TRIPOLI - LIBYA. Parlimen berpusat di ibu negara Libya, kelmarin menolak bulat- bulat rancangan pelan damai PBB untuk menyelesaikan krisis politik negara itu.

Jurucakap Kongres Kebangsaan Umum (GNC), Omar Hamidan berkata, draf perjanjian itu tidak menepati kehendak mereka selain ia juga tidak memuaskan hati semua pihak.

"Kami menggesa Wakil PBB ke Libya, Bernardino Leon supaya mengadakan semula rundingan memandangkan delegasi GNC telah bersedia untuk mempengerusikan dialog tersebut.

"Sebaik sahaja tarikh ditetapkan, kami akan mengemukakan beberapa pengubahsuaian dalam kandungan perjanjian tersebut," katanya pada laporan Press TV.

Ketika ini, Libya ditadbir oleh dua Parlimen dan kerajaan di Tripoli serta bandar pelabuhan timur, Tobruk yang terus bersaing untuk merebut kuasa.

Sehingga kini, kedua-dua belah pihak gagal mencapai sebarang kata sepakat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan seperti dicadangkan PBB.

Di bawah pelan tersebut, Leon menggesa pihak bertelagah tersebut supaya menyokong rancangannya bagi mewujudkan kerajaan gabungan sebagai usaha untuk mengekang pengaruh kumpulan militan IS di negara Afrika Utara itu.