Tuesday, January 4, 2011

Polis memberhentikan ceramah apabila Anwar timbulkan Apco Worldwide

KERENGGA: Polis memberhentikan ceramah apabila Anwar timbulkan Apco Worldwide
Di sebalik reputasi sebagai kubu kuat BN, kehadiran ketua umum PKR untuk kempen pilihan raya kecil Tenang menimbulkan peluh dingin di kalangan pemimpin BN.
NONE
Di dua ceramah malam tadi, polis terus bertindak sebaik sahaja Anwar mengambil tempatnya untuk berpidato.


Sebagai kontras, ucapan beberapa pemimpin Pakatan rakyat yang lain tidak dihiraukan dan dibiarkan berlarutan.


“Bila pemimpin lain berucap, tiada ganguan. Bila Anwar berucap, polis akan terus menganggu dan menghentikannya.


“Umno Johor cukup gusar dengan kehadiran Anwar kerana beliau cukup berpengaruh di sini, khususnya ketika menjadi timbalan perdana menteri,” kata ketua penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman.


Pada majlis pertama di Kampung Ayer Panas, jalan menuju ke tempat itu dibarisi kenderaan polis dan sekatan jalan raya.


NONEMenurut orang ramai, kehadiraan polis yang ramai itu menakutkan masyarakat setempat untuk keluar menghadiri majlis berkenaan. Hanya kira-kira 300 orang hadir.


Apabila tiba giliran Anwar berucap pada jam 9.45 malam semalam, polis terus bertindak dan mengarahkan ceramah berkenaan dihentikan. Anwar akur dan bergerak menuju majlis keduanya di Felda Cempelak.Meriam air


Ceramah di Felda Cempelak berjaya menarik lebih ramai hadirin - kali ini sekitar 3,000 orang, meskipun dengan kehadiran anggota polis yang tetap ramai dan diperlengkapkan dengan dua trak meriam air.


Anwar mengambil tempatnya di pentas utama pada jam 10.45 malam selepas ucapan pemimpin lain seperti ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Mazlan.


NONESebaik sahaja mahu mula berucap, polis naik ke pentas untuk menghentikan ketua pembangkang itu. Pihak penganjur juga gagal memujuk polis supaya membenarkan Anwar untuk berucap dan semua peralatan pembesar suara juga dirampas.


Tanpa menghiraukan larangan itu, Anwar meneruskan ceramah menggunakan hailer. Namun hanya mereka yang berada berdekatan dapat mendengar.


Polis membiarkan ceramah itu berterusan selama kira-kira 40 minit sehinggalah Anwar menimbulkan isu Apco Worldwide, sebuah firma antarabangsa yang diupah oleh pentadbiran Najib.


NONE“Apabila Anwar timbulkan Apco Worldwide, polis terus mengepung kawasan itu. Bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini kami terpaksa menamatkan ceramah itu,” kata Mazlan yang juga timbalan pengarah kempen pilihan raya kecil PAS bagi kerusi Tenang.


Penamaan calon pilihan raya kecil DUN Tenang dijadualkan pada 22 Januari ini, manakala pengundian ditetapkan pada 30 Januari jika ada pertandingan.

Nik Aziz: Pak Lah bawa titah mengadap Agong - Malaysiakini


, 11 2Kongsi
Menjelaskan kekeliruan berkaitan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Menteri Besar Kelantan, Datuk Aziz Nik Mat berkata beliau
dikunjungi bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang membawa titah mengadap Seri Paduka.

NONENik Aziz yang juga mursyidul am PAS berkata beliau diminta mengadap bersama-sama beberapa pemimpin, termasuk presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang ke majlis santapan malam di Istana Terengganu, di ibunegara.

Ketika itu, jelas Nik Aziz, beliau berada di Hosptail Universiti Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Atas dasar menghormati dan menjunjung titah Tuanku, saya telah menghadiri majlis tersebut," kata Nik Aziz dalam kenyataan ringkas empat perenggan hari ini.
Sangat tidak beretika

"Adalah sangat tidak beretika dan tidak beradab bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa mengadap," tambahnya.

Sehubungan itu, Nik Aziz, menyeru semua pihak - sama ada media atau mana-mana individu - supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu.

Oleh itu, menteri besar Kelantan itu berharap supaya dihentikan sebarang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana.

Semalam, Nik Mat dilaporkan mengakui bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhir Disember lalu, tetapi enggan mendedahkan hasil pertemuan itu kerana ia pertemuan tertutup.

NONESejak minggu lalu, pertemuan itu mencetuskan kebimbangan di kalangan penyokong parti Islam itu, sehingga tersebarnya desas-desus munculnya kembali usaha mewujudkan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno.

Ia bermula apabila laporan tabloid mingguan Siasah - berjudul "Nik Aziz, Najib menghadap Agong?" - pada minggu lalu melaporkan di muka depan pertemuan itu.

Dilaporkan, Siasah mendakwa perjumpaan "besar" pada 24 Disember di Istana Terengganu, Kuala Lumpur turut melibatkan Timbalan Perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bimbang dengan perkembangan itu, beberapa pihak, antaranya Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Haron pada 29 Disember lalu mengulasnya di laman Facebook, menyatakan kebimbangannya kemungkinan berlaku usaha menghidupkan semula idea kerajaan perpaduan.

Malah, terdapat juga dakwaan bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Nasharuddin Mat Isa turut terlibat dalam pertemuan itu.

Bunuh, rogol, rasuah & nilai Melayu - Malaysiakini


Bunuh, rogol, rasuah nilai Melayu
Hishamuddin Rais
Jan 3, 11
3:10pm

Dunia Melayu kini telah berubah. Ini bukan sekali air bah, sekali emak meninggalkan abah. Yang berubah ini bukan emak dan abah. Yang berubah ialah nilai manusia Melayu. Ini satu perubahan yang amat besar. Dalam masa hanya satu generasi telah dilihat satu perubahan budaya nilai Melayu yang amat jelas. Satu anjakan atau lebih tepat lagi satu lonjakan nilai telah berlaku.

Lonjakan nilai manusia Melayu ini bukan dibawa oleh tok lebai atau oleh sasterawan negara atau cikgu sekolah. Nilai ini bukan datangnya dari sekolah pondok atau sekolah kebangsaan. Yang bertanggungjawab membawa nilai baru ini ialah struktur ekonomi.

Struktur ekonomi ini telah diperkenalkan kepada manusia Melayu oleh United Malays National Organisation. Selama hampir 30 dahulu, Mahathir Mohamad melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memasukkan satu nilai dan budaya baru dalam roh manusia Melayu.

Tiga puluh tahun sebelum hari ini, manusia Melayu adalah manusia pertanian. Ekonomi Melayu adalah ekonomi pertanian. Justeru, nilai yang dilahirkan oleh manusia Melayu ketika itu menggambarkan sopan santun dan damai mesra masyarakat pertanian.

Apabila DEB diperkenalkan, dasar ini menolak manusia Melayu ke satu dunia dan alam yang baru – alam jual beli atau alam perniagaan. Pada tahun tahun 70-an, manusia Melayu telah digalakkan datang berhijrah ke bandar dan kota. Dari kampung yang permai, manusia Melayu telah mula memasuki pekan dan bandar yang adat budayanya amat berbeza.

Perubahan yang dibawa oleh DEB ini bukan satu perubahan yang perlahan lahan, bukan evolusi. DEB ini telah mengheret dan memaksa manusia Melayu untuk menerima satu nilai dan budaya yang baru. Justeru, roh manusia Melayu ini pada tahun-tahun 90-an dahulu telah dipopularkan sebagai roh Melayu baru. Ini adalah garis pisah antara Melayu pertanian dengan Melayu peniagaan.

Sistem ekonomi yang dimunculkan oleh DEB pada asasnya ialah ekonomi sistem kapitalis. Tetapi dengan United Malays National Organisation, sistem kapitalis ini telah diubahsuai. Sistem kapitalisme ini tidak lagi menjadi satu perniagaan bebas, tetapi kapitalisme kroni. Kapitalisme jenis ini telah memilih anak bini kawan dan sahabat menjadi rakan niaga untuk menerima dana dan kontrek dari kerjaaan. Kapitalisma kroni inilah yang selama ini bertanggung jawab melahirkan satu nilai baru kepada manusia Melayu.

Asas nilai baru yang sedang dianjurkan oleh United Malays National Organisation ialah mengumpul pangkat, darjat, harta dan kekayaan. Tamak dan haloba dianggap nilai yang baik dalam budaya niaga.

Mementingkan kontrak dan tender
Hari ini jati diri Melayu - siapa Melayu, apa kepercayaan manusia Melayu, apa agama manusia Melayu – semuanya telah didifinasikan oleh United Malay National Organisation. Semua pengtakrifan baik dan buruk sedang dimonopoli oleh United Malays National Organisation.

Naratif yang berbeza dari apa yang diajar oleh United Malays National Organisation akan dianggap salah atau akan termasuk ke dalam bab ajaran sesat. Ajaran agama Islam juga telah didifinasi oleh United Malays National Organistation. Halal haram, baik dan buruk bukan lagi dirujuk melalui kitab kitab suci, tetapi melalui 'juruheboh' dan jurucakap agama yang dilantik oleh United Malays National Organistion.

Tidak dibenarkan, malah dilarang dan diharamkan apa sahaja naratif yang berlainan dari cerita yang dimulutkan oleh penyokong United Malays National Organistion. Kebenaran kini, telah dan sedang dimonopoli oleh United Malays National Organistion.

Rasuah yang pada satu ketika dahulu tidak ditemui atau berani menyerang masyarakat pertanian kini telah menjadi satu jalur budaya Melayu. Rasuah kini dilihat sebagai ciri budaya untuk menjalankan apa sahaja bentuk perniagaan. Malah kaum pemodal dan orang berniaga kini telah menerima pakai budaya rasuah. Dalam perhitungan jual beli, mereka telah menyediakan belanjawan khusus untuk merasuah sesiapa yang patut dirasuah – dari budak pejabat hingga ke ketua pegawai eksekutif (CEO).

Nilai Melayu baru ini tidak berhenti di tahap rasuah sahaja. Satu contoh klasik: Lebih dari satu dekad dahulu ada satu kes di mana seorang ketua menteri dikaitkan dengan anak sekolah bawah umur yang hamil. Kes ini menjadi heboh. Tetapi dengan nilai Melayu baru, kes 'rogol bawah umur' ini tidak mendatangkan mudarat kepada si perogol.

Manusia Melayu yang menganuti nilai baru ini telah tidak menyatakan rasa mual, benci atau merasa bersalah kerana kes rogol anak bawah umur telah dikaitkan dengan seorang ketua menteri. Nilai baru yang dihayati oleh manusia Melayu ini lebih mementingkan kontrak dan tender yang akan diperolehi daripada mementingkan salah atau benar seorang budak bawah umur yang dirogol.

Ketika tulisan ini ditulis, satu lagi kes rogol sedang heboh dan rancak dibincangkan dalam laman sesawang. Telah diperkatakan bahawa seorang menteri kanan dalam pentabiran Abdullah Badawi dahulu dikatakan terlibat merogol seorang pembantu rumah dari Indonesia.

Sama ada kes ini sahih atau tidak, bukan persoalannya. Apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana manusia Melayu baru ini telah menjadi lali. Mereka tidak lagi teperanjat apabila membaca berita ini. Malah mereka tidak hairan yang berita ini telah tenggelam timbul selama dua tahun.

Nilai salah dan benar
Rasuah, rogol dan tipu ini telah menjadi satu yang lumrah. Ini kerana, ia sering berlaku atau dilakukan oleh mereka duduk di puncak kuasa, maka orang awam kini telah mula menerima perkara ini sebagai jalur nilai dan budaya Melayu.

Mari kita lihat satu lagi kes klasik yang telah membuktikan lonjakan perubahan nilai manusia Melayu ini. Kes yang dimaksudkan ini ialah kes pembunuhan model dari Mongolia. Dari apa yang umum baca, dengar dan lihat - ketika kes ini dibicarakan - umum telah tahu tentang kawan baik kepada Najib Razak (ketika itu timbalan perdana menteri) telah dituduh bersubahat dalam pembunuhan ini.

Malah dari apa yang umum diberitahu, mengikut laporan mahkamah Najib Razak bukan hanya kawan kepada orang yang tertuduh. Dari mulut saksi, perbicaraan umum telah diberitahu bahawa model yang dibunuh ini telah bertemu dengan Najib Razak di Paris. Malah melalui satu akuan bersumpah umum juga telah diberitahu yang Najib Razak ini adalah bekas kekasih model yang terbunuh. Najib bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Persoalan yang timbul di sini, bukan siapa yang membunuh. Atau siapa yang memberi arahan agar model ini dbunuh. Bukan ini yang ingin dibincangkan. Apa yang ingin ditimbulkan ialah bagaimana tiga juta manusia Melayu yang menjadi ahli United Malays National Organisation telah menjadi lali dan tuli bila berhadapan dengan kes pembunuhan model dari Mongolia ini.

