Wednesday, April 14, 2010

Apa Istimewanya Zaid Ibrahim???



"Apa istimewanya Zaid Ibrahim?" tanya Dato' Seri Anwar Ibrahim

"Sanggup berkorban jawatan sebagai Menteri untuk pertahankan hak rakyat. Pemimpin UMNO ada yang sampai sanggup cium tangan pemimpin mereka pun tak dapat jadi Menteri, Timbalan Menteri pun tak dapat."


"UMNO buat mesyuarat tergempar siang tadi apabila mengetahui kita meletakkan Zaid Ibrahim sebagai calon Hulu Selangor" DSAI

"Saya terima dengan penuh kesedaran dan mencuba dengan sepenuh kekuatan untuk sama-sama menghapuskan kezaliman BN" ucap Dato' Zaid Ibrahim.

"Saya baru bercakap dengan Tuan Guru Nik Aziz yang sedang berada di Tanah Suci Mekah dan beliau berkata "Biarlah kita sama-sama berdo'a dan bekerja untuk kemenangan" "

" Saya bukanlah orang luar, saya telah lama bermastautin di Selangor dan saya amat faham tentang masalah di Selangor ini. Saya tahu tentang masalah Felda dan penerokanya." Begitulah lebih kurang ucapannya lagi.
Beliau menambah dan mendedahkan bahawa kekayaan FELDA berjumlah RM 400 juta ringgit!!!....apakah dan berapa banyakkah nikmat yang diperolehi dan dinikmati oleh peneroka FELDA??

Rakyat tidak dapat menikmati kekayaan negara akibat ketamakan pemimpin walaupun negara kita kaya.


"InsyaAllah saya boleh menjadi suara kepada semua rakyat di sini!!!!"

94 Hulu Selangor :Biografi & Menifesto Dato' Zaid Ibrahim


Klik emej untuk lebih jelas

Nama: Mohd. Zaid Ibrahim
Umur: Lahir pada tahun 1951 di KelantanPendidikan: Ijazah Undang-Undang, LLB Hons (1974) Barrister at Law Inner Temple 1975Kerjaya: Bersara (100% Ahli Politik Sekarang)
Website: http://myzaidibrahim.wordpress.com/
Twiter: http://twitter.com/zaidibrahim
Facebook: Datuk Zaid Ibrahim
Sejarah pembabitan dalam politik

Mula berkecimpung di bidang politik pada tahun 1986 melalui UMNO, walaupun mula aktif hanya selepas tahun 1990.
2001: Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu.2003: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO.2004-2008: Ahli Parlimen BN Kota Bharu, yang pertama sejak 1990.2005: Digantung dari jawatan Ketua Bahagian dan digugurkan sebagai calon 2008.Mac 2008: Dilantik sebagai Senator di Dewan Rakyat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (portfolio undang-undang & reformasi badan kehakiman).Sept 2008: Meletakkan jawatan Senator dan Menteri sebagai protes penggunaan ISA ke atas 3 rakyat Malaysia.Dec 2008: Dipecat dari UMNO kerana menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia tentang pendiriannya mengenai ISA.Jun 2009: Menganggotai PKR. Seterusnya dilantik sebagai menjadi anggota Majlis Tertinggi PKR, AJK Biro Politik PKR dan Penyelaras Pakatan Rakyat.

Dalam masa 25 tahun bermula 1987 - Datuk Zaid berjaya menubohkan syarikat guaman Zaid Ibrahim & CO dari hanya mempunyai saorang peguam hinggalah melebehi 140 orang pada tahun 2008 menjadikan firma itu yang terbesar di negara. Beliau bersara dari syarikat tersebut bila menerima jawatan Menteri pada tahun 2008.
Keadilan untuk Semua

Datuk Zaid Ibrahim memberikan perhatian berat terhadap aspek sistem perundangan kita yang tidak adil, termasuklah penggunaan ISA dan keperluan reformasi badan kehakiman.

Beliau percaya keadilan adalah untuk semua dan menolak politik perkauman.

Beliau berhasrat mempertingkatkan ketelusan dalam Kerajaan – dari memperbaiki ketelusan dalam pentadbiran Petronas dan FELDA sehinggalah usaha untuk memperkenalkan semula pilihanraya tempatan.

Datang dari keluarga yang miskin, beliau juga amat prihatin terhadap masalah kemiskinan, hak tanah dan kebajikan rakyat, termasuklah tanah adat Orang Asal.

Datuk Zaid juga aktif melakukan kerja-kerja kebajikan di luar arena politik.

Beliau berhasrat untuk mengembalikan politik Malaysia sebagai politik yang berbincang tentang dasar dan kebajikan rakyat dan politik yang memberikan hak dan kebebasan kepada rakyat.
Kerja-kerja kebajikan & penerbitan

Pengasas Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), 1998.
Pengasas MyFuture Foundation, yayasan mempromosikan keharmonian antara kaum di kalangan belia Malaysia, 2008.
Buku

Dari Hati yang Ikhlas, 2007 & Saya pun Melayu, 2009

Turut terlibat dalam usaha memelihara kesenian tradisi Melayu Kelantan.
Latarbelakang Keluarga & Pendidikan Awal

Datuk Zaid Ibrahim dilahirkan di Kampung Chap - Bachok, Kelantan pada tahun 1951 dalam sebuahkeluarga kampung biasa di kawasan pedalaman. memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Marak berhampiran dengan kampungnya, di mana beliau terpaksa berjalan kaki selama sejam setiap kali pergi dan pulang dari sekolah

Menyambung pelajaran ke Sekolah Rendah Sultan Ismail, apabila keluarganya berpindah di kawasan setinggan di Kota Bharu, selepas ayah beliau, yang sebelum ini membuat kerja-kerja kampung sambil berniaga kecil-kecilan untuk menyara keluarga, mula berniaga ayam di pasar besar Kota Bharu.

Semasa berada dalam darjah lima, beliau menerima Biasiswa Kecil Persekutuan sebanyak RM15 sebulan berdasarkan prestasi baik pelajaran beliau dan kesulitan kewangan keluarganya, “saat paling menggembirakan dalam hidup saya” kerana tanpa bantuan tersebut, beliau berkemungkinan tidak dapat meneruskan persekolahannya.

