Wednesday, July 23, 2014

Prabowo tarik diri proses pengiraan undi Presiden



AFP
PRABOWO berucap di depan para penyokongnya sebelum pengumuman pengiraan undi di Jakarta semalam.


JAKARTA - Bekas Jeneral tentera Indonesia, Prabowo Subianto semalam menolak proses pilihan raya Presiden negara ini yang didakwa beliau sebagai tidak adil dan menarik diri daripada proses pengiraan undi.
Pengumuman Prabowo itu dibuat ketika Suruhanjaya Pilihan Raya sedang memuktamadkan jumlah undi pilihan raya yang bermula pada 9 Julai lalu dan bersedia untuk mengumumkan pemenang semalam.
Beribu-ribu anggota polis ditempatkan di sekitar pejabat suruhanjaya itu di Jakarta sebagai langkah keselamatan dan mengelak berlakunya sebarang pergaduhan.
Selepas satu perjumpaan dengan pemimpin parti gabungannya, Prabowo mengisytiharkan terdapat penipuan besar-besaran ketika pilihan raya tersebut dan menganggap ia tidak demokratik.
"Kami menolak pilihan raya Presiden 2014 yang tidak mengikut undang-undang dan atas sebab itu kami menarik diri daripada proses ini," katanya.
Prabowo juga mengarahkan beberapa wakil partinya meninggalkan bangunan suruhanjaya pilihan raya yang menjadi lokasi proses pengiraan kertas undi di lima wilayah terakhir sedang berjalan.
Pilihan raya Presiden kali ini dianggap yang terburuk sejak Indonesia yang mempunyai seramai 240 juta penduduk Islam ini bebas daripada pemerintahan bekas diktator, Suharto selama 16 tahun.
Penyokong kedua-dua calon menggunakan media sosial untuk menyerang lawan masing-masing dan penyokong Prabowo mengetuai kempen memburukkan Jokowi dengan mendakwa pemimpin itu tidak beragama Islam.
Jokowi yang pernah bekerja sebagai usahawan perabot dianggap dekat dengan rakyat berbanding dengan golongan elit pegawai tentera dan ahli perniagaan kaya yang menguasai negara ini sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Beliau sering dilihat memakai baju kemeja dan peminat muzik heavy metal itu sering membuat lawatan mengejut di kawasan kejiranan miskin.
Seramai 190 juta penduduk di negara itu layak mengundi untuk memilih Presiden baharu setiap lima tahun sekali. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz38F6vh1Zr 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment