Thursday, July 9, 2015

Kumpulan 18 masih ragu-ragu, tak yakin parti baharu

ISNIN, 6 JULAI 2015 @ 8:35 AM

Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman madzaini@bh.com.my

MINGGU lalu, ketika berbuka puasa di sebuah hotel di Ampang, saya terserempak dengan sekumpulan ahli PAS sedang duduk semeja sementara menunggu azan maghrib.

Dua daripada mereka calon Naib Presiden yang tewas dalam muktamar bulan lalu dan kini dikaitkan dengan kumpulan 18 atau G18.

 Saya amat mengenali seorang daripada calon naib presiden itu yang juga Ahli Parlimen. Kami akan berpelukan umpama sahabat karib setiap kali bertemu.

Seorang lagi calon Naib Presiden itu juga saya kenali tetapi tak akrab seperti Ahli Parlimen itu. Ada juga seorang dalam kumpulan itu yang amat saya kenali dan rapat dengannya. Enggan berbual mengenai kemelut PAS Selepas bersalaman dengan mereka yang semuanya 10 orang, saya bertanya: "Apa cerita... meeting (mesyuarat) G18 ke?". Lantas seorang daripada calon Naib Presiden itu maklumkan perjumpaan itu hanya untuk berbuka puasa sambil berborak, namun dalam benak saya menyatakan kumpulan itu tidak mahu berbual mengenai kemelut yang sedang dihadapi oleh PAS dengan saya.

Malah, Ahli Parlimen itu juga seolah-olah keberatan berbual mengenai isu itu, sebaliknya mengalih perbualan dan bertanya apa jawatan saya dalam akhbar ini sekarang dan bilangan anak saya.

Selepas bertarawih di surau hotel, saya berjumpa seorang daripada kumpulan itu sekali lagi ketika mereka masing-masing mahu pulang. Katanya, sukar diramalkan apa akan berlaku. G-18 yang ada bekas Naib Presiden, AJK pusat, ADUN dan Ahli Parlimen pun tidak sependapat. Katanya, ada yang  bimbang dan masih sangsi mengenai cadangan penubuhan parti baharu untuk bergabung dengan DAP dan PKR bagi membentuk Pakatan Rakyat Baharu atau PRB.

Bimbang masa depan politik Mereka masih berbelah bahagi dan berbeza pendapat. Antara kebimbangan ialah sama ada parti baharu yang ditaja oleh Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi itu mampu memberi saingan kepada PAS dan diterima oleh ahli, penyokong dan pengundi parti itu. Lebih membimbangkan ialah masa depan politik mereka.

 Mereka juga risau tidak ada tempat dalam PAS jika kekal dalam parti itu selepas ditolak oleh perwakilan baru-baru ini. Antara yang dikaitkan dengan G-18 ialah Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Dr Mujahid Yusof, Asmuni Awi, Dr Mariah Mahmood, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Datuk Mahfuz Omar.  Selain Mat Sabu yang telah membuat kenyataan terbuka supaya parti baharu ditubuhkan dan berganding dengan DAP serta PKR, pemimpin utama lain termasuk Salahuddin dan Mahfuz seperti masih kabur.

 Justeru, setakat ini penubuhan parti serpihan PAS walaupun dijangka menjadi kenyataan, penyertaan semua pemimpin progresif bukan ustaz yang dicantas oleh golongan ulama belum pasti. Seperti kata kawan saya itu, ada Ahli Parlimen yang bimbang sama ada mereka masih boleh 'pekena teh tarik' bersama penyokong apabila balik ke kawasan selepas keluar PAS dan menyertai parti baharu kelak.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/66045

No comments:

Post a Comment