Thursday, July 9, 2015

PM: Saya tak pernah ambil dana 1MDB



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengulangi penegasan bahawa beliau tidak pernah mengambil dana firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kepentingan diri beliau.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri.

"Tuduhan Wall Street Journal merupakan satu niat jahat yang didokong dan disokong oleh pihak tertentu dalam negara yang bertujuan memaksa saya melepaskan jawatan perdana menteri dan presiden Umno," katanya dalam satu kenyataan dalam blognya hari ini.

Najib berdepan tekanan ekoran pendedahan Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report yang mendakwa hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) wang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib di AmBank, sebelum pilihan raya umum 2013.

Menteri kewangan itu juga berkata satu pasukan petugas khas sedang menyiasatan untuk menentukan sama ada tuduhan WSJ bahawa beliau mengambil dana itu untuk kepentingan peribadi, berasas ataupun tidak.

"Siasatan mesti mengambil kira kesahihan dokumen yang telah disiarkan bagi menyokong tindakan akhbar tersebut," katanya.

Mengulas surat beliau yang meminta pengesahan laporan itu oleh akhbar tersebut, Najib berkata surat tersebut dihantar sebelum peguam beliau mengambil tindakan undang-undang lain iaitu menghantar notis tuntutan.

"Surat peguam tersebut meminta Wall Street Journal mengesahkan pendirian akhbar tersebut berikutan laporan yang telah dibuat menuduh saya menyalahgunakan dana AS$700 juta milik 1Malaysia Development Berhad.

"Peguam saya akan mengambil tindakan selanjutnya selepas mendapat pengesahan dari akhbar tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment