Thursday, July 9, 2015

Akaun PM tak dibeku kerana sudah tutup



Pasukan petugas khas berkaitan isu 1MDB menjelaskan bahawa enam akaun bank yang dibekukan mereka tidak termasuk milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Berkaitan arahan pembekuan pada 6 Julai 2015 terhadap enam akaun bank, tiada akaun-akaun bank di AmBank Islamic dipegang oleh perdana menteri pada tarikh dibekukan itu kerana akaun-akaun bank itu sudah ditutup pada 30 Ogos 2013 dan 9 Mac 2015,” kata pasukan itu.

Pasukan petugas juga mengumumkan memperoleh dokumen bank berkaitan akaun-akaun itu.

Pasukan itu juga menyebut bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menegaskan bahawa semua dokumen siasatan diterimanya disediakan oleh pasukan khas.

“Justeru, tiada isu peguam negara menggunakan dokumen yang disiarkan oleh Wall Street Journal (WSJ) atau pihak lain,” kata pasukan itu lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Gani bersama Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Gani semalam sudah menjelaskan bahawa perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 6 Julai tidak melibatkan mana-mana akaun yang dikatakan dipunyai Najib, tanpa menghuraikan lanjut.

WSJ melaporkan dakwaan terdapat pengaliran dana daripada syarikat berkaitan 1MDB ke akaun Najib bernilai AS$700 juta (RM2.6 bilion).

Najib menafikan dan memulakan tindakan undang-undang terhadap media antarabangsa berpengaruh itu.

No comments:

Post a Comment