ISLAMABAD - AFGHANISTAN. Rundingan damai antara kerajaan Afghanistan dan wakil kumpulan militan Taliban, kelmarin ditamatkan dengan perjanjian untuk berunding semula selepas berakhirnya bulan Ramadan.

Rundingan dianjurkan Pakistan itu merupakan alternatif untuk menamatkan perang selama lebih 13 tahun di negara jiran, Afghanistan, selepas Taliban cuba mewujudkan semula rejim mereka yang telah digulingkan tentera Amerika Syarikat (AS) pada 2001.

Menurut laporan CNN, Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan berkata, pegawai AS dan China turut hadir sebagai pemerhati dalam mesyuarat tersebut yang diadakan di sebuah pusat pelancongan Muree, berhampiran Islamabad, Pakistan.

"Peserta bersetuju meneruskan rundingan bagi mewujudkan persekitaran kondusif untuk keamanan dan proses perdamaian," menurut kenyataan tersebut.

Difahamkan, rundingan seterusnya dijangka diadakan pada penghujung Ramadan, iaitu 15 dan 16 Ogos, di Doha, Qatar.

Sementara itu, Presiden Afghanistan Ashraf Ghani, menggalakkan hubungan lebih rapat dengan Pakistan dalam usaha untuk mencapai matlamat berkenaan.