• Nur Suriati dan suaminya, Tuan Nasir tabah menjaga Tuan Nur Batrisyia.Nur Suriati dan suaminya, Tuan Nasir tabah menjaga Tuan Nur Batrisyia.

KUALA TERENGGANU – “Saya harap dia sihat dan bebas dari masalah kesihatan lain, itu saja,” demikian doa Nur Suriati Dakta, 34, ibu kepada Tuan Nur Batrisyia Tuan Nasir, 6 bulan, yang mengalami masalah Hydrosephalus iaitu kepala besar.

Nur Suriati meluahkan harapan itu selepas Tuan Nur Batrisyia dilaporkan sukar untuk sembuh dan normal seperti bayi lain kerana kepalanya membesar sejak dalam kandungan, bukan selepas dilahirkan.

Hati ibu mana yang ingin melihat anaknya menderita. Tapi itulah hakikat yang terpaksa diterima Nur Suriati bersama suaminya, Tuan Nasir Tuan Dalam, 30, seorang pekerja buruh yang tinggal di Kampung Pulau Duyong, di sini.

Hydrocephalus merupakan penyakit yang menyebabkan kepala penghidapnya membesar tiga kali ganda daripada saiz normal berikutan lebihan cecair di dalam otak.

Penyakit dikesan ketika kandungan 7 bulan

Menurut Nur Suriati, dia mengetahui keadaan anaknya tidak normal seperti bayi lain ketika usia kandungannya berusia tujuh bulan.

Saat itu katanya, tiada perkataan yang mampu menggambarkan perasaan sedihnya, namun dia terpaksa kuatkan semangat untuk menerima takdir ALLAH untuk cahaya mata keduanya itu.

Beberapa hari selepas dilahirkan, Tuan Nur Batrisyia dibedah bagi memasang tiup khas dari otak ke perut untuk mengeluarkan lebihan cecair di kepalanya, sekali gus menghalang kepalanya dari terus membesar.

Bagaimanapun, bayi tersebut sekali lagi dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 3 Julai lalu untuk menjalani pembedahan memasang semula tiub itu selepas tiub asal sudah dijangkiti kuman.

“Dia anak yang baik, tidak banyak meragam dan mudah dijaga kecuali ketika sakit. Apa pun saya reda dengan ketentuan ALLAH,” katanya yang meninggalkan puteri sulungnya berusia  dua  tahun, Tuan Nur Balqis dengan ibunya sepanjang berada di HSNZ.

Dengan keadaan Tuan Nur Batrisyia yang memerlukan penjagaan rapi, pasangan tersebut memerlukan sekurang-kurangnya RM600 sebulan sebagai belanja menyediakan keperluan bayi itu terutama susu khas dan lampin pakai buang.

Namun, dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan, kehidupan empat beranak itu agak sukar kerana selain menyediakan keperluan Tuan Nur Batrisyia, wang itu juga digunakan untuk urusan belanja harian.

Gamet hulur bantuan

Prihatin dengan nasib bayi terbabit, Pertubuhan Gabungan Media Terengganu (Gamet), yang merupakan sebuah badan kebajikan bukan kerajaan yang dikelolakan oleh pengamal media di negeri ini melancarkan Tabung Bantuan Kecemasan Khas (TBKK) bagi membantu golongan susah dan tidak berkeupayaan.

Setiausahanya, Rozainah Zakaria berkata, Gamet berfungsi sebagai medium pengantara di antara pengamal media dengan golongan tersebut bagi meringankan beban yang ditanggung mereka dengan mengumpul dana yang didermakan orang ramai.

“Media adalah orang pertama yang tahu kesusahan yang mereka lalui. Jadi, tak salah bagi pengamal media di Terengganu melancarkan tabung bantuan di bawah satu pertubuhan berkonsepkan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran TBKK di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini semalam. Tabung itu dilancarkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Anwa Sulaiman.

Menurut Rozainah, penubuhan Gamet merupakan satu inisiatif pengamal media untuk membuat kebajikan selepas melawat Tuan Nur Batrisyia yang menderita penyakit Hydrocephalus.

Katanya, Tuan Nur Batrisyia akan menjadi penerima pertama kutipan tabung TBKK selepas ia mula dilancarkan semalam.

“TBKK tidak akan beri bantuan kewangan, tapi akan salurkan sumbangan dalam bentuk barang keperluan.

“Sebagai contoh, melalui TBKK, Gamet akan salurkan bantuan kepada adik Batrisyia dalam bentuk lampin pakai buang, susu dan barang keperluan lain. Selain itu kita juga berikan RM200 kepada ibu bapanya sebagai belanja ketika jaga Batrisyia di hospital,” katanya.

Pantau setiap dua minggu

Sementara itu, Dr Anwa berkata, selepas dibenarkan pulang pihaknya akan melawat Tuan Nur Batrisyia setiap dua minggu bagi memastikan tiub untuk memasukkan susu ke dalam perut bayi itu berada dalam keadaan baik.

“Selepas pembedahan, kita nampak keadaannya semakin pulih dan dia kini dibenarkan pulang,” katanya.

Selain itu beliau turut memuji usaha Gamet menubuhkan tabung bantuan khas itu dalam usaha membantu golongan tidak berkemampuan.

“Saya harap lebih banyak pertubuhan dan NGO lain dapat tampil membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, dua lagi bayi berusia lima hari dan satu minggu turut dirawat kerana masalah Hydrocephalus.