Thursday, July 9, 2015

PAS Perlis tak halang ahli sertai himpunan G18


PAS Perlis tidak akan menghalang ahlinya untuk menghadiri perhimpunan kumpulan progresif yang digelar Gerakan Harapan Baru di negeri itu pada hari raya ketiga nanti.

Pesuruhjayanya Mohd Shukri Ramli(kanan) berkata, beliau terbuka menerima kehadiran kumpulan tersebut dan tidak menghalang sekiranya terdapat ahlinya yang ingin menghadiri perhimpunan itu.

"Kita terbuka. Ini demokrasi. Kita tak akan halang, ahli boleh pergi. Tak ada masalah.

"Buatlah (perhimpunan), kita tak ada halangan dan tak akan larang ahli untuk hadir," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ditanya sama ada beliau tidak bimbang sekiranya terdapat ahli yang mungkin akan mengikut gerakan itu, ADUN Sangkang itu berkata, perkara itu tidak menjadi masalah memandangkan rakyat kini cerdik dan boleh berfikir.

"Rakyat sekarang dah cerdik, mereka boleh fikir," katanya ringkas.

Ditanya sama ada beliau akan hadir pada perhimpunan itu, Shukri berkata: "Tengok keadaan," katanya sambil ketawa kecil.

Semalam, kumpulan Gerakan Harapan Baru bersama rakan dalam DAP dan PKR merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran di Perlis pada hari raya ketiga untuk memulakan momentum ke arah entiti pembangkang baru.

Perhimpunan tersebut dijangka menampilkan bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan pemimpin progresif lain yang tewas dalam pemilihan muktamar parti itu di Selangor awal Jun lalu.

Kumpulan itu turut dikenali sebagai G18.

Gerakan gabungan baru itu akan bermula di utara semenanjung selepas Pakatan Rakyat dianggap terkubur dengan terputusnya hubungan antara PAS dan DAP.

Perhimpunan itu merupakan yang pertama daripada siri yang dirancang bermula selepas Aidilfitri nanti dan akan mengadakan jelajah ke setiap negeri untuk menjelaskan kepada rakyat tentang keperluan dan kepentingan gabungan itu.

No comments:

Post a Comment