Monday, April 5, 2010

Mangsa tembakan polis kesal kerajaan enggan bertindak




Mangsa tembakan polis Norizan Salleh menyerah memorandum kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Parlimen hari ini.

Memorandum yang sama telah diserahkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Bukit Aman pada 4 Februari dan juga Suhakam pada 11 Februari yang lepas tetapi sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil.

Mangsa yang sebelum ini berusaha untuk menyerahkan memorandum di pejabat Hishammuddin pada 25 Februari lalu tetapi menteri itu hanya menghantar wakilnya bagi menerima memorandum tersebut.

Norizan yang ditemani ibunya, Siti Halimah Abu dan peguam N. Surendran menyerahkan memorandum kepada Hishammuddin pada pukul 12.15 tengahari di pejabatnya.

Hishammuddin berjanji akan mengambil tindakan dan menyiasat kes seberapa segera.

Sebelum itu pada sidang media di perkarangan lobi Parlimen Norizan memberitahu ingin mengetahui sebab sebenar beliau ditembak selain menuntut bayaran pampasan ke atas kecederaan kekal yang ditanggung.

"Saya datang ini sebab ingin mengetahui apa tujuan sebenar polis tembak saya, sehingga sekarang saya tidak tahu sebabnya. Selain itu berharap pihak kementerian dapat mengambil tindakan segera," jelas beliau.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata kes tersebut akan di bahaskan di dalam Dewan petang ini dan berharap kementerian terbabit akan memberi penjelasan yang sewajarnya.

"Saya akan bahaskan isu tersebut pada petang ini dan berharap kementerian terbabit dapat memberi jawapan selain memberitahu apa tindakan yang akan diambil," kata Tian.

Pada awal pagi 30 Oktober 2009, Norizan telah ditembak polis ketika berada dalam kereta dan ditendang sehingga patah tulang rusuknya semasa merangkak keluar dari kereta.

Daripada lima das tembakan yang ditujukan kepadanya, dua tembakan terkena pada lengan dan pergelangan tangan, satu pada dada, dan dua tembakan lagi terlepas tetapi meninggalkan kesan luka. -SK

UMNO-BN AKAN HILANG SOKONGAN MELAYU DI HULU SELANGOR - KU LI



Isnin, April 05, 2010 | Author: Tok Kiyai

Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah menjangkakan KEADILAN-Pakatan Rakyat akan mampu menarik sokongan pengundi Melayu yang menyokong Umno-Barisan Nasional sekiranya parti itu menamakan calon Melayu yang berwibawa dan mempunyai ketokohan.

Malah menurut bekas Menteri Kewangan itu Barisan Nasional tidak akan mempunyai jalan mudah menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tersebut.

"Pilihan raya kecil Hulu Selangor tidak akan memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional. PKR akan mampu menarik banyak sokongan pengundi Melayu sekiranya calon Melayunya baik.

"Barisan Nasional tidak akan mendapat sokongan pundi Melayu," kata beliau selepas menyampaikan ceramah berhubung isu royalti minyak di Kota Kinbabalu, Sabah semalam.

PRK Hulu Selangor yang dijangka berlangsung pada 25 April depan diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen dari KEADILAN, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71 tahun minggu lalu akibat barah otak.

MIC telah menamakan calon tunggalnya, Datuk G. Palanivel sebelum pucuk pimpinan BN membuat keputusan muktamad sementara Umno Bahagian Hulu Selangor telah menghantar memorandum kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak mendesak supaya kerusi itu diserahkan kembali kepada Umno.

Penyokong bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib juga telah memasang kain rentang dan poster untuk menonjolkan beliau sebagai calon berpotensi.
 SK

Najib Bayar A$420,000 Kepada APCO Untuk Khidmat Nasihat 6 Bulan




Kerajaan Umno-Barisan Nasional didakwa telah membayar A$420,000 (RM1.6 juta) kepada firma antarabangsa APCO Worldwide yang dikaitkan dengan rejim Zionis Israel untuk khidmat runding selama enam bulan.

Dalam surat yang bertarikh 15 Julai 2009 dengan menggunakan kepala surat rasmi Jabatan Perdana Menteri dan dialamatkan kepada Paul Stadlen, kerajaan Malaysia mengesahkan terma yang dipersetujui pada mesyuarat yang diadakan bersama APCO pada 10 Julai 2009.


Salinan surat tersebut yang dimuatnaikkan dalam blog dan internet didakwa telah ditandatangani oleh Samsuri Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kewangan dan Pembangunan di Jabatan Perdana Menteri.Surat Penerimaan setebal lima mukasurat itu menggariskan bidang kerja APCO kepada kerajaan Malaysia di bawah tajuk 'Public Affairs and Goverment Affairs Services' atau Perkhidmatan Perhubungan Awam dan Kerajaan.

"Dengan penerimaan kerajaan terhadap tender yang dikemukakan oleh pihak tuan, adalah dimaklumkan bahawa kini wujud ikatan kontrak antara kerajaan dan pihak tuan.

"Satu perjanjian yang lebih lengkap yang memasukkan semua terma dalam tender akan ditandatangani. Pihak tuan akan dimaklumkan apabila dokumen kontrak siap untuk ditandatangani," kata surat tersebut.

Surat itu yang juga ditandatangani oleh Paul Stadlen yang mewakili Mind Teams Sdn Bhd dan APCO Worldwide sebagai kontraktor serta Ronald Barnetto dari England sebagai saksi antara lain menggariskan empat bidang kerja utama berkaitan hubungan awam yang menjadi sasaran khidmat runding APCO kepada kerajaan Malaysia.

Mereka menandatangani surat penerimaan itu pada 21 Julai 2009.

Stadlen kini adalah Pengarah Urusan APCP Worldwide cawangan Malaysia.

Ini termasuk penyelidikan, pembangunan strategi dan mesej utama, pencapaian serta perundangan dan pematuhan.

Di bawah bidang penyelidikan, APCO dikehendaki mengenalpasti bidang kerjasama antara kerajaan Malaysia dan pemerintah Amerika Syarikat yang signifikan dan selari, membangunkan mesej komunikasi dengan pembuat dasar Amerika Syarikat dan tokoh penting masyarakat sivil serta mengenalpasti pegawai kerajaan, 'think tank', wartawan, NGO yang relevan kepada hubungan Malaysia-Amerika Syarikat.

Dalam sektor pembangunan strategi dan mesej utama pula, APCO akan memberi khidmat sokongan kepada Kedutaan Malaysia di Washington dan kerajaan Malaysia dalam melaksanakan program bagi mengukuhkan hubungan dan persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Bagi khidmat pencapaian pula APCO akan membantu mengeratkan hubungan dengan 'think tank', melaksanakan kempen mempromosi Amerika Syarikat bersama sektor perniagaan penting di Malaysia dan melaksanakan kempen media bebas Amerika Syarikat. -SK

Bekas Lain Tapi Isinya Sama


Kembang kempis hidung Najib apabila ramai pihak pakat puji dia sempena 1 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia. Beberapa akhbar arus perdana (baca kaki bodek) menyediakan bermuka-muka helaian akhbar bertujuan memuji Najib. Macam-macam mereka tulis, dari kejayaan Najib “memulihkan” ekonomi negara, “menyatupadukan” rakyat dengan gagasan 1Malaysia sehingga perbincangan khusus bancianpendapat mengenai Najib yang dibuat oleh Merdeka Centre.

Anak Bapa tak nak cerita panjang ulasan daripada suratkhabar kaki ampu ni, pasai naik loya dibuatnya nanti. Cuma yang syoknya dalam depa dok bodek Najib, Dr. Mahathir pula kata negara Malaysia terkapai-kapai dalam pengurusan ekonomi selepas beliau. Maknanya bukan Pak Lah saja yang tak pandai memerintah, Najib pun dua kali lima juga.

Betullah Dr. Mahathir pandai pesatkan ekonomi negara. Banyak kaedah yang dia perkenalkan seperti persyarikatan Malaysia, dasar penswastaan, pandang ke Timur dan lain-lain lagi. Tetapi jangan lupa Cek Dek juga yang mulakan budaya rasuah secara meluas dan terbuka, politik wang (baca rasuah), bagi projek kat kroni, dan segala macam penyelewengan yang kita warisi hari ini.

Seperkara lagi, jangan lupa ketika Cek Dek dok buat semua perkara tak elok ini, Pak Lah dan Najib ada bersama dalam membuat keputusan. Dengan lain perkataan, Pak Lah, Najib, Muhyiddin dan lain-lain lagi pimpinan UMNO yang ada hari ini adalah orang yang sama ketika itu dan hari ini. Mereka sama-sama bersekongkol dan bersubahat membuat onar. Jadi hari ini tok sah dok tunjuk alim, “rebranding” konon dengan Islam Hadhari (dah pun lenyap dari ingatan penyokong UMNO sebab PM orang baru) dan 1Malaysia.

Cuba fikir bagaimana mungkin geng-geng perompak yang dulu sama-sama merompak dan mengagih-agihkan harta rompakan sesama mereka kini sudah berubah habis hanya disebabkan mereka mendapat ketua baru yang datang dari kalangan perompak juga!

Anak Bapa: Tak pernah terpedaya dengan topeng palsu UMNO.

Yang Buta Datang Berpimpin, Yang Capik Datang Bertongkat.



Saya cuba sedaya upaya mencari ciri-ciri intelektual ketika membaca dan meneliti ucapan Dr. Mahathir ketika beliau bercakap tentang orang Melayu dan Umno. Jika Dr. Mahathir bukan Presiden Umno, jika beliau bukan mantan Perdana Menteri, jika beliau bukan pahlawan Melayu dalam Umno, saya tentu sekali tidak hairan dan bersusah payah meneliti apa yang diucapkannya.

Bagi saya ucapan dan teguran Dr. Mahathir selepas beliau merajuk dan rujuk kembali dalam Umno sering menimbulkan tanda tanya; apakah betul Dr. Mahathir ini? Soalan lain yang sangat bosan hendak diterjah ialah, kenapa beliau bercakap macam beliau tak pernah wujud, macam beliau tak pernah jadi Umno, macam beliau tak pernah melakukan apa yang beliau kata?

Ketika merasmi satu NGO baru yang diterajui oleh Ibrahim Ali MP Pasir Mas Kelantan di PWTC pada 27hb Mac yang lalu, Dr. Mahathir mengulangi lagi seperti ucapan pekasam dan budu yang lalu. Umno,lemah kepimpinan, nasib Melayu yang tak terbela, ekonomi, pelajaran anak-anak Melayu dan lain-lain lagi, seolah-olah Melayu di waktu beliau menerajui Umno dan menjadi Perdana Menteri tidak wujud Melayu-Melayu seperti yang telah menjadi budu dan pekasam selama ini.

Saya ingin memetik jerkahan Mat Katib dan Hj Lawas dari hulu Hutan Melentang ketika menjerkah beruk panjat pokok kelapa. “Heee, ketika tuan menjadi orang nombor satu yang boleh mengubah wajah politik dan bangsa, Melayu naik ke langit ke?”

“Piiirrraahhh, sewaktu hangpa dulu pun, lebih teghookkk lagi!” kereyau orang Tanjong Tokong, tepi projek yang pernah ditinjauan Dr. Mahathir dulunya.

Mat Zaki dari Wang Tepus Kedah pula jerkah: “ Dia cakap sekarang, dulu pun macam tu. Dia cakap tentang rasuah, apa dulu tak ada rasuah? Dia cakap tentang biasiswa Melayu, waktu dia dulu apa dah jadi tentang biasiswa. Dia cakap tentang nasib Melayu, selama 21 tahun jadi PM, apakah orang Melayu begitu maju? Pasal bahasa sampai sekarang pejuang bahasa sakit. Banyak lagi...bla...bla...bla...weekkkk!”

Saya bukanlah seorang yang perongos meletak kesimpulan terhadap ucapan dan kata-kata, saranan seorang pemimpin, bekas pemimpin yang idiologinya tidak sama seperti Dr. Mahathir. Tetapi setiap kali mengulang baca apabila beliau mengulang kata, saya rasa bukan masanya lagi dan bukan Dr. Mahathir yang sepatutnya bercakap begitu.

Kerana itu menjelang 27hb Mac 2010 apabila Ibrahim Ali menjemput Dr. Mahathir
merasmi PERKASA satu-satunya NGO hebat kononnya, awal-awal lagi saya mendapat maklumat dari kawan di PWTC yang mengatakan Mahathir hentam Ibrahim Ali.

Saya tersenyum.

Ketika saya sampai di PWTC hari tersebut, persidangan NGO PERKASA sudah selesai. Ramai yang saya temui, kalangan lelaki tua-tua menggunakan tongkat, berpakaian sampin, bertanjak dan songkok hitam.

Saya bertanya seorang kawan. Dia memberitahu itulah peserta NGO Ibrahim Ali, PERKASA. Saya terfikir, masakan semua bertongkat? Adakah tongkat itu lambang atau tongkat itu kerana sudah tua tak mampu lagi berjalan? Saya teringat bidalam dari hikayat; Yang buta datang berpimpin, yang tua datang bertongkat.

Kawan saya ketawa dan maki hamus saya; hang memang pelaq, katanya.

Saya melihat ucapan Dr. Mahathir bukan ucapan yang jujur sebaliknya ucapan menyindir kepada pemimpin Umno, dulu kini dan selamanya yang dia tidak sebulu, yang dia anggap budak hingus dalam kepimpinan.

“Wujudnya NGO Melayu yang memberi tumpuan masalah Melayu kerana terhakisnya kepercayaan mereka kepada Umno sebagai pelindung nasib mereka,” kata Dr. Mahathir.

Soalnya siapa? Tak akan ada orang Umno yang bukan dari kalangan orang yang kritis mahu mengatakan zaman Dr. Mahathir sebaliknya akan menganggap itulah Umno di bawah kepimpinan sebelum beliau dan selepas beliau.

Peranan beliau ketika tidak setuju dengan kepimpinan salah seorang Perdana Menteri yang lalu sudah cukup bukti untuk kita berkata begini.

Jika ini hendak dikatakan satu analisis ternyata analisa ini tidak berdasarkan kepada punca dan awalan. Salah satu alasan yang boleh kita katakan, ambil saja ketika peristiwa pemecatan dan penjara Anuar Ibrahim. Bagaimana keadaan politik waktu itu?

Tapi ternyata Dr. Mahathir mengambil kata-kata melindungi kata-kata. Meletak isu melindungi isu. Membongkar kelemahan untuk menutup kelemahan. Menginjak kecacatan untuk melindungi kecacatan.

Dengan membuat pengakuan ‘kecuali tahun 1969 dan 1987’ Dr. Mahathir seolah-olah juara kesempurnaan bangsa dan kemercuan negara. Tapi apakah benar semuanya itu?

Bijak pandai ada mengatakan, banyak bercakap memberi makna banyak melakukan silap. Dalam pemerintahan juga begitu, sedemikian lama menjadi pemimpin, memberi erti memanjangkan membuat kesilapan. Membuat kesilapan bukan bererti tidak sengaja dan saya tidak pernah terfikir apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir ketika pemerintahannya bukan satu kesilapan tetapi satu unjuran dengan maksud berbagai. Dan semua itu atas jenama Umno. Presiden parti adalah juga Perdana Menteri. Presiden Umno adalah pengerusi mesyuarat kabinet. Perdama Menteri semestinya memakai baju Umno ketika masuk ke balai rong seri untuk membuat keputusan.

Jangan fikir nanah dan usus hanya meroyak dan tersembol ketika Najib menjadi Perdana Menteri. Jangan fikir rasuah dengan indeknya hanya ketika Najib. Jangan fikir Rosmah memain peranan yang lebih dari Najib sedang Perdana Menteri lain berbini seperti itu jugalag.

Apakah nasib bangsa Melayu ketika itu begitu baik, kuat dan berjaya?

Kalau zaman Dr. Mahathir, Datok Azhar Mansor boleh keliling dunia dengan perahu layar, jangan ingat itulah saja wira dunia Mahathir. Bagaimana dengan pendaki solo gunung Kinabalu yang menghabis usia ulang aliknya puluhan kali?

Saya masih tidak menemui jawapan dan huraian yang tepat tentang peribahasa; Kalau guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Bapa borek anak rintik. Tapi salahkah jika
kita membuat huraian bodoh dari peribahasa ini dengan mengatakan, yang menyebabkan murid kencing berlari tidak bermakna perlakuan itu dalam masa yang sama. Mungkin si bapa kencing berdiri di tahun 1987, ketika itu anaknya baru merangkak. Tapi bukan mustahul tabiat itu dilakukan oleh anaknya pada tahun 1997, setelah anaknya sudah boleh berlari dan dewasa.

Begitu juga bapa borek anak rintik. Mungkin borek bapa ketika hujung usia dan rintik anaknya ketika anak itu sudah dewasa sedangkan si bapa sudah nyanyuk ketika itu.

Yang demikian kita tidak boleh mendabik dada apa saja kelemahan dan kecatatan, mundur maju orang Melayu tidak ada kaitan dengan sikap dan bobrok pemimpin sebelumnya.

Mendapat durian busuk dan buah macang yang berulat, bukan ketika si bapa menanam pokok itu tetapi tentulah setelah pokok itu besar dan buah itu dinikmati oleh anak-anak.


Satu trend pemimpin Umno yang kita lihat sejak zaman permulaan hingga kini ialah, mengakui dengan sesungguhnya bahawa ia adalah Perdana Menteri Malaysia untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Tapi malang ketika itu ia tidak meletak dirinya sebagai pemimpin Melayu, malah ia lupa bahawa dia dari akar umbi Melayu.

Tetapi ketika dia berhadapan dengan ahli partinya, dengan bangsanya sendiri ia terus terang mengatakan dia Melayu, perjuangannya perjuangan Melayu. Di tukarnya ketika itu dari tali leher dan boo kepada keris dan gong. Di tukar secepat kilat dari karpet kepada sampin dan kain kuning. Di tukar dari Apple Jus kepada air kelapa.

Apabila ia berada di atas pentas Perdana Menteri, ia tidak melihat bangsanya kerana dia tahu bangsanya bangsa bodoh dan tidak berani menderhaka. Dia akan ikut kehendak bangsa lain kerana hendak menjaga kedudukannya.

Inilah yang berlaku dan inilah diantara sebab munculnya ucapan-ucapan menyalahkan orang lain ketika ia tidak lagi berada ditempat itu.

Kerana itu ucapan perasmian Dr. Mahathir di perhimpunaqn NGO PERKASA pada 27hb Mac lalu di PWTC tidak ada apa yang membanggakan apa lagi kalau kita menjenguk kembali pada zamanya.

-Tulisan ini disiar dalam Harakah keluaran 5hb April- 8hb April 2010 dalam ruangan Kolum Tepi

Berbulu Ayamkah Musang Itu?



CERITA 1 - Suatu masa dulu, saya pernah dengar cerita mengenai ‘seseorang’ yang berumah di Masjid Rusila Terengganu. Dia sangat rajin beribadat. Berpakaian melebihi ala orang PAS. Ekor serban dan jubahnya labuh dan hebat.
Orang PAS sangat percaya kepadanya, apatah lagi dengan penampilannya yang sebegitu. Banyak kepercayaan diberikan kepadanya sehingga banyak rahsia yang terdedah.
Namun akhirnya orang itu tersilap langkah. Waraknya terbongkar disebabkan kejahilannya. Niatnya yang serong mendedahkan siapa dirinya. Dia solat sunat selepas solat Subuh. Akhirnya orang tahu dia adalah pengintip.
Orang hanya mengenalnya setelah banyak rahsia terdedah, banyak kepercayaan diletakkan kepadanya dan banyak dokumen jatuh ke tangannya.
CERITA 2 - Suatu masa dulu juga, saya pernah dengar cerita mengenai ‘seseorang’ yang menjadi salah seorang staf di Pejabat Perhubungan Negeri Jelapang Padi.
Setiap hari dia hadir ke pejabat, bekerja, mengendalikan dokumen, menghadiri mesyuarat yang berkaitan dengannya bersama staf lain.
Dia kelihatan lebih PAS daripada orang PAS. Setelah banyak yang diketahuinya mengenai PAS negeri berkenaan, dia akhirnya tersilap langkah. Rahsianya terbongkar dan dia disingkir.
Semua itu berlaku setelah banyak rahsia terdedah dan benyak perkara yang tidak patut dia tahu diketahuinya.
CERITA 3 – Suatu masa dulu juga, bukan saya mendengarnya tetapi mengalami sendiri. Seseorang yang menjadi salah seorang exco Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, bukan di zaman saya menjadi ketuanya, bukan juga di zaman orang sebelum saya menjadi ketua, tetapi zaman sebelum itu.
Orang ini sangat aktif dengan dewan pemuda, sanggup membuat apa sahaja untuk pemuda bahkan sanggup berbelanja sebanyak mana yang diperlukan. Sebut sahaja, dia antara orang awal menyumbang.
Sampai ke satu tahap, namanya tercatit sebagai salah seorang calon dalam pilihanraya.
Namun, rencana Allah mengatasi rencananya. Rencana orang itu terdedah. Akhirnya dia menerima hukuman di atas perbuatannya itu.
Mengapa dengan ketiga-tiga cerita itu?
Membaca tulisan Kickdefella dalam blognya kebelakangan ini, mendedahkan banyak perkara mengenai PAS Kelantan dan kerajaan negeri, saya terasa bahawa Kickdefella agaknya memainkan peranan seperti ketiga-tiga orang di atas.
Dan, tidak mustahil orang seperti itu masih wujud juga dalam PAS masa kini. Awas!

Polis Indonesia siasat Polis Malaysia?


05 April 2010 12:02 PM



JAKARTA, 5 April - Pasukan polis Indonesia kini berada di Kuala Lumpur untuk menyiasat kes tiga pekerja negara itu yang didakwa ditembak mati oleh polis Malaysia bulan lalu.

Gazali, seorang pekerja Indonesia di Kuala Lumpur berkata, polis telah mula menyoal siasat dia dan beberapa pekerja lain di Damansara, selain memeriksa mayat ketiga-tiga pekerja berkenaan di Hospital Sg Buloh.

“Kami disoal siasat dan mereka melawat rumah kami di Damansara,” kata Gazali dipetik Jakarta Globe semalam.

Dai Bachtiar, Duta Indonesia ke Malaysia berkata beliau sudah menerima laporan tiga pekerja negara itu ditembak mati oleh polis Selangor.

Media Malaysia yang memetik Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata, ketiga-tiga mereka ditembak pada 16 Mac lalu atas alasan mengancam keselamatan anggota polis dengan bersenjata.

Menurut pihak berkuasa Malaysia, ketiga-tiga mereka merupakan anggota sindiket yang menyamun 19 rumah di seluruh negara termasuk rumah milik Senator Datuk Syed Al Habshee.

Khalid berkata tiga pekerja Indonesia berkenaan yang dikenali sebagai Musdi, Abd Sanu dan Muhlis memandu sebuah kereta sedan dan merempuh kereta peronda polis.
Katanya, mereka telah cuba untuk melepaskan diri tetapi terlanggar sebuah pokok di Bandar Tasik Puteri, Kuala Selangor.

Khalid juga berkata, pekerja-pekerja itu keluar dari kereta dengan senjata dan pisau lalu menyerang anggota polis.

“Anggota polis melepaskan enam tembakan untuk mempertahankan diri mereka,” kata Khalid.
“Ketiga-tiga pekerja mati di tempat kejadian,” katanya.

Bagaimanapun menurut Gazali, sekumpulan anggota polis datang ke pangsapuri di mana pekerja Indonesia tinggal dengan berkata, mereka sedang mencari beberapa orang yang terlibat kerja-kerja menyamun.

Gazali berkata, mereka tidak menemui sesiapa tetapi dua hari kemudian mereka terdengar tiga rakan mereka telah terbunuh.

“Mereka orang yang baik,” katanya sambil menambah, mereka tidak boleh memandu kereta sebab “mereka hanya merupakan pekerja binaan.”

Gazali dan dua rakannya telah memfailkan aduan di Kedutaan Indonesia, Kuala Lumpur.

Layanan terhadap pekerja-pekerja asing telah menjadi fokus utama yang turut mencetuskan ketegangan antara Malaysia dan Indonesia sejak kebelakangan ini. - TM

Gantung saya jika mahu - DSAI cabar BN



05 April 2010 2:08 PM


Oleh Clara Chooi

HULU SELANGOR, 5 April — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mencabar Barisan Nasional (BN) agar menggantung beliau dari Parlimen jika kerajaan mahu meneruskan sokongan kepada Israel.

Dalam ucapannya di Kampung Sungai Tengi di sini, Ketua Umum Pakatan Rakyat itu terus menyerang hubungan kerajaan BN dengan firma perhubungan awam antarabangsa APCO Worldwide sambil menegaskan, selain penafian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menjawab dakwaan-dakwaan yang dilontarkan.

“Ini adalah orang yang sama memerintah kita, yang mengajar bahawa hak orang Melayu dan Islam mesti dilindungi. Najib tidak berani menjawab perkara ini.

“Saya bersedia untuk menawarkan diri saya... kamu terus sokongan Israel, kamu gantung saya dari Parlimen. Gantung saya, tiga bulan, enam bulan, setahun, saya tidak tahu.

“Insya-Allah, biar rakyat sendiri membuat keputusan,” kata beliau pada ceramah Selamatkan Malaysian, yang secara kebetulan dilihat sebagai ‘kempen’ menjelang pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sudah memulakan kempen pihaknya di sini sejak Jumaat lalu.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat ini terus mengecam kesediaan pentadbiran BN mendapatkan khidmat nasihat daripada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan kerajaan yang “membunuh rakyat Islam Palestin.”

“Apco diterajui oleh orang-orang ini dan Najib pula mendapatkan nasihat daripada mereka.

“Saya mendedahkan nama pemimpin-pemimpin APCO tetapi mereka mendakwa itu salah.

“Saya menunjukkan perjanjian ditandatangani antara APCO dan Israel dan mereka masih menafikannya,” kata beliau.

Tambah beliau, ini merupakan mereka yang menasihati Najib berhubung aspek komunikasi strategik, pembaharuan, inisiatif, Model Ekonomi Baru, dasar pendidikan dan lain-lain.

“Semua ini dilakukan oleh APCO,” katanya.

Anwar tidak menafikan beliau selaku anggota perundangan seringkali mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin luar untuk mendapatkan pandangan mereka.

“Tetapi saya tidak pernah mengambil mereka sebagai penasihat. Najib melakukan yang ini dan lebih-lebih lagi mereka bukan Islam. Mereka ini merupakan pihak yang bekerja untuk Agensi Pertahanan Israel,” katanya.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, kerajaan akan mengemukakan usul merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung isu APCO yang menjadi polemik di Dewan Rakyat sejak 17 Mac lepas.

Nazri berkata kerana ketua pembangkang itu gagal menjelaskan dakwaannya bahawa gagasan 1Malaysia ditiru daripada “One Israel” yang dikaitkan dengan APCO.

“Usul akan dibuat di bawah aturan mesyuarat 18(2) yang memerlukan kerajaan memberikan notis kurang sehari. Keputusan ini berdasarkan kerana Permatang Pauh mengelirukan Dewan Rakyat berkaitkan isu APCO,” katanya.

Nazri memberitahu Anwar gagal menjelaskan dakwaannya selepas beliau diberi tempoh seminggu untuk berbuat demikian pada Selasa lepas.

Pada 22 Mac lepas, Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) membangkitkan isu percanggahan kenyataan Anwar mengenai gagasan 1Malaysia ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata berdasarkan muka surat 76 Hansard (catatan) Parlimen bertarikh 17 Mac, Anwar menyatakan pada 2009, APCO memberikan nasihat kepada Perdana Menteri berhubung 1Malaysia selain mendakwa syarikat sama memberikan nasihat kepada kerajaan Israel pimpinan Ehud Barak pada 1999 berhubung slogan One Israel.

Nazri berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Speaker Dewan Rakyat dan dianggotai lima Ahli Parlimen BN dan tiga wakil rakyat pakatan pembangkang, masing-masing satu bagi DAP, PKR dan PAS. - TMI

saya bukan pelacur

KUALA LUMPUR: Dia cukup dikenali di kalangan artis lelaki tempatan termasuk pelakon dan penyanyi daripada program realiti serta golongan korporat kerana kepakarannya memulihkan masalah lemah tenaga batin.

TERIMA TEMPAHAN...Lia menerima panggilan telefon daripada pelanggan lelaki yang mahukan perkhidmatan urutan batin.
TERIMA TEMPAHAN...Lia menerima panggilan telefon daripada pelanggan lelaki yang mahukan perkhidmatan urutan batin.

Tidak hairanlah wanita tukang urut ini mendakwa pernah melakukan urutan batin terhadap lebih 1,000 pelanggan lelaki yang kemaruk teknik urutan istimewa ditawarkannya.
Wanita ini bukan calang-calang tukang urut kerana mendakwa mempunyai kepakaran khusus bagi menambah kekuatan syahwat lelaki berikutan ilmu dipelajari melalui beberapa `guru’ berpengalaman.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Lia, 43, mendakwa langsung tidak berasa jijik terhadap kerja dilakukan dengan alasan tugasnya hanya untuk membantu lelaki yang menghadapi masalah lemah tenaga batin.

Lebih mengejutkan, apabila suaminya yang bekerja di sebuah badan berkanun langsung tidak mengetahui aktiviti dilakukan kerana menyangka wanita terbabit sekadar bekerja sebagai bidan serta tukang urut wanita baru bersalin.

Lia berkata, kerjayanya sebagai tukang urut bermula kira-kira 12 tahun lalu selepas diajak bekerja oleh rakannya di sebuah pusat urutan di Pandan Jaya, Ampang.
Menurutnya, dia yang ketika itu masih muda dan naif tertarik dengan pekerjaan itu selepas ditawarkan pendapatan sehingga RM2,000 sebulan.

“Saya mulanya menyangka ia sekadar urutan tradisional biasa, namun terkejut apabila pemilik pusat urutan tradisional terbabit memberitahu saya perlu melakukan urutan batin bagi mendapatkan lebih komisen.

“Walaupun kekok dan malu, selepas diajar serta diberikan `kelas’ bimbingan oleh beberapa pekerja senior, saya mulai biasa dengan tugas itu,” katanya selepas dipujuk wartawan menceritakan pengalaman kerjayanya.

Menurutnya, bagi setiap bayaran urutan batin dilakukan, pelanggan membayar tambahan RM50 selain kos urutan RM60.

“Daripada bayaran RM50 bagi urutan batin, saya menerima komisen RM20 manakala baki RM30 lagi diambil tauke.
“Ada kalanya ada pelanggan lelaki datang bukan untuk mengurut badan, namun semata-mata untuk merasai urutan batin hingga sanggup membayar sekali ganda harga perkhidmatan ditetapkan,” katanya.

Namun, selepas bekerja selama lima tahun, dia berasakan kerjayanya seolah-olah dikongkong, apatah lagi dengan gaji yang masih di takuk lama selain keuntungan diperoleh hasil komisen `dirembat’ tauke.

“Atas nasihat rakan saya berpindah dari satu rumah urut ke rumah urut lain sebelum akhirnya mengambil keputusan bergiat secara solo berikutan sudah mempunyai ratusan pelanggan tetap yang hanya perlu menghubungi saya melalui telefon.

“Saya akan dihubungi melalui telefon bimbit untuk tempahan sama di bilik hotel, pangsapuri atau di pusat urut milik rakan di Greenwood, Gombak,” katanya.

Menurutnya, dia hanya menawarkan urutan badan dan batin tanpa membabitkan hubungan seks.

“Bukan tiada pelanggan sanggup membayar lebih jika saya bersetuju melakukan aksi ranjang, namun saya menolak dengan baik kerana tidak mahu merosakkan profesion dan dilabelkan pelacur.

“Saya masih ada maruah dan hanya melakukan tugas mengurut tubuh terutama bahagian saraf tertentu pada kemaluan lelaki yang mampu memulihkan keinginan syahwat `lembik’ selain mengembalikan kejantanan,” katanya.

Menurutnya, ada antara artis lelaki yang datang berurut dengannya mengalami masalah `mati pucuk’ ketika usia muda kerana terlalu kerap melakukan onani atau terbabit seks bebas sejak usia belasan tahun.

“Selepas tiga hingga lima kali menjalani rawatan, kebanyakan mereka mampu pulih seperti sedia kala dan berpuas hati dengan khidmat saya,” katanya sambil sibuk mengangkat panggilan telefon daripada pelanggan.

Lia berkata, ramai masyarakat tersalah anggap kerana menyangka kerjayanya tidak ubah seperti `pelacur’ berikutan sanggup memegang kemaluan lelaki untuk melakukan urutan batin.

“Semua yang saya lakukan (urutan batin) bukan ‘semberono’ kerana ia dilakukan mengikut langkah demi langkah dimulai dengan urutan pada bahagian perut, paha, pinggang dan bahagian bawah pusat menggunakan minyak urut khas.

“Ia diikuti urutan pada bahagian pangkal kemaluan yang dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan urat darah yang tersimpul kembali lancar,” katanya.

Menurutnya, dia mampu memperoleh sehingga RM100 bagi pelanggan biasa dan RM200 bagi pelanggan istimewa terutama di kalangan selebriti. Adakalanya dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM4,000 sebulan hasil kerja itu.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu bagaimanapun cukup berahsia dan enggan mendedahkan identiti pelanggan di kalangan artis yang pernah mendapatkan khidmat urutan batin dengannya kerana berpegang kepada janji dan prinsip.

“Jika saya sebut nama artis berkenaan, pasti satu Malaysia mengenalinya, namun saya sudah berjanji merahsiakan nama mereka atas dasar bisnes,” katanya.

Baik? Baik ada makna tuuuu....


Saya posmen profesional'


HULU SELANGOR: “Saya sedia menjadi ‘posmen profesional’ membawa pelbagai masalah rakyat Hulu Selangor kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata, ini termasuk masalah jalan susur keluar dari Lebuhraya Utara- Selatan ke Bandar Sungai Buaya di sini, yang dikemukakan penduduk sejak 12 tahun lalu yang diambil perhatian serius untuk diselesaikan kerajaan.
Katanya, kerajaan sentiasa prihatin dan bekerja kuat membantu rakyat pelbagai kaum termasuk di Hulu Selangor. “Saya sanggup membawa surat dan memorandum penduduk di sini kepada Perdana Menteri dan Timbalannya berkaitan isu semasa yang masih belum selesai.

“Nasib rakyat akan dibela sepenuhnya. Hanya kerajaan Barisan Nasional mampu menunaikan janji diberikan kepada rakyat pelbagai kaum seluruh negara termasuk di Hulu Selangor,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Terdahulu Ahmad menerima memorandum masalah penduduk termasuk susur keluar jalan dikemukakan penduduk di sini yang disampaikan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sungai Buaya, Datuk Ruslee Hashim yang dihantar menggunakan kuda jantan berbaka Arab Saudi bernama Baristo sempena Kejohanan Sukan Olahraga ke-7 sekolah itu, semalam.

Hadir sama Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Selangor, Suhaimi Rashid dan Pengetua sekolah itu, Wan Mohd Tahir Wan Ibrahim. Beliau berkata, beberapa projek besar seperti membaik pulih bumbung penduduk di pangsapuri Seri Anggerik dan di Bukit Beruntung, masalah peneroka, bantuan kewangan pendidikan dan tebatan banjir di Batang Kali , Hulu Selangor sudah diluluskan peruntukan besar oleh kerajaan Pusat.
“Saya yakin semua masalah rakyat akan diselesaikan kerajaan. Berilah kepercayaan kepada Barisan Nasional yang sentiasa membela nasib penduduk berbilang kaum.

“Untuk tujuan itu, dengan penuh tanggungjawab saya sedia menjadi ejen rakyat menyampaikan surat permohonan kepada pemimpin negara di Putrajaya,” katanya. Sementara itu, Ruslee berkata, memorandum yang diserahkan itu mengandungi permohonan dewan orang ramai, masalah ketiadaan lampu isyarat, jalan sempit tanpa penghadang, permohonan dana persatuan dan membaiki padang sekolah.

Wakil Rakyat mati baru dapat, tak ikhlas betul..ada udang disebalik batu




Penantian 12 tahun termakbul



2010/04/05

HULU SELANGOR: “Kami bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan nasib penduduk yang sabar menanti pembinaan persimpangan jalan susur keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan ke taman ini yang kini menjadi kenyataan,” kata Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Sungai Buaya, di sini, Datuk Ruslee Hashim.
Menurut Ruslee, permohonan sejak 12 tahun lalu yang melepasi empat kali pilihan raya akhirnya termakbul juga yang melegakan hati lebih 5,000 penduduk di situ.
Katanya, penduduk menggunakan pelbagai saluran termasuk melalui media cetak dan elektronik memaparkan rungutan penduduk mengenai masalah sama.

“Kami lega dengan pengumuman pihak Plus Expressways Bhd (Plus) yang bersetuju membina persimpangan susur keluar Sungai Buaya bersama dua projek lain di Perak dan Johor. Projek dimulakan awal Januari tahun depan satu keputusan bijak.

“Penduduk akan mengadakan majlis kenduri kesyukuran khas sebagai tanda terima kasih atas kejayaan permohonan yang dikemukakan kepada kerajaan itu,” katanya kepada Harian Metro di sini, selepas menjayakan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sungai, di sini, semalam.

Melayu perlu berani tegur pemimpin – Kadir

KOTA BHARU 4 April – Orang Melayu diminta tidak menyerahkan nasib dan masa depan mereka 100 peratus kepada pemimpin tanpa turut mengambil pendekatan mengawasi dan menegur sebarang kesilapan.
Tokoh wartawan, Datuk A. Kadir Jasin berkata, keadaan yang berlaku hari ini dengan hak-hak keistimewaan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan sering dipertikai dan dilihat semakin terhakis, adalah hasil kealpaan pemimpin Melayu sendiri.
Beliau yang juga Ketua Pengarang Berita Publishing berkata, orang Melayu mesti menyedarkan dan menuntut pemimpin mereka agar bertindak tegas mempertahankan hak tersebut tanpa rasa bersalah ketika masih menguasai bidang politik, pentadbiran dan pemerintahan dalam negara.
‘‘Sebarang dasar dan rancangan kerajaan hendaklah selari dan menepati kehendak Perlembagaan terutama berkaitan perhubungan kaum seperti termaktub dalam Perkara 152 berkaitan bahasa Melayu dan Perkara 153 mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan pribumi,’’ katanya semasa menyampaikan pidato perdana bertajuk ‘Hak Istimewa Orang Melayu: Konflik Antara Perlembagaan dan Amalan’ di sini semalam.

Datuk Seri Mohd. Ali Rustam - DAP ‘alergi’ perkataan Melayu


DAP ‘alergi’ perkataan Melayu

KUALA LUMPUR 4 April – Tindak tanduk pembangkang terutamanya DAP yang sering mempertikaikan usaha kerajaan membela nasib bumiputera membayangkan seolah-olah parti itu alergi atau alah dengan perkataan Melayu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sedangkan setiap penerima bantuan kerajaan tidak harus dilihat pada warna kulit kerana semua rakyat yang memerlukan akan dibantu.
“DAP kata kita rasis bila menolong kaum Melayu. Namun, kerajaan menghulurkan bantuan kepada semua rakyat yang dalam kesusahan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman mereka.
“Perlu difahami, lebih separuh penduduk Malaysia ialah golongan bumiputera dan ramai pula yang memerlukan bantuan dan pembelaan ialah orang Melayu.
‘‘Maka sebab itu lebih ramai kaum Melayu yang menerima bantuan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Segambut di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Ali menegaskan tidak perlu untuk mana-mana pihak mengungkit mengenai bangsa atau warna kulit rakyat yang menerima bantuan kerajaan.
“Jangan ada rasa dengki terhadap golongan miskin yang mendapat bantuan semata-mata kerana bangsanya berbeza dengan kita.
“Kerajaan akan terus membela yang susah dan miskin. Cuma kebetulan sahaja lebih ramai orang Melayu yang memerlukan bantuan tapi bukannya mereka sahaja yang menerima bantuan kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Ali turut mengutuk tingkah laku wakil rakyat pembangkang yang berterusan menimbulkan kekecohan ketika persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini.

Hanya wakil rakyat cemerlang dicalon semula



KUALA LUMPUR 4 April - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang mungkin masih bermimpi supaya bekerja untuk memastikan rekod cemerlang dalam kad laporan masing-masing.
Perdana Menteri menyatakan jika terdapat mana-mana wakil rakyat yang 'kad laporannya' teruk, nama mereka tidak akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
"Biasanya bila ada pilihan raya, ada yang tidak dicalon semula, ada yang dicalon semula. Yang tidak dicalon semula tu, maknanya gagal lah," katanya
Najib berkata demikian dalam temu bual eksklusif yang disiarkan Bernama TV malam ini sempena ulang tahun pertama beliau memegang jawatan itu.
Wawancara khas bertajuk Setahun di Aras 5: Temubual Khas Bersama Perdana Menteridikendalikan oleh Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Zulkefli Salleh dan Pengarang Ekonomi, Mikhail Raj Abdullah.
Perdana Menteri ditanya mengenai prestasi anggota Kabinet dan ahli-ahli Parlimen BN dan sama ada kad laporan prestasi mereka sudah diterima olehnya.
Secara keseluruhannya, Najib berpuas hati dengan prestasi mereka setelah meneliti laporan yang diterima termasuk di kalangan anggota Kabinet.
"Wakil-wakil rakyat ini, kita ada ibu pejabat yang akan pantau dan mereka tahu siapa wakil rakyat yang rajin turun padang, balik kawasan, menyelesaikan masalah rakyat dan sebagainya.
"Mungkin lepas pilihan raya 2008 itu, mereka tergamam sedikit sebab keputusan itu di luar dugaan, jadi bila dalam keadaan itu, dalam masa setahun itu agak kurang aktiviti, tetapi sekarang ini saya nampak sudah ada peningkatan yang ketara," kata beliau.
Dalam pada itu, mengulas Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, Najib berkata, BN mahu memenanginya tetapi sebarang keputusan mengenainya bukan merupakan ukuran sebenar kekuatan kerajaan.
"Pilihan raya kecil adalah hanya pilihan raya kecil dan petunjuk sebenarnya adalah pilihan raya umum.
"Apa sahaja yang kita lakukan boleh menyumbang ke arah mencapai kepada jangkaan atau psikologi untuk menang dalam PRU-13," katanya ketika ditanya jika beliau ingin menjadikan keputusan pilihan raya kecil itu sebagai satu ukuran sokongan kepada kerajaan.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 17 April dan hari membuang undi pada 25 April ini.

Calon BN diumum 15 April





SEPANG 4 April - Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor akan diumumkan pada 15 April ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, pengumuman itu akan dilakukannya sendiri seperti mana yang diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
"Saya akan umumkan siapakah calon BN pada 15 April ini. Pada tarikh itu, saya akan jelaskan siapakah calon yang mewakili BN. Setakat ini, tidak payahlah saya kata apa-apa lagi," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Petronas Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini pemilihan calon BN untuk kawasan itu.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor terpaksa diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu.
Isu pemilihan calon Hulu Selangor mula tercetus apabila Presiden MIC mencadangkan supaya timbalannya, Datuk G. Palanivel diberi peluang semula untuk bertanding.
Palanivel sebelum ini merupakan ahli Parlimen kawasan itu selama tiga penggal.
Selain itu, terdapat kehendak di akar umbi yang mahukan calon BN dipilih di kalangan pemimpin UMNO.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada bakal calon BN itu di kalangan penduduk tempatan, Muhyiddin berkata: ''Insya Allah."
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sikap pengundi terhadap BN di kawasan tersebut semakin bagus dan keadaan itu turut disedari oleh Perdana Menteri.
"Semalam Perdana Menteri turun ke kawasan berkenaan dan beliau maklum pada saya 'mood' untuk kembali sokong pada BN lebih nyata dan lebih jelas.
"Jadi kita amat berharap keadaan ini akan menjadi gelombang dan momentum (untuk pengundi kembali kepada BN)," katanya.