Ketulian dan kelalian perasaan tiga juta ahli parti United Malays National Organisation ini terjadi kerana mereka telah menerima dan menghayati nilai dan budaya baru. Tiga juta manusia Melayu ini kini hanya boleh melihat melihat kontrak dan tender. Mata dan jiwa mereka tidak berupaya lagi melarikan diri dari kuasa, pangkat dan harta benda.

Jalur nilai baru ini tidak memiliki nilai salah dan benar. Malah salah dan benar telah pun ditakrif oleh juruheboh dan 'juruagama' United Malays National Organisation. Apabila juruheboh dan juruagama mengatakan Najib Razak ini suci dan bersih, maka tiga juta manusia Melayu ini juga akan mengangguk menerima perkara ini umpama wahyu.

Nilai baru ini menjadi amat merbahaya kerana sesiapa yang menghayati nilai ini tidak lagi ada keupayaan untuk menilai mana yang salah dan mana yang betul. Kerana ramai yang sanggup menerima dan berkongsi dengan nilai ini maka mereka merasa selamat dan betul. Angka dan jumlah yang banyak menjadikan mereka merasa kebal.

Anjakan nilai manusia Melayu ini telah menjadi bagitu songsang. Dari manusia pertanian yang jujur dan bersopan santun kini manusia Melayu akan berkira-kira tentang untung rugi sebelum membuat apa-apa keputusan. Mereka tidak lagi menilai sesuatu dengan salah benar atau halal haram. Akhirnya, tiga juta manusia Melayu yang menjadi ahli United Malays National Organisations bukan hanya menganggap sosok Najib ini suci dan bersih malah Najib Razak ini telah diangkat dan dinobatkan untuk menjadi ketua mereka.

Inilah krisis yang sedang dihadapi oleh manusia Melayu – krisis nilai. Maka terpulang kepada manusia Melayu lain – yang bukan termasuk dalam kategori tiga juta ini - jika mereka masih memiliki nilai salah benar untuk bangun dan bersuara. Krisis nilai orang Melayu ini akan berpanjangan dan membawa mudarat yang amat sangat ke atas negara bangsa. Mudarat akan sampai jika ramai orang Melayu yang bersopan santun dan jujur tidak melakukan sesuatu.Bunuh, rogol, rasuah & nilai Melayu - Malaysiakini

Jangan terkejut polis ketuk pintu rumah


SHAH ALAM 3 Jan.- Orang ramai di negeri ini dinasihatkan agar jangan terkejut jika terdapat anggota polis datang mengetuk pintu rumah mereka dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, langkah tersebut merupakan strategi terbaru polis pada tahun ini bagi memperkenalkan diri mereka dalam usaha meningkatkan kerjasama dengan anggota masyarakat untuk membanteras jenayah.
"Anggota polis akan mengetuk pintu-pintu rumah penduduk dan pegawai yang ditugaskan bagi sesuatu kawasan yang dipecahkan kepada sektor tertentu akan memperkenalkan diri mereka.
"Dalam lawatan rumah ke rumah itu, pegawai terbabit akan mengedarkan sekeping kad kecil yang tertera nombor pegawai terbabit dan telefon balai polis.
"Jadi janganlah lari kerana kami bukan mahu membuat tangkapan dan jangan risau ia tidak ada kaitan dengan politik atau jenayah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Menurut Tun Hisan, pendekatan itu sebenarnya adalah bagi mewujudkan 'sentuhan peribadi' dengan anggota masyarakat selain membolehkan orang ramai membuat aduan tentang masalah mereka termasuk kes jenayah yang berlaku di sektor-sektor terbabit.
"Anggota saya memang bersedia untuk menerima sebarang aduan termasuk masalah gangsterisme di sekolah, dadah atau kecurian, mereka akan memberikan sokongan kepada masyarakat dan menjadi penjaga keamanan," katanya.
Katanya, buat masa ini, pihaknya masih melakukan proses mencetak kad yang dijangka siap hujung minggu depan dan kemudian akan diagihkan kepada orang ramai semasa sesi lawatan rumah ke rumah kelak.
"Janganlah nanti bila pegawai saya datang penduduk tidak membuka pintu atau menghalau mereka.
"Ini kerana anggota saya akan memperkenalkan diri mereka dan berpakaian seragam polis," katanya.
Beliau menambah, pegawai polis yang ditugaskan dalam sektor tertentu akan diselia oleh ketua balai bagi membolehkan perundingan dijalankan jika sesuatu tindakan perlu dilakukan secara berpasukan.
Dalam pada itu, Tun Hisan berkata, kadar jenayah di negeri ini pada tahun lalu didapati telah menurun sebanyak 11.55 peratus iaitu pengurangan sebanyak 6,267 kes.
Katanya, pada tahun lalu, sebanyak 48,005 kes jenayah direkodkan berbanding 54,272 kes pada 2009.
"Meskipun dengan penurunan kes jenayah di kesemua 14 buah daerah di negeri ini, kami masih tidak berpuas hati kerana masyarakat masih lagi mempunyai perasaan takut terhadap jenayah.
"Sebab itulah, pada tahun ini kita mengadakan program mendekati masyarakat selain penggunaan kaedah 'payung' dalam membanteras jenayah yang terbukti berkesan,'' katanya.