Dengan tekad usahanya menumpukan perhatian terhadap pelajaran di samping mengembangkan minat membaca di masa lapang di perpustakaan awam di Kota Bharu, Datuk Zaid akhirnya berjaya ke salah sebuah sekolah menengah yang terbaik di Kota Bharu iaitu Kolej Sultan Ismail.

Kemahuan beliau untuk menimba ilmu, meluaskan pergaulan dan mencari pengalaman baru di negeri orang, berbekalkan duit saku RM5 dari ayahnya, Datuk Zaid berpindah ke Johor Bharu atas pilihannya sendiri untuk meneruskan pendidikannya di Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bharu.

Walaupun latarbelakang keluarganya jauh berbeza jika dibandingkan dengan kebanyakan pelajar-pelajar di Maktab tersebut, dan ada merasa sedikit terpinggir sebagai orang luar dan pertama kali pula bergaul dengan orang-orang bukan Melayu, dengan galakan dari guru-gurunya, Datuk Zaid berjaya memupuk bakat berpidatonya sehingga mewakili sekolah sebagai pendebat Bahasa Inggeris.

Selepas di Johor Bharu, Datuk Zaid meneruskan pendidikan tingkatan enam di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, di mana beliau mula berjinak-jinak dengan bahan bacaan politik dan sastera di samping meneruskan minat berpidato dan menulis.
Pendidikan Tinggi

Datuk Zaid akhirnya melanjutkan pelajaran di bidang undang-undang di Institut Teknologi Mara (ITM) di Shah Alam pada tahun 1971. Di ITM, Datuk Zaid meneruskan minatnya dalam bidang berpidato dan mula aktif dalam persatuan pelajar. Selepas menerima ijazah beliau tiga tahun kemudian, beliau bekerja sebagai eksekutif jualan di Pulau Pinang selama setahun untuk meringankan beban kewangan keluarganya dahulu di kampung.

Beliau kemudiannya ke London dengan pinjaman MARA untuk mengambil peperiksaan akhir Bar. Akibat kesilapan di peringkat pemerosesan permohonan, pinjaman yang diterima tidak merangkumi bayaran tuisyen, menyebabkan beliau terpaksa belajar sendiri dengan meminjam nota dari teman-temannya di sebelah malam. Namun begitu, beliau berjaya lulus peperiksaan Bar dalam masa 6 bulan.
Kerjaya Guaman

Selepas pulang ke tanah air, Dato Zaid memulakan latihan chambering beliau dengan syarikat guaman Shook Lin & Bok, syarikat guaman terbesar di Malaysia pada masa itu. Dari 1976-1979, beliau memulakan kerjaya guamannya bersama dengan firma Raja Aziz Addruse sebelum menimba pengalaman di firma-firma lain.

Pada tahun 1987, Datuk Zaid nekad untuk menubuhkan syarikat guamannya sendiri, Zaid Ibrahim & Co (ZICO). Walau dihimpit cabaran kewangan kerana tidak mempunyai senarai pelanggan besar yang kukuh pada awalnya, selepas berjaya diterima sebagai syarikat guaman untuk UEM-Plus Highway, ZICO mula diterima oleh pelanggan korporat dalam dan luar negara.

Dengan rakan kongsi yang pintar dan setia dan reputasi perkhidmatan guaman yang cemerlang, selepas 30 tahun, ZICO kini adalah syarikat guaman terbesar di Malaysia, dengan lebih 130 orang peguam dan ratusan pekerja lain dengan pejabat cawangan di Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu. Sejurus selepas dilantik menjadi menteri, Datuk Zaid Ibrahim melepaskan kepentingannya di dalam ZICO.
Politik

Pendedahan politik awal Datuk Zaid mula semenjak usia remaja tatkala mula mengikut ayahnya mendengar ceramah-ceramah pemimpin politik era 1960an di Kota Bharu, terutamanya sekali para pemidato PAS yang hebat. Dato Zaid mula menjadi ahli UMNO Bukit Bintang sekitar 1986 tetapi mula bergiat secara lebih aktif di Kelantan selepas pilihanraya 1990.

Pada tahun 2001, beliau berjaya menjadi Ketua Cawangan UMNO Kota Bharu dan kemudian dipilih menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada tahun 2003. Kerana dilihat telah mempersoalkan kuasa pemimpin UMNO, pada tahun 2005, beliau digantung dari jawatan Ketua Cawangan Kota Bharu. Namun, beliau masih terpilih menjadi Ahli Parlimen Barisan Nasional Kota Bharu dari 2004-2008.

Walaupun tidak terpilih untuk bertanding dalam pilihanraya 2008, dan menyuarakan pandangan kritisnya secara terbuka terhadap hala tuju Barisan Nasional dan masalah kepemimpinan di dalam UMNO sejurus selepas Mar 8, 2008, Datuk Zaid ditawarkan jawatan sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk “untuk membuat perubahan dalam sistem perundangan dan badan kehakiman”.

Tidak sampai beberapa hari selepas menjadi menteri, Datuk Zaid memulakan proses memohon maaf terhadap hakim-hakim yang dipecat semasa Krisis Kehakiman 1988 dan pemberian saguhati kepada mereka walaupun dikritik hebat oleh pelbagai pihak di dalam UMNO.

Namun pada September 2008, selepas 5 bulan dan 27 hari, Datuk Zaid Ibrahim meletakkan jawatan atas dasar prinsip kerana tidak bersetuju dengan penahanan penulis blog Raja Petra Kamaruddin, Ahli Parlimen DAP Teresa Kok dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menjadikannya Menteri paling singkat perkhidmatannya di Malaysia, dan Menteri yang benar-benar meletakkan jawatan atas dasar prinsip.

Selepas menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia tentang isu ISA pada bulan yang sama dan muncul di majlis-majlis anjuran parti pembangkang selepas itu, Dato Zaid Ibrahim akhirnya dipecat dari UMNO pada Disember 2008.

