Showing posts with label hj. hadi. Show all posts
Showing posts with label hj. hadi. Show all posts

Thursday, December 22, 2011

Jangan berlagak pandai: Hadi


Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM – Seluruh anggota Pas diingatkan supaya mengikut haluan dan hala tuju parti serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan fahaman sahaja.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sesiapa yang berlagak pandai dan menganggap dirinya paling bijak dalam Pas pasti tersungkur serta menjadi mangsa serigala politik musuh.
Menurutnya, setiap ahli seharusnya menyedari bahawa tindakan bersendirian dengan membelakangkan parti pasti akan gagal namun Pas tetap selamat dan menjadi parti Islam yang makin gagah perkasa.
“Seluruh ahli Pas wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera parti dengan setiap pengalamannya walaupun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam.
“Pas telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam atau kalangan bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menegaskan bahawa pendekatan politik bersama Pakatan Rakyat (PR) adalah kesinambungan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh.
“Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan,” katanya.
Selain itu Abdul Hadi turut mempersoalkan kenapa Umno yang menjadi teras kerajaan Barisan Nasional (BN) masih gagal menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah SAW yang sebenarnya.
“Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun masih tidak mampu melakukan muhasabah?” katanya.
Jangan berlagak pandai: Hadi - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wednesday, August 31, 2011

Jiwa kaya, iman kuat bangkit jatuhkan rejim zalim



MARANG, 30 Ogos: Walaupun rejim Tunisia, Mesir dan Libya dibantu oleh kuasa-kuasa Bart namun tumbang kerana kebangkitan rakyat yang kaya jiwa dan iman yang kuat.
“Kebangkitan rakyat yang berani, yang bersedia untuk mengorbankan diri mereka di jalan raya, yang tidak tunduk pada kezaliman kerana jiwa yang kaya bukan jiwa yang miskin dan papa kedana,” tegas Presiden PAS ketika menyampaikan khutbah Idulfitri di Masjid Rusila, hari ini.
Katanya, kebangkitan dengan jiwa yang kaya dan iman yang kuat boleh menjatuhkan kerajaan-kerajaan yang zalim.
“Sekiranya kita berpegang dengan Islam kita akan diberikan kemuliaan oleh Allah SWT,” katanya.
Justeru, katanya puasa mengajar umat Islam untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT yang bersedia untuk mengorbankan diri, sanggup berlapar, berdahaga, letih dan menahan diri menghadapi kesusahan dan kepayahan.
Tambahnya, mereka meninggalkan nikmat dunia kerana taatkan kepada Allah SWT. “Begitulah kewajipan kita untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi Allah ini,” ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, orang-orang munafik didedahkan oleh Allah bahawa mereka golongan berpura-pura Islam, hatinya tidak percaya dengan Islam.
Katanya,  orang-orang yang lemah imannya menganggap janji kemenangan yang disebut oleh Allah dan Nabi s.a.w. hanyalah tipu daya sahaja.
Justeru, ujarnya adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam yang dilatih oleh Allah SWT dengan puasa Ramadan untuk membebaskan diri daripada tipu daya syaitan.
“Marilah kita berhari raya dengan semangat yang baru, jiwa yang baru, bercita-cita untuk menemui Allah SWT dan hari pertemuan kita dengan Allah adalah hari yang paling bahagia,” ujarnya lagi. harakahdaily

Saturday, June 4, 2011

Tolak Umno


KUALA LUMPUR: Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Umno dan menolak sebarang usaha ke arah itu.
Dalam ucapan dasar pada Muktamar Pas Ke-57 yang bertajuk “Membangun Negara Berkebajikan“ di Taman Melewar, di sini Abdul Hadi menegaskan Pas akan terus bersama rakannya dalam Pakatan Rakyat sebagaimana dipersetujui dalam dokumen dasar bersama pakatan itu.

Beliau berkata, polisi itu membabitkan satu paradigma baru pendemokrasian, satu aspek menyeluruh sistem pemerintahan dan urus tadbir negara.
Sambil mendakwa sistem demokrasi di negara ini sudah tempang, Abdul Hadi menuduh sikap Umno dan BN yang ingin mengekalkan kuasa sebagai punca ianya berlaku.

Sungguhpun begitu, katanya Pas sehingga kini tetap mendahulukan pendekatan damai secara demokrasi dan bersabar menunggu walaupun dijatuhkan secara tidak bermoral.

Beliau berkata, rakyat hanya berpeluang mengundi dengan sistem lama yang terlalu lemah dengan minda yang tertutup sehingga rakyat tidak boleh menjadi hakim adil mengikut makna demokrasi sebenar.
“Demokrasi bukan hanya memangkah kertas undi. Amalan demokrasi menuntut rakyat berpeluang mendapat maklumat semua parti dan calon bertanding melalui media terbuka.

“Apa yang berlaku, pada setiap pilihan raya, rakyat disogokkan dengan maklumat oleh jentera kerajaan sedangkan parti dan calon lain diberi peluang sangat terbatas untuk menyampaikan maklumat,” katanya.
Abdul Hadi juga menjelaskan perbezaan ideologi antara Pas dengan Umno tidak membolehkan kedua-dua parti duduk semeja terutama pendirian Umno yang memisahkan politik dengan agama yang menurut beliau sama sekali bertentangan dengan amalan Pas berpolitik mengikut panduan al-Quran.

Katanya, dalam pentas politik tanah air, Umno parti majoriti Melayu dan Bumiputera diamanah pemerintahan sejak keluarnya penjajah asing, tetapi penyakit penjajah asing yang memisahkan amanah ini daripada perhitungan agama sudah menjangkiti Umno.

Abdul Hadi berkata, apabila Islam tidak dijadikan teras politik, maka jati diri umat Melayu Islam kian hari kian lemah dan ini menyebabkan amanah besar sebagai pemerintah itu dijadikan peluang kebendaan kalangan tertentu untuk menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat.

Pada masa sama, katanya Umno sekadar mengekalkan kuasa dan bukan memartabatkan bangsa Melayu dan Islam. - Bernama
myMetro | Tolak Umno

Thursday, May 19, 2011

Hadi kekal Presiden PAS

Menang tanpa bertanding




KUALA LUMPUR: Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, secara rasmi mengekalkan jawatannya bagi penggal kelima pada pemilihan parti itu yang akan diadakan awal bulan depan.Datuk Seri Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, disahkan menang tanpa bertanding selepas seorang lagi calon yang dicalonkan merebut jawatan berkenaan tidak layak bertanding kerana gagal mendapat pencalonan yang cukup.Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, setiap calon memerlukan dua pencalonan daripada PAS kawasan bagi melayakkan mereka bertanding.Sebelum ini, PAS Kawasan Bukit Bintang menerusi mesyuarat agungnya membuat kejutan apabila mencalonkan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, bagi merebut jawatan nombor satu parti itu.Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Presiden, seramai enam calon layak bertanding bagi jawatan berkenaan termasuk penyandang jawatan berkenaan, Encik Nasharudin Mat Isa, lapor mStar Online.Lima yang lain ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Datuk Husam; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Encik Mohamad Sabu; serta dua Naib Presiden iaitu Encik Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.Sebelum ini, Encik Nasharudin mengesahkan akan mempertahankan jawatannya itu sementara Encik Mohamad Sabu turut menawarkan diri bertanding bagi jawatan berkenaan.Selain itu, bagi jawatan Naib Presiden, seramai 14 calon yang layak bertanding termasuk Datuk Seri Azizan, Datuk Husam, Encik Mohamad Sabu, Nasharudin, Salahudin dan Tuan Ibrahim.Tambah Datuk Abdul Halim, seramai 82 calon yang layak bertanding bagi merebut 18 kerusi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.Terdahulu pada sidang media yang sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata pihaknya menerima sebanyak 152 jumlah borang pencalonan daripada keseluruhan 180 kawasan.Bagaimanapun, daripada jumlah itu hanya 146 jumlah pencalonan yang diterima selepas menolak enam pencalonan kerana tidak lengkap.Muktamar Tahunan ke-57 PAS akan diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, Gombak, di sini, dari 3 hingga 5 Jun ini.Seramai 1,100 perwakilan dijangka menghadiri muktamar tahun ini dan sekali gus membuat pemilihan parti, lapor Bernama.Cyberita