Lagi wanita warga emas sudi jadi teman Ahmad


Zainab Salleh


KEMAMAN 3 Jan. - Warga emas berusia 110 tahun, Ahmad Md. Isa (gambar) mempunyai lebih pilihan dalam mencari teman hidup untuk mengubat kesepian apabila seorang lagi wanita menawarkan diri untuk menjadi isterinya.
Wanita berkenaan, Zainab Salleh, 70, lebih muda 12 tahun daripada Sanah Ahmad, 82, dari Kuala Lumpur yang mula-mula menawarkan diri untuk menjadi isteri Ahmad selepas membaca kisahnya mencari teman hidup di akhbar baru-baru ini.
Zainab dari Kampung Telaga Papan, Kerteh dekat sini yang tersentuh dengan kisah Ahmad menyatakan kesediaan untuk menjadi isterinya agar usia tua tidak lagi dilalui secara bersendirian.
"Sunyi itu sakit. Jika dia terima, saya sedia tinggal bersamanya di Kedah," ujar Zainab yang kematian suami 15 tahun lalu.
Ibu kepada lapan orang anak berusia 30 hingga 53 tahun itu berkata, dia memahami mengapa dalam usia yang begitu lanjut Ahmad masih memerlukan teman.
Zainab kini tinggal berseorangan selepas anak perempuan yang menemaninya selama ini berkahwin beberapa bulan lalu dan berpindah mengikut suaminya.
Sebelum ini kata Zainab, dia pernah berkenalan dengan seorang lelaki dari Pasir Puteh, Kelantan dan merancang untuk berkahwin, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana lelaki itu tidak serius.
"Anak-anak belum tahu mengenai hasrat ini dan saya harap mereka dapat menerimanya. Kalau boleh saya mahu seorang peneman hidup, sekurang-kurangnya dapat berbual dan berkongsi rasa," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sebelum ini Utusan Malaysia menyiarkan tentang keinginan Ahmad untuk berkahwin lagi bagi mengubat kesunyian.
Tahap kesihatan Ahmad yang menetap di Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar, Kedah bagaimanapun dilaporkan agak menurun kebelakangan ini.
Ditanya mengenai hajat Sanah yang turut menyuarakan hasrat menjadi isteri Ahmad, Zainab menyerahkan perkara itu kepada takdir.
''Saya maklum ada seorang lagi wanita yang ingin menjadi isteri Ahmad dan saya tidak kisah kerana percaya kepada ketentuan jodoh," katanya.
Zainab yang kelihatan masih bertenaga berkata, tahap kesihatan Ahmad tidak menjadi soal kerana dalam usia emas tiada seorang pun yang sihat berpanjangan.

Nurul Dahyatul ceria ke sekolah



Nurul Dahyatul Fazlinda diiringi guru-guru ketika sesi persekolahan bermula diSekolah Kebangsaan Padang Setar Hulu Terengganu, semalam.– Utusan/Shaifudin Mohd. Nor


Selain Nurul Dahyatul, ibu, adik serta neneknya juga terkena simbahan asid tetapi tidak begitu teruk dan kecacatan masih boleh dilindungi.
Ekoran episod malang itu juga, Nurul Dahyatul yang masih menerima rawatan terpaksa memakai topeng muka bagi mengecut dan mengurangkan kesan parut yang serius di wajahnya.
Sebelum ini budak perempuan itu yang tinggal di Sekayu, dilaporkan suka menyendiri dan sering bertanyakan bila wajahnya akan kembali pulih dan tidak bersedia untuk ke sekolah kerana bimbang akan menjadi mangsa ejekan.
Sementara itu, rakan baiknya, Nurul Ain Rosyaddi berjanji akan sentiasa mendampingi Nurul Dahyatul di sekolah dan mempertahankannya daripada menjadi bahan ejekan.
“Saya dah sekelas dengan Lin (Nurul Dahyatul Fazlinda) sejak darjah satu dan saya kasihankan dia.
"Nanti kalau ada orang usik Nurul, Ain akan tolong bela," katanya yang duduk bersebelahan dengan Nurul Dahyatul dalam kelas Tiga Pintar.
Dalam pada itu, Shafruddin memberitahu, pihak sekolah akan mengadakan satu perhimpunan khas hari ini bagi memaklumkan kepada semua pelajar supaya memastikan Nurul Dahyatul selesa belajar di sekolah itu.
“Saya difahamkan bahawa pergerakan kanak-kanak itu seperti ke kantin akan dipantau oleh pengawas sekolah bagi memastikan dia tidak menjadi sasaran pelajar nakal,” katanya.

Khalid bertindak balas




SHAH ALAM 3 Jan. – Isu pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang baru semakin rumit apabila Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dilihat bersungguh-sungguh untuk menyingkirkan Datuk Mohammed Khusrin Munawi melalui pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.
Ini berdasarkan kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mencadangkan agar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar diadakan bagi meminda undang-undang itu dengan kononnya untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif termasuk SUK kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.
Dalam sidang akhbar tergempar hari ini, Abdul Khalid berkata, beliau akan menemui Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim dalam masa terdekat bagi memaklumkan mengenai cadangan itu agar ia dapat dilaksanakan.
Menurutnya, beliau juga telah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi ini membincangkan isu pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK yang sebelum ini ditunda kerana baginda sedang bercuti.
‘‘Sultan Sharafuddin telah berpandangan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)
‘‘Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis perlembagaan berlaku yang mana Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa Persekutuan.
‘‘Sehubungan itu baginda telah mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik,” dakwa beliau pada sidang akhbar di bangunan SUK petang ini.
Terdahulu, Abdul Khalid yang menaiki kenderaan pelbagai guna peribadinya dilihat masuk ke pekarangan Istana Mestika di Seksyen 7 di sini pukul 10.50 pagi ini untuk menghadap Sultan Sharafuddin.
Beliau dilihat meninggalkan istana kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Abdul Khalid berkata, bagi menjunjung titah Sultan Sharafuddin, beliau akan menulis surat kepada SPA dan akan dihantar hari ini atau esok bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut.
Bagaimanapun, pada sidang akhbar itu, Abdul Khalid mengakui bahawa pelantikan Mohammed Khusrin oleh SPA adalah sah di sisi undang-undang.
‘‘Sebelum penyelesaian muktamad dicapai dengan SPA, kerajaan negeri juga tidak mahu terlibat dengan sebarang majlis atau keraian dengan SUK.
‘‘Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan.
‘‘SUK juga tidak akan hadir dalam mesyuarat Exco atau pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai ex-officio tetapi boleh melakukan kerja-kerja SUK seperti menguruskan hal tanah dan sebagainya,” kata beliau.
Ditanya sama ada beliau akan menghadiri upacara angkat sumpah Mohammed Khusrin di Istana Kayangan pada Khamis ini, Abdul Khalid berkata, beliau akan berbincang mengenai perkara itu dengan barisan Exco sebelum membuat keputusan.
Isu pelantikan Mohammed Khusrin mula timbul apabila sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar pada 27 Disember lalu memaklumkan pelantikan Mohammed Khusrin belum muktamad kerana Abdul Khalid tidak pernah dimaklumkan mengenainya.
Kenyataaan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK berkuatkuasa 1 Januari lalu oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Menteri Besar kemudian dikatakan mahu menghadap Sultan Sharafuddin bagi membincangkan isu tersebut pada 29 Disember lalu tetapi terpaksa ditunda kerana baginda sedang bercuti.