalam tembak-menembak di Mindanao kelmarin.


Komander tentera tempatan, Brig Jen Eduardo Pangilinan berkata tentera terbabit terbunuh dalam serangan lebih awal. “Pemberontak itu pula dibunuh selepas kami membalas semula serangan berkenaan serta dalam operasi susulan,” katanya kepada media semalam. Walaupun semalam tiada pertempuran dilaporkan tentera tetap berjaga-jaga dengan helikopter terbang membuat pengawasan, manakala kereta perisai ditempatkan di jalanan Cotabato City. Menurut Pangilinan, walaupun tiada sebarang serangan lanjut dibuat operasi di lapangan tetap dijalankan.



Pertempuran bermula awal pagi kelmarin ketika gerila BIFF menyerang pos kawalan tentera di Maguindanao.


Keganasan kemudian merebak ke wilayah Cotabato Utara yang terletak bersebelahan sebelum gerila BIFF berundur. Sementara itu jurucakap BIFF Abu Misry Mama mempertikaikan dakwaan tentera dengan berkata, hanya empat anggotanya terbunuh. “Kami tidak pernah menipu jumlah kematian kerana mati sebagai mujahidin adalah mulia,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

No comments:

Post a Comment