Pada bulan Jun 2009, Datuk Zaid Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah yakin akan landasan parti tersebut dalam memperjuangkan hak rakyat dan demokrasi tanpa bersandarkan pada sentimen perkauman. Datuk Zaid Ibrahim sekarang merupakan anggota Majlis Tertinggi PKR dan AJK Biro Politik PKR dan berperanan sebagai Penyelaras Pakatan Rakyat.
Kerja-kerja Kebajikan dan Sosial

Sebagai seorang yang dibesarkan dalam keluarga yang susah, Datuk Zaid Ibrahim mempunyai keprihatinan yang tinggi terhadap masalah kemiskinan dan kebajikan rakyat biasa. Seawal tahun 1998, Dato Zaid dan isterinya telah menubuhkan Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK) di Pengkalan Chepa untuk memberikan perkhidmatan kepada terutamanya warga emas yang kurang upaya seperti melibatkan mereka dalam kegiatan riadah dan berkebun.

Kini YOKUK menawarkan khidmat kebajikan dan pemulihan percuma kepada lebih 2,500 warga kurang upaya tanpa mengira kaum, usia ataupun jenis ketidak upayaan mereka. Antara khidmat yang diberikan YOKUK termasuklah pelbagai jenis terapi dan perkhidmatan pengangkutan. YOKUK juga merancang untuk menyediakan/memperbaiki 500 rumah warga kurang upaya yang memerlukan bantuan di Kelantan.

Pada tahun 2008, beliau menubuhkan MyFuture Foundation, sebuah yayasan yang bergiat untuk mempromosikan keharmonian antara kaum di kalangan belia Malaysia. Beliau juga telah menulis dua buah buku, Dari Hati yang Ikhlas dan Saya pun Melayu, yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan milik keluarganya, yang ditubuhkan untuk menggalakkan budaya penerbitan tempatan.

Selain daripada itu, Dato Zaid Ibrahim juga aktif dalam usaha memelihara kesenian tradisi Melayu Kelantan kerana beliau percaya kebudayaan warisan turun-temurunlah yang dapat memberi pengisian terhadap jatidiri anak bangsa.

Datuk Zaid Ibrahim juga menulis di blognya di 
http://myzaidibrahim.wordpress.com/ dan berkomunikasi melaluihttp://twitter.com/zaidibrahim dan di Facebook.
Menyumbangkan Tenaga dan Khidmat untuk Rakyat

Matlamat Datuk Zaid Ibrahim ke Parlimen adalah untuk menyumbangkan tenaga beliau kepada negara yang kita cintai dan melihara kepentingan rakyat dan demokrasi di mana “rakyat dapat hidup selesa tanpa takut ditahan pada pagi hari kerana pandangan politiknya malam tadi”.

Beliau mahu membantu memastikan yang undang-undang negara mesti berteraskan keadilan dan tidak lagi disalahgunakan untuk melindungi kepentingan elit di negara kita yang sudah merugikan rakyat berbilion-billion ringgit selama ini. Penyelewangan kuasa dan rasuah dan penggubalan dasar-dasar yang tidak adil Kerajaan BN telah banyak merugikan dan memiskinkan rakyat, yang dapat dilihat dari masalah tanah yang tidak selesai ke persoalan perumahan dan pendidikan sehinggalah ke pengurusan Petronas yang tidak telus.

Beliau yakin rakyat Malaysia tiada sebab untuk tidak dapat hidup dengan selesa dengan limpah kurnia kekayaan negara ini melainkan disebabkan pilihan-pilihan politik yang buruk dan kerakusan pemimpin memperkayakan diri dan kroni-kroni mereka. Datuk Zaid amat prihatin terhadap nasib masyarakat yang terpinggir, samada disebabkan oleh kemiskinan, masalah kurang upaya ataupun penindasan sistematik yang meminggirkan kaum petani, buruh ladang dan Orang Asal yang masih berleluasa di negara kita.

Datuk Zaid Ibrahim sudah sering mengutarakan bahawa politik di Malaysia sudah lama ‘sakit’ dan harus diangkat mertabatnya. Kita harus berpindah dari kata nista dan serangan berbentuk pribadi, atau tindakan-tindakan yang berbaur perkauman yang melambangkan percaturan politik yang dangkal pemerintah BN, kepada perdebatan tentang dasar dan halatuju negara kita. Tanpa dasar-dasar yang baik, rakyat tidak kira kaum dan budaya akan merasa terpinggir di negara sendiri.
Keadilan dan Kebajikan untuk Semua

Penglibatan aktif Datuk Zaid Ibrahim dalam kerja-kerja kebajikan, keterbukaannya dalam mengkritik dasar-dasar Kerajaan BN yang tidak adil walau ketika beliau masih lagi bersama BN, keberaniannya sebagai Menteri yang mengusulkan proses meminta maaf kepada hakim-hakim yang dipecat oleh kerajaan pada tahun 1988 dan Menteri yang meletakkan jawatan atas dasar prinsip menentang konsep penahanan tanpa bicara menunjukkan ketulusan beliau untuk menjaga proses demokrasi, keadilan dan kebajikan masyarakat keseluruhannya.

Malah, Datuk Zaid Ibrahim telah memaklumkan dengan jelas bahawa beliau telah menerima tawaran menjadi Menteri undang-undang atas prinsip mahu membantu Kerajaan BN untuk berubah, menghentikan penyalahgunaan kuasa perundangan dan memperbaiki ketelusan dalam proses kehakiman negara. Beliau akhirnya melepaskan jawatan tersebut sambil meminta maaf dengan rendah hati kepada rakyat atas “kegagalan merubah BN”.
Politik Hak, Demokrasi & Kebajikan
Keadilan itu untuk Semua: Penolakan politik perkauman

Kita mesti menolak politik perkauman dengan sekeras-kerasnya. Ini hanya akan dapat dilakukan dengan baik jika kita bersungguh-sungguh menghargai keragaman kebudayaan rakyat kita. Kita mesti menghormati dan mempertahankan hak saksama setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama tanpa mengabaikan kumpulan-kumpulan terpinggir yang perlu diberikan bantuan. Inilah tuntutan agama Islam dan inilah tuntutan Perlembagaan Malaysia.
Ketuanan Rakyat & Keluhuran Perlembagaan

