Wednesday, July 23, 2014

Majistret berang, dua tertuduh kes ceroboh DUN Pulau Pinang tidak hadir


JAHABERDEEN Mohamed Yunoos (kiri) menyatakan sesuatu kepada Musa Sheikh Fadzir (dua dari kanan) sambil diperhatikan beberapa tertuduh kes pencerobohan Dewan Undangan Negeri di Mahkamah Majistret, Georgetown, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Sazali Che Din
PULAU PINANG 22 Julai - Ketidakhadiran dua daripada 15 tertuduh yang menghadapi tuduhan menceroboh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Mei lalu di Mahkamah Majistret di sini menimbulkan kemarahan seorang majistret yang mendengar sebutan kes itu hari ini.
Dalam prosiding tersebut, Majistret Nurul Rashidah Md. Akit diberitahu, Mohd. Rizuad Mohd. Azudin, 37, didakwa berada di Jakarta, Indonesia atas urusan peribadi sejak semalam manakala Jasmin Noordin, 40, menjalani pembedahan tulang belakang.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Talib yang mengendalikan pendakwaan kes itu kemudian memohon agar waran tangkap dikeluarkan kepada Mohd. Rizuad kerana gagal hadir tanpa alasan yang kukuh.
Menurutnya, Mohd. Rizuad sepatutnya memberi keutamaan kepada kes mahkamah berbanding urusan peribadi selain alasan yang diberikan penjaminnya bercanggah dengan surat yang dikeluarkan sendiri oleh tertuduh keempat kes itu.
Nurul Rashidah kemudian menerima sijil cuti sakit yang dikemukakan Jasmin melalui penjaminnya, namun memberi amaran keras kepada Mohd. Rizuad agar hadir pada prosiding akan datang.
Selain Mohd. Rizuad dan Jasmin, tertuduh lain iaitu Hisham Ahmad Sabri, 43, Afriz Mohd. Noor, 36, Rosesarwandi Saad @ Yaacob, 33, Hisham Abdul Hamid, 38, Mohd. Nashrol Hisham Abdullah, 38, dan Azmeal Abu Bakar, 42, hadir ke mahkamah.
Yang turut hadir, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusof, 34, Mohamad Hilmie Ibrahim, 37, Nordin Wahab, 41, Mohamed Ghani Abd. Jiman, 48, Wan Abidin Zain, 51, Mohamed Ibrahim A. Siahoo, 31, dan Datuk Mohd. Ridzwan Bakar, 54.
Kesemua mereka yang kebanyakannya ahli Pergerakan Pemuda UMNO negeri bersama-sama seorang yang masih bebas didakwa menceroboh DUN pada kira-kira pukul 1.30 petang, 21 Mei lalu dengan niat hendak menggusarkan Setiausaha Dewan, M. Maheswari.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Pada prosiding 19 Jun lalu, kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Mereka diwakili peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos manakala Ramkarpal Singh hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Pembangkang.
Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140723/ma_04/Majistret-berang-dua-tertuduh-kes-ceroboh-DUN-Pulau-Pinang-tidak-hadir#ixzz38F0Ifs7Q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment