Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, selain itu PDRM juga akan bertindak mengesan mereka yang terlibat dalam membocorkan maklumat perbankan termasuk pihak bank, pegawainya atau sesiapa sahaja yang tidak mendapat kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperoleh maklumat berkenaan.
Malah, beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan ada pihak yang menjual maklumat-maklumat perbankan kepada pihak tertentu bagi tujuan mendapatkan wang serta untuk mensabotaj ekonomi negara.
“Siasatan terhadap 1MDB itu satu perkara. Kita akan menyiasat tentang pembocoran maklumat perbankan dan menyebarkannya. Kita juga akan siasat WSJ dalam aspek ini.
“Kita juga menerima banyak laporan polis berhubung kebocoran maklumat perbankan dan sekiranya perkara ini dibiarkan, ia boleh mengancam ekonomi negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran Op Selamat 7/2015 Sempena Hari Raya Aidilfitri di KL Sentral di sini hari ini.
Yang turut hadir dalam majlis berkenaan, Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohmad Salleh; Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Ke­selamatan Komuniti, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Mohammad Fuad Abu Zarim.
Baru-baru ini, WSJ melaporkan kononnya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menyalurkan dana berjumlah AS$700 juta (RM2.6 bilion) kepada akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ekoran daripada itu, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat tuduhan tersebut yang dianggotai Khalid; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Ketika ditanya sama ada wujud campur tangan dalam siasatan Pasukan Petugas Khas, Khalid menegaskan bahawa soal campur tangan dalam siasatan tidak timbul memandangkan kesemua mereka bertugas secara profesional.
“Tiada campur tangan dan tidak ada sebab untuk mengetepikan mana-mana pihak,” ujarnya.
Berhubung tindakan membekukan enam pemilik akaun bank yang didakwa menyalurkan dana ke akaun peribadi Najib, Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak mahu komen kerana di bawah Akta SPRM, sesiapa cuba mendedahkan apa juga hasil siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas ini adalah satu kesalahan.
“Jadi, saya tidak mahu melakukan apa-apa kesalahan,” jelasnya.