Wednesday, July 23, 2014

Heroin RM58,000 dalam lubang simen


Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Taktik seorang lelaki disyaki pengedar menyembunyikan dadah jenis heroin dalam lubang khas lantai simen di sebuah bilik tidur terbongkar dalam serbuan di Kampung Cherang Ruku, Pasir Puteh, Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan Ops Cantas Khas Bersepadu dan Ops Jala jam 12 tengah hari itu, polis merampas 29 botol disyaki mengandungi heroin seberat 134 gram bernilai RM58,000 di rumah kedai berkenaan.

“Pada mulanya polis menemui satu botol dadah disyaki heroin pada badan suspek ketika dia berada di tepi kedai makan.



“Suspek kemudian membawa polis ke rumah kedai itu dan menemui 28 lagi botol disimpan dalam lubang lantai simen di bilik tidur.

“Siasatan awal mendapati suspek bergerak solo melakukan kegiatan itu sejak dua bulan lalu dan ujian mendapati dia negatif dadah.

“Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan berasingan, sepasang suami isteri dan empat lelaki ditahan di sebuah bangsal dan polis merampas 594 pil disyaki pil kuda dan enam pil hijau dianggarkan bernilai RM15,150 di Kampung Cherang Tok Rong, Bunut Susu, Pasir Mas, Isnin lalu.

“Mereka yang berusia 23 hingga 28 tahun itu ditahan ketika berbual dan dipercayai baru sebulan terbabit dengan kegiatan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui tiga peket plastik biru disyaki mengandungi sejumlah pil berkenaan dalam satu beg sandang pada seorang daripada lelaki terbabit berusia 26 tahun dipercayai ahli kumpulan itu,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap seorang daripada suspek menjumpai dadah jenis pil kuda dan satu tiub penyedut minuman berisi ketulan kristal.

“Seorang daripada ahli kumpulan itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 manakala empat suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) mengikut akta sama kerana memasukkan dadah dalam badan, selain ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB.

Polis juga merampas wang tunai RM5,000.

“Siasatan awal mendapati lima suspek yang ditahan itu mempunyai rekod kesalahan lampau dan positif dadah jenis methampetamine,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

No comments:

Post a Comment