Thursday, July 9, 2015

Salah satu pencapaian terbesar Malaysia adalah dalam kutipan cukai

Artikel Tun Terbaru: CUKAI
1. Salah satu pencapaian terbesar Malaysia adalah dalam kutipan cukai. Rakyat Malaysia dengan rela hati membayar cukai. Mereka takut tindakan undang-undang diambil terhadap mereka. Mereka lebih takut lagi jika serbuan dibuat ke atas perniagaan dan kediaman mereka oleh pihak berkuasa cukai pendapatan. Saya tahu ini kerana saya diserbu apabila saya dipecat daripada parti dan bekerja sebagai seorang pengamal perubatan.
2. Mereka dapatkan potongan buku cek saya dan tiada apa yang saya katakan dapat meyakinkan mereka bahawa wang dalam akaun saya bukan semuanya milik saya. Akhirnya saya terpaksa membayar lebih daripada dua kali ganda apa yang mereka mendakwa saya tidak isytiharkan.
3. Orang-orang cukai pendapatan sentiasa mencari-cari orang-orang yang hidup di luar kemampuan mereka. Mereka akan membuat penyerbuan atas orang-orang ini dan akan memaksa mereka membayar cukai tambahan jika sekiranya mereka rasakan bahawa pelakunya tidak membayar penuh mengikut kekayaan mereka.
4. Tetapi akhir-akhir ini kita lihat sikap memilih dalam tumpuan orang-orang cukai pendapatan.
5. Sebagai contoh, anak tiri Perdana Menteri dilaporkan telah membelanjakan beratus-ratus juta USD atau Ringgit membeli kediaman mewah di London, New York dan Hollywood. Beliau juga membelanjakan berjuta-juta membiayai pengeluaran filem “The Wall Street Wolf”.
6. Apabila Pejabat Perdana Menteri mendakwa inilah wang yang diwarisi, saudara-saudara Najib membantah. Bapa mereka tidak kaya dan tidak meninggalkan beratus-ratus juta Ringgit untuk keluarga. Malah Najib terpaksa mengakui bahawa Tun Razak tidak mempunyai wang sebanyak itu yang ditinggalkan kepada keluarganya. Jadi dari manakah wang ini datang?
7. Adalah didakwa bahawa wang itu adalah daripada perniagaan. Jika dia telah membuat begitu banyak wang daripada perniagaan pasti beliau akan membayar cukai pendapatan. Sudahkah orang-orang cukai pendapatan siasat beliau mengenai keuntungan perniagaannya? Berapa banyak cukai telah dia bayar? Sudah tentuIah ini adalah rahsia. Tetapi saya berharap ini bukan satu penyelindungan (cover-up).
8. Kemudian ada pula Jho Low. Dia membeli sebuah bank dengan harga US$260 juta. Dari mana beliau dapat wang ini? Adakah ia dipinjam? Adakah dia telah menjual bank ini dan membayar cukai ke atas keuntungan.
9. Beliau juga telah membeli rumah-rumah pangsa mewah di New York dan Hollywood. Dari mana datangnya beratus-ratus juta wang yang diguna untuk membayar semua ini? Adakah dia telah membayar cukai atas mereka?
10. Saya percaya eksekutif-eksekutif 1MDB dan anak-anak syarikatnya dibayar gaji yang tinggi. Ada mereka membayar cukai ke atas pendapatan mereka?
11. Saya difaham bahawa Perdana Menteri, sebagai penasihat kepada 1MDB, tidak dibayar apa-apa. Dia dibayar gaji Perdana Menteri, yang saya tahu adalah jauh lebih kecil daripada apa yang eksekutif perniagaan dapat. Tetapi Kerajaan membayar elaun-elaun, bil elektrik dan air, pengangkutan, tempat tinggal dan lain-lain. Oleh itu, gaji semua boleh disimpan dan dibelanjakan.
12. Masih, gaya hidup yang mewah pasti melibatkan kos yang tinggi. Pasti lebih daripada apa yang saya simpan selepas 29 tahun di dalam Kerajaan.
13. Sudah tentu ini adalah rahsia. Tetapi saya ingin bertanya, sudahkah orang-orang cukai pendapatan menyiasat sumber wang dan cukai yang dibayar?
14. Kita bercakap mengenai kesamarataan di sisi undang-undang. Di negara ini raja-raja pun tertakluk kepada undang-undang tertentu. Ia adalah intipati keadilan. Kita mesti sama rata di sisi undang-undang dan kita perlu dilihat sama rata. Setiap orang yang perlu disiasat oleh agensi-agensi Kerajaan mesti disiasat. Tidak boleh ada diskriminasi.

No comments:

Post a Comment