Kita mesti membela ketuanan rakyat dengan memartabatkan kuasa rakyat dan memelihara proses-proses dan badan-badan yang menjaga demokrasi. Beliau percaya bahawa pilihan-pilihan politik yang bijak hanya akan diambil oleh rakyat yang mempunyai kuasa. Jika mana-mana perkumpulan rakyat ada mengemukakan permasalahan dan tuntutan-tuntutan yang wajar, samada Melayu, Cina, India, Orang Asal atau apapun kaum dan pekerjaan mereka, Kerajaan yang ihsan wajib membantu mereka.
Reformasi Politik & Kepemerintahan Negara

Proses politik kita mestilah memerdekakan dan membebaskan rakyat negara ini dari belenggu kuku besi, perkauman, gejala rasuah dan ketidakadilan.
ISU
Kontroversi tentang keistimewaan kaum Bumiputra

Kerana kritikannya terhadap UMNO yang sudah tenat dengan budaya-budaya tidak sihat, Datuk Zaid Ibrahim memang sudah sering diserang oleh kumpulan-kumpulan yang menggunakan unsur-unsur perkauman untuk melindungi kepentingan-kepentingan politik dan ekonomi mereka.

Sebagai seorang Bumiputra yang berasal dari keluarga miskin, beliau sudah tentu tidak menentang dasar untuk membantu kaum Bumiputra yang memerlukan. Apa-apa juga dasar yang membantu membasmi kemiskinan dan memberi keistimewaan terhadap orang-orang miskin dan terpinggir, mestilah diteruskan. Namun, kebimbangan beliau terhadap kesan buruk penyalahgunaan ‘keistimewaan’ ini kepada negara kita sering diwar-warkan oleh pihak BN sebagai ‘bukti’ beliau mempersoalkan peruntukan perlembagaan terhadap kaum Bumiputra.

Dasar apa pun tidak boleh disalahgunakan untuk membolehkan penerimaan faedah tanpa usul periksa tentang latarbelakang ekonomi seseorang. Datuk Zaid sebenarnya amat bimbang bahawa Dasar Ekonomi Baru telah menjadi ‘Dasar Ekonomi UMNO’, yang mana ia menggalakkan pemberian subsidi dan bantuan melampaui batas, yang memberikan projek-projek besar negara untuk memperkayakan Bumiputra yang sudah cukup serba serbi dan untuk jentera parti, tanpa memerlukan si penerima faedah berusaha gigih dan berdikari.

Dasar yang disalahgunakan bukan sahaja merugikan negara, tetapi boleh merugikan kaum Bumiputra itu sendiri. Datuk Zaid mahu melihat generasi muda kita memahami bahawa tidak ada jalan mudah dalam hidup ini untuk mencapai kejayaan. Para jutawan Melayu yang cuba diwujudkan oleh Mahathir Mohamad selama 22 tahun memerintah berjaya hidup dengan kemewahan melimpah ruah tetapi kerana menerima habuan dengan mudah dan tanpa ketelusan, mereka tidak mengenal erti susah payah menguruskan perniagaan, dan akhirnya di ambang krisis ekonomi 1998, banyak syarikat mereka lingkup – malah ada yang terpaksa diselamatkan oleh kerajaan dengan wang rakyat yang datang dari semua kaum. Ini belum lagi kita bercerita tentang budaya ali-baba yang ‘menjual’ nama Melayu untuk habuan sendiri tanpa apa-apa usaha. Tabiat-tabiat seperti inilah yang sebenarnya memalukan bangsa.

Semua rakyat harus memahami hakikat ini sedalam-dalamnya. Kejayaan hanya akan dapat diperolehi dengan peningkatan ilmu dan keupayaan secara gigih. Tidak ada kejayaan yang dicapai oleh mana-mana bangsa di dunia ini dengan pertolongan kerajaan semata-mata. Jika kita benar-benar berasa gusar tentang nasib dan masa hadapan bangsa, jalan terbaik kita adalah mempertingkatkan ilmu, berusaha dan bersaing dengan cekal dan tulus, bersikap terbuka terhadap sebarang kritikan, sindiran dan rintangan serta menolak budaya rasuah dan mengampu.

Kegemilangan bangsa tidak akan dapat dicapai dengan menyemburkan api perkauman dan menyalahertikan ‘keistimewaan’ sebagai ‘ketuanan’ mutlak. Kedua-dua ini adalah perkara yang mempunyai implikasi yang jauh berbeda. Jika kita mahu menjadi Tuan, kita mesti bekerja keras, itu sahaja caranya. Melaungkan tuntutan-tuntutan tanpa janji untuk berusaha keras dan dengan nada berbaur perkauman pula, disertai adegan mencium-cium keris, tidak akan merubah nasib sesebuah bangsa itu. Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa itu sendiri jika sesuatu bangsa itu sendiri tidak berubah.

Seseorang yang menyuarakan pandangan mereka dengan jujur dan tenang, walaupun kedengaran kritis, bukanlah seorang pengkhianat bangsa dan negara. Orang-orang yang berbahaya kepada bangsa dan negara sebenarnya adalah mereka yang meletakkan kepentingan diri di atas kepentingan rakyat. Inilah orang-orang yang menjual nama bangsa untuk mendapatkan habuan tanpa bekerja keras, orang-orang yang merompak harta kekayaan negara, orang-orang yang tidak menghormati hak-hak rakyat, orang-orang yang menahan warga tanpa membenarkan mereka dibicara, orang-orang yang menggubal undang-undang yang tidak adil dan mereka-mereka yang senang menggalakkan prejudis perkauman.


Orang Asal: Mengembalikan Hak Tanah Adat

Datuk Zaid Ibrahim telah banyak menyuarakan keprihatinannya terhadap nasib Orang Asal di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Beliau telah banyak berbincang dengan peguam dan aktivis hak tanah adat di Sarawak berserta melawat perkampungan Orang Asal di Bidor dan Temerloh bagi mengetahui dengan lebih jelas permasalahan-permasalahan mereka. Beliau juga telah menyatakan sokongan beliau tentang pentingnya Malaysia menggubal Dasar tentang Hak-Hak Orang Asal Malaysia bagi menjamin kesejahteraan masyarakat tersebut dan hak tanah adat mereka.

Apabila lebih 2,000 Orang Asal telah berarak ke Putrajaya untuk menyerahkan memorandum mereka yang menceritakan hal-hal penganiayaan di tangan kerajaan BN selama lebih 50 tahun, tentang tanah nenek-moyang mereka yang dirampas dan diambil untuk pembangunan tauke-tauke besar BN dan hanya memberi pampasan 6 ekar sekeluarga kepada mereka, beliau turut menyatakan kegusaran beliau bahawa Orang Asli Semenanjung tidak disenaraikan sebagai “Bumiputra” oleh Perkara 153 and 161 Perlembagaan Persukutuan. Beliau percaya merekalah orang yang paling layak sekali kerana bukan sahaja sebagai Orang Asal, tetapi juga disebabkan kemiskinan mereka.

Datuk Zaid Ibrahim mahu menumpukan perhatian terhadap pengiktirafan hak tanah adat kaum Orang Asal seperti yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan permasalahan tanah adat Orang Asli di negeri ini.
Kemiskinan, Isu Tanah & Kebajikan Semua 

Datuk Zaid Ibrahim amat sedar tentang masalah kemiskinan yang melanda kaum buruh ladang di Hulu Selangor dan kehidupan mereka yang tidak cukup serba serbi, terutamanya dari segi kemudahan awam. Begitu juga dengan permasalahan pemilikan tanah rakyat yang tidak selesai-selesai sehingga kini dan kegusaran pemilik tanah bahawa tanah mereka sedang diintai oleh pihak-pihak tertentu.

Apabila rakyat biasa sulit untuk mendapatkan jaminan tentang hak-hak mereka setelah lebih 50 tahun merdeka, perkara ini tentunya ada kena mengena dengan dasar dan cara pentadbiran Kerajaan BN selama ini yang tidak telus serta tidak menghormati hak rakyat kecil dan kebajikan mereka.

Dengan memperkenalkan dasar-dasar yang lebih baik yang menjamin hak-hak ini, mempertingkatkan ketelusan dalam pengurusan tanah dan kebajikan awam, membudayakan proses perundingan bersama rakyat dan mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kepentingan bersama dan bukannya pihak yang sudah kaya raya, Datuk Zaid Ibrahim percaya permasalahan sebegini akan dapat diselesaikan dengan baik

Kobau oh kobau


askar kobau (buffalo soldier)

menteri agama, jamil K berjaya halang kes Qazaf liwat Anwar ke mahkamah syariah.
Syabas menteri agama kerana anda yakin undang2 syariah ciptaan tuhan agama anda tidak mampu beri keadilan.
jamil K..
K untuk kobau!
Masuk UMNO mesti lingkup punya...
Sekarang dah jadi pak turut saja ...
Apa orang suruh ..buat ajelah kobau dah kena cucuk hidung!



opsss..apa kena mamat di atas ni? klik sini

Anwar Gagal Dapat Perintah Mohd Saiful Dikenakan Tuduhan Qazaf


KUALA LUMPUR 14 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengetepikan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pihak pendakwaan syarie memulakan prosiding pertuduhan qazaf berhubung kes liwat membabitkan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ini berikutan keputusan membenarkan permohonan bantahan awal yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan dua responden lain untuk membatalkan permohonan Anwar itu.

Hakim Syarie Mohd Shukor Sabudin dalam keputusannya berkata mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pihak pendakwaan menjalankan tugas mereka kerana fungsi badan itu berdasarkan budi bicara sepenuhnya pihak pendakwaan.

"Pihak pendakwa boleh mendengar, membicarakan dan memutuskan perbicaraan dan pihak pendakwa boleh berhenti pada mana-mana peringkat dengan keizinan bertulis daripada Ketua Pendakwa Syarie," katanya.

Beliau berkata pihak pendakwa adalah sebuah badan bebas yang boleh mendakwa, atau menarik balik pertuduhan dan secara syaraknya pihak pendakwaan tidak boleh dipaksa untuk menjalankan pendakwaan.

Menurutnya, permohonan Anwar itu adalah satu percubaan pencabulan secara terang-terangan dalam proses mahkamah dan boleh menyebabkan keadilan menjadi kucar-kacir, tidak menentu dan bercelaru.

Pada 7 Jan lepas, Anwar, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah supaya Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful, 25.

Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki.

Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahu atau kedua-duanya.

Anwar dalam permohonannya menamakan Jamil, Shamsuddin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali sebagai responden.

Ketiga-tiga responden itu menfailkan permohonan bantahan awal terhadap permohonan Anwar yang difail pada 9 Feb lalu atas alasan Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan qazaf berkaitan kesalahan jenayah melalui prosedur Mal.

Sementara itu, Jamil, ketika ditemui wartawan selepas keputusan itu berkata, beliau gembira dengan keputusan itu dan mengucapkan terima kasih kepada barisan peguamnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau akan memfailkan rayuan secepat mungkin terhadap keputusan itu.

Ketiga-tiga responden diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar, Roslizam Rahim dan Mohd Firdaus Mohd Arifin manakala Anwar diwakili Peguam Syarie, Kamar Aniah Kamaruzaman.

Perkhidmatan Feri 24 Jam Ditamatkan Mulai Jumaat



PULAU PINANG, 14 April (Bernama) -- Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menamatkan perkhidmatan feri 24 jam yang disediakan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula Jumaat ini.

Keputusan itu dibuat oleh pengurusan PPSB setelah mendapati ia terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM2.3 juta, menurut kenyataan PPSB di sini pada Rabu.

Selain itu ketiadaan perkhidmatan bas dan kereta api selepas tengah malam juga menjadi faktor utama PPSB menamatkan perkhidmatan feri 24 jam itu.

Bagaimanapun perkhidmatan feri pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad akan terus beroperasi seperti hari mingguan yang disediakan sebelum ini.

Pengguna feri khususnya pejalan kaki dinasihatkan supaya merancang perjalanan mengikut jadual feri yang telah ditetapkan.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh hubungi Pengkalan Raja Tun Uda di sini di talian 04-2102362 dan Pengkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth di talian 04-3102377.

Perkhidmatan feri di Pengkalan Raja Tun Uda beroperasi bermula pukul 5.40 pagi hingga 1 pagi dan Pengkalan Sultan Abdul Halim bermula pukul 5.20 pagi hingga 12.40 tengah malam.

Beritahu Kami Siapa Tekan Anda Kata Hishammuddin Kepada Dr Pornthip



KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta pakar patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand agar mendedahkan pihak yang memberi tekanan kepadanya bagi memudahkan polis mengambil langkah perlu.

"Bagus (beliau mahu memberi keterangan), tetapi beritahu saya apa yang beliau takutkan, beritahu saya siapa yang memberi tekanan kepadanya, beritahu saya apakah yang mengancam keselamatannya?

"Saya beri jaminan polis akan lakukan segala yang patut untuk memastikan beliau datang ke mahkamah, tetapi sukar untuk kami memberi jaminan jika kami tidak tahu ancaman apakah yang dimaksudkan beliau," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, di sini Rabu.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr Pornthip yang dilapor media hari ini sebagai sanggup memberi keterangan pada inkues kematian Teoh Beng Hock jika kerajaan Malaysia dapat memberi jaminan keselamatan kepadanya.

Ahad lepas, Dr Pornthip dilapor berkata beliau tidak akan hadir memberi keterangan pada inkues yang akan bersambung 20 April ini kerana menerima 'tekanan politik' daripada sesetengah pihak.

Penduduk Pangsapuri Bukit Sentosa Berterima Kasih Kepada Kerajaan



HULU SELANGOR, 14 April (Bernama) -- "Dah boleh tidur lena, tiada lagi air tiris dan banjir selepas hujan," kata Mariah Juraid.

Suri rumah berusia 41 tahun itu yang menetap hampir 10 tahun di Pangsapuri Kos Rendah Seri Rose 2 di Bukit Sentosa di sini boleh menarik nafas lega sekarang kerana tidak perlu lagi risau rumahnya dibasahi air setiap kali hujan.

Beliau merupakan antara lebih 80 keluarga yang menetap di pangsapuri itu, yang mampu tersenyum, selepas 70 peratus bumbung rosak di pangsapuri itu hampir siap dibaiki.

Seorang lagi penduduk, Looi Tian Swee, antara penghuni terawal di kawasan itu berkata tindakan kerajaan membaiki bumbung rosak itu amat dihargai.

Looi, 54, berkata pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di kawasan itu juga seperti diumumkan kerajaan sebelum ini juga akan membantu lebih ramai kaum itu menetap di Bukit Sentosa.

"Sekarang banyak senang, tak macam dulu. Itu jam (masa dulu) air saja ada, api tiada selalu ada problem. sekarang sudah ok," katanya yang menetap di unit bawah pangasapuri itu bersama isterinya, Lim Swee Gick, 56.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Seri Rose 2, Ahmad Daud Alwi, 50, berkata sekurang-kurangnya usaha kerajaan ini akan memberi nafas baru kepada penduduk.

Bagi suri rumah, Norasita Ishak, 38, beliau mahu pihak berwajib memantau proses membaiki bumbung supaya siap sepenuhnya tanpa mengenepikan aspek keselamatan.

Pengarah Bina Warisan Enterprise, Ahmad Syah Abdul Rahman berkata kerja membaiki bumbung rosak itu sejak 19 Mac lepas dijangka siap 20 April ini, lima bulan lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

"Kita berjaya siapkan bumbung ini dalam tempoh sebulan tanpa kompromi dari aspek kualitinya," kata Ahmad Syah ketika ditemui di pangsapuri itu pada Rabu.

Bina Warisan adalah antara 15 kontraktor yang dilantik Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (PPPNS) bagi membaik pulih bumbung rosak di 50 blok pangsapuri kos rendah di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung melibatkan lebih 1,000 penghuni.

Tindakan itu ekoran arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari lepas yang mahu masalah dihadapi penduduk kawasan itu diselesaikan selepas bumbung pangsapuri mereka rosak sejak beberapa tahun lepas akibat ribut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang melawat kawasan itu hari ini turut mengumumkan bahawa kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM2.1 juta bagi kerja membaik pulih bumbung berkenaan.

-- BERNAMA

Pilihan raya Filipina terjerumus ke politik kelas rendah



CALON Presiden Filipina, Manny Villar (kanan) mengadakan kempen pilihan raya bersama jaguh tinju, Manny Pacquiao dan calon Naib Presiden, Loren Legarda di Sarangani, Mindanao. – AFP


MANILA 13 April – Politik Filipina semakin terjerumus kekancah politik kelas rendah menjelang pilihan raya Presiden bulan depan, berikutan tindakan calon-calon menggunakan Internet dan telefon bimbit memburuk-burukkan pesaing mereka.
Antara contoh terburuk ialah apabila Benigno Aquino yang mendahului calon-calon Presiden lain dalam tinjuan pendapatan dikaitkan dengan laporan palsu psikiatri mendakwa beliau menghidap masalah mental dan mengambil dadah.
Sementara itu, pesaing utama beliau, Manny Villar dituduh menipu berhubung kematian adiknya.
“Politik Filipina telah terjerumus ke satu kancah yang rendah,” kata Jorge Tigno, profesor politik sains di Universiti Filipina, merujuk kepada taktik kempen yang dilakukan oleh calon-calon Presiden.
Menurut Tigno, pada masa lalu, persaingan merebut jawatan Presiden di Filipina biasanya dilihat berada pada kedudukan di atas persaingan hangat politik kelas rendah.
Bagaimanapun, peningkatan penggunaan Internet sejak pilihan raya Presiden terakhir pada 2004 dan ketagihan rakyat negara ini dengan penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS) menawarkan kaedah baru kepada calon-calon untuk menghantar mesej, terutamanya kepada golongan muda.
“Kini teknologi maklumat memainkan peranan penting. Calon-calon tahu ia menguasai golongan muda yang boleh membawa undi.
“Mereka menggunakan Internet dan telefon bimbit bagi menyebarkan keburukan pesaing mereka,” kata Tigno kepada AFP.
Aquino mengakui dia berhadapan dengan laluan sukar selepas satu blog tanpa nama pada bulan ini memaparkan laporan ahli psikologi terkenal yang mendakwa dia sedang merawat Aquino dan mendapati Aquino menghidap penyakit mental.
Laporan palsu itu turut menyatakan bahawa Aquino menderita penyakit ‘kekacauan mental dan gangguan pembelajaran’ yang mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini yang mendakwa beliau adalah autistik. Aquino juga dikatakan mengambil marijuana.
Doktor dan institusi yang dinamakan dalam laporan tersebut hanya memberitahu bahawa laporan itu palsu selepas ia dipetik oleh akhbar utama dan menyelubungi kempen politik hampir seminggu.
Villar menafikan terlibat dengan laporan palsu itu tetapi mencabar Aquino membuat ujian psikologi untuk membuktikan beliau tidak menghidap penyakit mental. – AFP

ADUN BN kesal Azmin lagakan kaum



SHAH ALAM 13 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional kesal dengan tindakan Mohamed Azmin Ali yang didakwa cuba menjadikan isu ucapan Datuk Seri Noh Omar untuk menghasut dan melaga-lagakan hubungan antara kaum.
Menurut mereka, tindakan Mohamed Azmin mengaitkan ucapan Timbalan Pengerusi BN Selangor pada Konvensyen BN Selangor pada 7 April lalu sebagai tidak bertanggungjawab serta berniat jahat.
ADUN Taman Templer, Datuk Subahan Kamal berkata, ucapan Noh telah diputarbelitkan oleh Mohamed Azmin dengan mengatakan bahawa kononnya UMNO merendah-rendahkan kedudukan serta peranan orang bukan Melayu.
"Noh pada konvensyen itu memetik satu bahan sejarah yang perlu dihayati oleh semua sebagai asas kepada keharmonian kaum.
"Tetapi Azmin cuba memutarbelitkan ucapan itu dengan membuat andaian tidak berasas apabila mengaitkannya dengan tuduhan bahawa UMNO merendah-rendahkan kedudukan kaum lain.
"Beliau tidak seharusnya mencampuri urusan BN apatah lagi membuat tuduhan yang seolah-olah cuba melaga-lagakan hubungan kaum khususnya para pemimpin parti komponen BN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) ketika membahaskan ucapan menjunjung kasih Sultan Selangor, Sultan Saharafuddin Idris Shah pada Sidang DUN di sini hari ini.
Azmin mendakwa tindakan beberapa wakil MCA yang keluar dewan pada konvensyen BN tersebut berpunca daripada sikap UMNO yang angkuh dan tidak menghormati kaum lain.
Malah pada sesi perbahasan itu, Mohamed Azmin turut menyentuh isu seperti Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang didakwanya wujud penyelewengan termasuk mengaitkan hubungan kerajaan Malaysia dan Israel dengan sebuah syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide.
Sementara itu, ADUN Kuang, Abdul Shukor Idrus turut mencabar Mohamed Azmin supaya mengemukakan dakwaan-dakwaan tersebut di luar Sidang DUN supaya laporan dan siasatan dilakukan bagi memastikan kebenaran dakwaan Ketua Kelab Penyokong Kerajaan Negeri itu.
Katanya, Mohamed Azmin perlu berbuat demikian setelah menyatakan beliau mempunyai bukti-bukti termasuk dokumen tertentu yang boleh menyokong dakwaannya itu.
Pemangku Ketua Pembangkang negeri, Datuk Satim Diman pula menyifatkan tuduhan Azmin itu jelasnya tidak memenuhi aspirasi Sultan Selangor yang mahu wakil rakyat menjadikan DUN sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah rakyat bukannya untuk berpolitik.

15 bas ekspres diambil tindakan



KUALA LUMPUR 13 April - Sebanyak 15 syarikat bas ekspres dikenakan pelbagai tindakan tegas termasuk dibatalkan lesen operasi setelah terlibat dalam kes kemalangan maut dari Ogos 2007 sehingga bulan lepas.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, daripada jumlah itu, tiga syarikat dibatalkan lesen, empat digantung lesen dan lapan pengusaha lagi diberikan amaran.
"Syarikat-syarikat terbabit telah diminta membuat penambahbaikan ke atas sistem pengurusan pemandu, kenderaan, perjalanan dan risiko serta pengurusan dokumen berpandukan kepada Kod Amalan Keselamatan Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) mengenai jumlah permit bas ekspres yang dikeluarkan dalam tempoh lima tahun dan tindakan ke atas syarikat bas ekspres yang terlibat kemalangan maut pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan sama, kata Vui Keong, sebanyak 1,325 lesen bas ekspres dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Semenanjung Malaysia sepanjang 2005 sehingga 2009.
Sementara itu, jelas beliau, SHE yang kini wajib dilaksanakan oleh syarikat bas ekspres tempatan berjaya mengurangkan kes kemalangan maut melibatkan kenderaan itu.
Katanya, ini terbukti apabila tiada sebarang kes kemalangan maut dilaporkan melibatkan bas ekspres tahun ini sehingga bulan lalu.
Bermula Januari lalu, para pengusaha bas ekspres diwajibkan mengguna pakai SHE seperti diarahkan LPKP sebagai salah satu syarat meneruskan perniagaan.
Penguatkuasaan itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berikutan kemalangan maut melibatkan bas milik Sani United Sdn. Bhd. yang mengorbankan sepuluh orang pada 26 Disember lalu.

Jawatankuasa Khas Antara Agama cemar kesucian Islam



KUALA LUMPUR 13 April - Seorang penyokong kerajaan hari ini menyifatkan penubuhan jawatankuasa khas antara agama akan hanya mencemarkan kesucian Islam sebagai agama rasmi negara dan ia perlu dibubarkan.
Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, beliau tidak pernah sesekali menentang usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatupadukan kaum di negara ini tetapi penubuhan jawatankuasa sebegitu merupakan sesuatu yang berbeza.
“Saya menentang keras jawatankuasa ini. Sebagai seorang Islam, wajib bagi saya menentangnya. Saya tidak reda dan tidak rela agama Islam disamakan dengan agama lain.
“Kabinet tolong timbang semula untuk tarik balik jawatankuasa ini. Kabinet tolong ubah keputusan yang tidak menguntungkan dan menimbulkan kemarahan orang Islam di negara ini,” katanya.
Beliau membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2010 bagi bacaan kali kedua pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

66 kematian tahanan polis



KUALA LUMPUR 13 April - Sebanyak 66 kematian direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kalangan tahanan pasukan itu sejak 2005 hingga Februari lalu sementara 19 kematian akibat tindakan menggantung diri pula direkodkan Jabatan Penjara dalam tempoh sama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, 46 daripada kes kematian dalam tahanan polis disebabkan penyakit.
Sementara itu, katanya, 19 kes kematian lagi berpunca daripada tindakan seperti bergaduh dan menggantung diri manakala satu lagi kes disebabkan penggunaan kekerasan.
"Statistik Jabatan Penjara pula menunjukkan semenjak 2005 hingga Februari 2010 terdapat 19 kes kematian penghuni disebabkan tindakan menggantung diri sendiri.
"Semua kes kematian itu telah dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan seterusnya dilaksanakan inkues," katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Kit Siang ingin tahu jumlah dan punca kematian melibatkan tahanan polis semasa di lokap dan penjara seluruh negara sejak 2005.

