Wednesday, July 23, 2014

Khalid tak terkesan


Oleh Hadzlan Hassan dan Na’imah Mohamed

Shah Alam: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tetap akan menjalankan tugasnya seperti biasa malah berharap rakyat dan pelabur di negeri itu tidak terpengaruh dengan berita atau fitnah yang tersebar.

Kenyataan itu sekali gus membayangkan beliau seakan tidak terkesan dengan pengumuman Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baru dalam satu mesyuarat di Ibu Pejabat PKR semalam.

Harian Metro difahamkan keputusan melantik Dr Wan Azizah dibuat tanpa kehadiran Timbalan Presiden parti berkenaan, Mohamed Azmin Ali yang kini berada di Makkah kerana sedang mengerjakan umrah.

Dalam kenyataan dikeluarkan kepada media semalam, Abdul Khalid berkata, beliau menghormati keputusan PKR yang mencalonkan Presidennya Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar namun pada masa sama beliau berpegang teguh kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Saya menghormati keputusan politik itu namun saya berpegang teguh kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menetapkan tatacara khusus bagi pelantikan atau penggantian Menteri Besar.

“Saya akan menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan penuh tanggungjawab, tekun dan amanah seperti diamanahkan oleh rakyat Selangor yang memilih saya melalui proses pemilihan yang sah,” katanya.

Abdul Khalid turut menegaskan bahawa isu perebutan jawatan itu tidak sedikit pun menjejaskan sistem pentadbiran negeri.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Datuk Shamsudin Lias menyifatkan tindakan Anwar mengumumkan isterinya sebagai Menteri Besar Selangor hanya mengundang kepada krisis dalaman parti yang berterusan.

“Saya melihat pelantikan itu tidak akan menyelesaikan kemelut perebutan kuasa di dalam parti itu sebaliknya hanya mewujudkan tidak puas hati dalam kalangan penyokong Abdul Khalid dan Mohamed Azmin yang sebelum ini turut bercita-cita mengisi jawatan berkenaan,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

No comments:

Post a Comment