Sunday, May 23, 2010

Rakyat patut menentang lesen judi untuk halang kemungkaran


Kerajaan teliti lesen pertaruhan Piala Dunia



KUALA LUMPUR 22 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bulan depan kepada Berjaya Group baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, walaupun beliau belum dimaklumkan mengenai reaksi masyarakat berhubung perkara itu secara umumnya, kerajaan memberi jaminan akan sentiasa mengambil kira pandangan semua termasuk dari kalangan Islam dan bukan Islam.
‘‘Secara jujurnya saya belum lagi dimaklumkan mengenai situasi tersebut tetapi kita (kerajaan) memang mengambil kira reaksi orang awam, Islam dan bukan Islam.
“Saya percaya kerajaan akan mengambil kira perkara itu (reaksi masyarakat tentang kelulusan lesen judi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Muhyiddin menjawab soalan pemberita tentang bantahan masyarakat terhadap langkah kerajaan itu seperti laporan sebuah akhbar berbahasa Cina pada 11 Mei lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung yang tampil menjelaskan mengenai perkara itu memberitahu, lesen tersebut bukan lesen baru yang dikeluarkan kerajaan tetapi diberi semula kepada Berjaya.
Selain itu, Chee Heung berkata, penganjur turut diletakkan syarat supaya tidak mengambil pekerja dan menjual tiket pertaruhan kepada pelanggan yang beragama Islam.
Kelulusan itu ditentang oleh beberapa tokoh sukan tempatan seperti bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Abdul Ghani Minhat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh melalui laporan Bernama baru-baru ini.
Selain itu, pakatan pembangkang pula mengecam langkah tersebut dengan Pas bertindak menganjurkan siri demonstrasi bantahan perkara tersebut di beberapa negeri semalam.

Pak Lah: Judi bola tak dapat diterima



Mei 22, 10 5:04pm
Kerajaan perlu mendengar pandangan rakyat berhubung keputusan meluluskan lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata rakyat berhak menyuarakan pandangan dan kerajaan juga perlu mendengar pandangan mereka.

"Pihak yang telah meluluskan lesen itu perlu mempertimbangkan sebaik-baiknya pandangan yang telah disuarakan.

"Bagi orang Islam, judi tak dapat diterima dan bukan sahaja orang Islam agama lain tak suka juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mai...Riuh di Kepala Batas, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung sebelum ini dilaporkan berkata Kementerian Kewangan telah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Bagaimanapun, pelbagai pihak mahu kerajaan menarik balik kelulusan itu yang dikhuatiri mengundang gejala negatif di kalangan masyarakat.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai cubaan menghidupkan semula kumpulan Al-Arqam, Abdullah berkata perkara itu perlu dibendung.

"Saya harap tak ada orang yang ikut dan percaya dengan kata-kata bekas pengikut kumpulan itu," katanya.

Sebelum ini, terdapat laporan yang menyatakan bekas pengikut kumpulan itu mendakwa pemimpin mereka, Ashaari Muhammad atau Abuya, yang meninggal dunia pada 13 Mei lepas, kononnya cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat.

Bernama

Awas! 4 perompak di Kuala Kangsar


Leher empat beranak diacu parang



KUALA KANGSAR: Empat beranak berdepan saat mencemaskan apabila bukan saja diikat empat perompak, malah leher diacu dengan parang serta menjadi tawanan hampir enam jam dalam kejadian rompakan di sebuah pondok kawalan keselamatan di sebuah pusat pembinaan di sini.
Suspek melerai dan melarikan beberapa komponen berharga pada jengkaut itu, termasuk bateri, pengepam minyak serta kerangka besi, dengan sebuah kenderaan.

Ketua Polis Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad, berkata empat beranak itu menjadi tawanan perompak selama enam jam sebelum diselamatkan beberapa penoreh getah warga tempatan yang melalui kawasan kejadian pada jam 5.30 pagi berikutnya.

Katanya, ketika kejadian, sepasang suami isteri yang juga pengawal keselamatan di pondok kawalan itu bertugas di kawasan pembinaan sebelum didatangi empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang sebelum mengacukan parang dan mengikat mereka.

“Dua anak pasangan pengawal keselamatan itu yang tiba tidak lama kemudian di pondok pengawal untuk menghantar bekalan makan malam turut diikat perompak di dalam pondok,” katanya.