Thursday, July 9, 2015

Rasuah hancurkan k'jaan, tegas Najib... pada 1997



Sejak menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia pada 2009, pelbagai dakwaan rasuah telah dilempar terhadap Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Terbaru, dakwaan pemindahan wang 1MDB bernilai RM 2.6 billion ke dalam akaun bank peribadinya oleh akhbar antarabangsa The Wall Street Journal.

Bagaimanapun, Najib telah menafikan dakwaan tersebut.

Imbau kembali.

Ketika Seminar Muafakat Memerangi Rasuah pada 19 Julai 1997 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Najib, yang ketika itu menteri pendidikan menyampaikan ucapan bagaimana rasuah mampu menghancurkan negara.

Ketika ini, Perdana Menteri ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini didakwa Najib sebagai dalang di sebalik serangan 'fitnah' terhadapnya.

"Empayar Rom, Empayar Uthmaniah, Dinasti Ming, yang tidak terurus pentadbirannya menyebabkan tentera dan kakitangan awamnya terpaksa mengamalkan rasuah sehingga akhirnya hancur. Demikian juga dengan kisah kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka akibat berlakunya amalan rasuah di kalangan raja dan pembesarnya.

"Kerajaan Nasionalis China (Chiang) Kai Shek di China, Richard Nixon di Amerika, (Ferdinand) Marcos di Filipina dan akhimya Presiden Mobuto (Sese Seko) di Zaire tumbang kerana gejala yang sama," kata beliau mengikut teks ucapannya.

Persoalan paling penting, mengikut Najib ialah apakah rasuah ini telah menjadi suatu budaya yang meresapi dan membudayai kehidupan masyarakat negara ini.

"Pada pandangan saya, walaupun gejala ini diakui wujud dan sedang merampas hak dan kepentingan rakyat, namun ianya masih boleh dikawal dan masanya masih belum terlewat.

"Kita masih bernasib baik kerana amalan ini belum lagi dianggap "halal". la dilakukan di tempat yang "gelap"; di bawah meja tetapi bukan di atas meja

"Sudah barang tentu dengan kesedaran terhadap nilai-nilai Islam, takut hukuman, malu kepada masyarakat umum, dipecat dari jawatan... maka amalan ini masih boleh dibendung," katanya dalam ucapan tersebut.

Beliau bagaimanapun mengakui amalan rasuah di Malaysia telah meningkat jika dibandingkan dari dekad 70-an dan 80-an, tetapi menegaskan ia bukanlah menjadi satu cara hidup yang diterima oleh masyarakat.

Dalam hal ini Najib mengesyorkan pendekatan 'Mencegah lebih baik dari mengubati" dengan menekankan kepentingan pendidikan dan memasukkan konsep takut kepada Tuhan untuk melakukan perbuatan jahat.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan perjuangan beliau adalah untuk "keadilan" selaras dengan kepimpinan Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sebenarya, kita berkumpul pada hari ini memerangi rasuah adalah juga bermakna kita sedang beduang menegakkan 'keadilan'.

"Permuafakatan memerangi rasuah hari ini merupakan satu perjalanan yang jauh. YAB. Perdana Menteri dan Timbalannya telah menunjukkan sikap yang tegas terhadap usaha membendung amalan rasuah. Ini terbukti dari kenyataan YAB. Perdana Menteri 'Percayalah, penyalahgunaan kuasa dan rasuah akan menghancurkan parti kita, menghancurkan agama, bangsa dan negara kita'," tegas beliau mengulangi kenyataan terdahulu bekas 'bos' beliau.

Dalam ucapannya itu, Najib turut memetik hadis Nabi Muhammad SAW bahawa "Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah dan "Masuk n
eraka si pemberi dan si penerima rasuah."

Beliau turut menyatakan betapa rasuah itu bukan hanya terhad kepada perniagaan sahaja, bahkan kepada segala urusan politik.

Pada penutup ucapan itu, Najib turut mengungkap kata-kata Anwar Ibrahim dalam buku beliau Asian Rennaisance yang bertulis :

"No excuse for not making a serious commitment to fight it, the issue may be a moral one, but effective measures against corruption must go beyond mere moralising to encompass comprehensive societal and legal reform. There must be the political will to wage war against this insidious blight of mankind."

("Tiada alasan untuk tidak memberikan komitmen berat memperjuangkannya, isunya mungkin adalah isu moral tetapi langkah-langkah berkesan menangani rasuah perlu lebih dari sekadar pendekatan moral semata tetapi tetap merangkumi pembaharuan sosial dan undang-undang yang menyeluruh. Perlu ada kemahuan politik untuk memerangi wabak berbahaya ini kepada manusia.")

No comments:

Post a Comment