Thursday, July 9, 2015

Penafian tiada kaitan kes Najadi, 1MDB ditolak




Anak kepada Hussein Ahmad Najadi hari ini menolak penjelasan polis bahawa kes pembunuhan pengasas AmBank itu tiada kaitan dengan isu sekitar 1MDB.

“Macam mana mereka boleh kata macam itu sedangkan tiada siasatan,” soal Pascal di Facebook yang ditulis daripada Saint Petersburg, Russia.

Beliau juga berkata dengan penafian mudah berkaitan perkara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebenarnya menarik lebih banyak perhatian kepada anggota keluarga mangsa dan orang awam.

Pascal juga menggesa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail campur tangan dalam kes itu.

“Ini bukan bidang kecekapan beliau (Khalid).

“Ini kerja AG (peguam negara) untuk teruskan kes kerana kesalahan jenayah berlaku di Malaysia,” katanya sambil meminta rakyat Malaysia menyebarkan mesej itu demi keadilan.

Polis semalam meredakan khabar angin bahawa Hussein dibunuh kerana beliau mahu mendedahkan mengenai skandal firma pelaburan 1MDB.

Khalid menegaskan pembunuhan Hussein tiada kaitan dengan kes 1MDB serta tiada laporan polis dibuat olehnya pada hari sebelum dibunuh berkenaan kemasukan sejumlah wang.

Bercakap kepada pemberita di KL Sentral, Khalid berkata polis sudah mengetahui motif di sebalik pembunuhan tersebut dan pembunuhnya telah pun dijatuhi hukuman tahun lalu.

Beliau berkata dakwaan tersebut berasal daripada sebuah blog dan mendorong Pascal membuat dakwaan yang sama.

Menurutnya lagi, polis telah menyiasat sumber khabar angin tersebut dan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu.

No comments:

Post a Comment