Thursday, July 9, 2015

Najib tersilap langkah lagi


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini tersilap langkah lagi apabila beliau sendiri yang menerangkan skop siasatan Pasukan Petugas Khas yang sedang menyiasat dakwaan mengenai penyaluran dana kepada akaun-akaun bank yang didakwa dimiliki beliau.
“Siasatan sedang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas untuk menentukan sama ada tuduhan yang dibuat oleh Wall Street Journal bahawa saya telah mengambil dana 1 MDB untuk kepentingan diri sendiri berasas atau tidak. Siasatan mesti mengambil kira kesahihan dokumen yang telah disiarkan bagi menyokong tindakan akhbar tersebut.” – Kenyataan PM, 8 Julai 2015
Kenyataan di atas mengundang persepsi bahawa Pasukan Petugas Khas tidak bebas, sedang menerima arahan, atau melaporkan penyiasatan kepada Najib, selaku orang yang sedang dituduh di dalam kes ini. Ini tidak betul dan tidak baik untuk usaha Najib membersihkan namanya.
Tindakan ini lebih buruk daripada hakikat bahawa empat individu yang mengetuai pasukan siasatan ini iaitu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pengerusi SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, and Bank Negara governor Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekerja di bawah beliau.
Oleh itu, PAS sekali menegaskan Najib perlu bercuti segera agar siasatan dilihat bersih. Jika tidak, Najib akan kelihatan bermasalah meskipun pasukan siasatan mendapati dakwaan ke atas beliau tidak benar.
Najib berulang kali menegaskan beliau tidak mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri. Ada dua isu fokus yang masih belum dijawab dengan kenyataan di atas – apakah ada dana 1MDB yang disalurkan melalui akaun-akaun yang didakwa milik beliau? Jika ya, untuk kepentingan siapa, jika Najib bercakap benar bahawa ia bukan kepentingan diri sendiri?
Oleh itu, skop siasatan Pasukan Petugas Khas bukan sahaja perlu menentukan samada kebenaran dakwaan samada ada dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun-akaun bank yang didakwa milik Najib – malah pasukan ini juga harus menentukan ke manakah dana itu disalurkan seterusnya daripada akaun-akaun bank tersebut.
Apakah ada cek-cek yang dikeluarkan daripada akaun-akaun tersebut, dan siapa penerimanya untuk kepentingan siapa? Diharap siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan negara dan rakyat terus berada dalam keadaan gawat dan kebimbangan. Atas ini, selain menyerbu pejabat 1MDB, PAS mencadangkan agar akaun 1MDB juga dapat dibekukan untuk membantu mempercepatkan siasatan.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
9 Julai 2015

No comments:

Post a Comment