Perisik Israel: Dakwaan Ketua pembangkang disangkal



KUALA LUMPUR 13 April - Kerajaan hari ini menyangkal dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa projek menaik taraf sistem laporan polis (PRS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan perisik Israel.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana projek PRS diberi kepada syarikat tempatan iaitu Sapura System Sdn. Bhd. (SSSB) dan Master Plan Consulting Sdn. Bhd. (MPC).
Beliau berkata, sehingga kini projek tersebut telah siap sehingga fasa ketiga dan SSSB telah diberi tanggungjawab melaksanakan fasa pertama serta kedua manakala fasa ketiga pula diberi kepada MPC.
"Dalam projek fasa ketiga MPC melantik subkontraktor iaitu syarikat Asiasoft (M) Sdn. Bhd. untuk melaksanakan sebahagian aplikasi PRS yang mana 70 peratus saham dimiliki rakyat Malaysia dan bakinya 30 peratus dimiliki syarikat milik Singapura iaitu Asiasoft (S) Pte. Ltd.
"Semua pekerja yang terlibat dalam projek ini terdiri daripada warga tempatan dan seorang warga India. Projek ini langsung tidak melibatkan pekerja dari syarikat Asisoft. Ia siap sepenuhnya pada Oktober 2006," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di Dewan Rakyat hari ini.
Awal bulan ini, Anwar memberitahu Dewan terdapat dua perisik Israel berada 24 jam di dalam bilik server di ibu pejabat polis Bukit Aman.
Dalam perkembangan berkaitan, Abu Seman berkata, tindakan Anwar cuba mengaitkan pembabitan warga Israel dalam projek itu berpunca daripada pengambilalihan 100 peratus saham syarikat Asiasoft (S) Pte. Ltd. oleh syarikat Asiasoft Global Pte. Ltd. pada Ogos 2007.
Beliau memberitahu sidang Dewan, syarikat Asiasoft Global dimiliki dua pemegang saham utama iaitu Toh Kian Hong (rakyat Singapura) dan baki 51 peratus dimiliki Top Image Systems Ltd. (TIS).
"Didapati dua orang ahli lembaga pengarah TIS adalah rakyat Israel. Berikutan pengambilalihan ini PDRM telah melakukan siasatan dalaman pada 9 Jun 2008 berkaitan dengan kesahihan maklumat dan peranan kedua-dua ahli lembaga pengarah tersebut.
"Hasil siasatan awal PDRM, tidak terdapat penglibatan mana-mana warganegara asing khususnya dari Israel dalam pembangunan projek PRS," katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh itu juga MPC telah memaklumkan kepada PDRM bahawa kontrak Asiasoft (M) Sdn. Bhd. telah ditamatkan iaitu pada 31 Disember 2008.
"Usaha mengaitkan ahli lembaga Israel dalam projek ini tidak patut timbul kerana tarikh pengambilalihan syarikat Asiasoft Singapura berlaku selepas projek fasa ketiga siap.
"Fakta ini tidak sepatutnya dikelirukan kerana pengambilalihan syarikat Asiasoft Singapura oleh Asiasoft Global berlaku Ogos 2007 sedangkan fasa ketiga siap pada Oktober 2006.
"Atas asas apa Ketua Pembangkang cuba mengaitkan projek PRS dengan penglibatan warga Israel?" katanya.
Mengenai dakwaan Anwar bahawa kos projek sistem komunikasi radio dua hala RMPnet PDRM meningkat daripada RM980 juta kepada RM999 juta juga tidak berasas.
"Berkaitan dakwaan penglibatan anggota perisik Israel langsung tidak berasas kerana projek RMPnet tidak ada kaitan dengan PRS," ujarnya.
Menjelas lebih lanjut mengenai projek RMPnet beliau berkata, ia dilaksanakan oleh Motorola Technology Sdn. Bhd. (MTSB) dengan kerjasama rakan tempatannya, MPC.
"Projek ini dibangunkan MTSB berdasarkan piawaian APCO P25 yang dibangunkan oleh Association of Public Safety Communication Officials iaitu satu badan antarabangsa atau dikenai dengan APCO International.
"Saya ingin jelaskan APCO International tiada kaitan langsung dengan APCO Worldwide yang merupakan syarikat perunding perhubungan awam.
"RMPnet dan PRS merupakan dua projek yang berasingan dan tiada kaitan sama sekali. Asiasoft pula tidak pernah terlibat dengan projek RMPnet," tambahnya.

Parti pembangkang Britain janji revolusi kuasa rakyat




CAMERON menyampaikan ucapan semasa pelancaran manifesto Parti Konservatif di London semalam.


LONDON - Ketua Pembangkang Britain, David Cameron menjanjikan revolusi 'kuasa rakyat' sekiranya memenangi pilihan raya umum pada 6 Mei depan selain turut berikrar akan membaiki hubungan Britain di peringkat antarabangsa terutamanya di luar Eropah.
Semasa melancarkan manifesto Parti Konservatif pimpinannya semalam, beliau menjanjikan hubungan baru yang istimewa dengan India dan China.
Di arena tempatan pula, Cameron berkata, Parti Konservatif yang mendahului tinjauan populariti, hanya dapat memulihkan masalah kewangan dan sosial Britain sekiranya rakyat bersama-sama memainkan peranan bagi membantu memakmurkan negara setelah 13 tahun diterajui Parti Buruh.
"Sekiranya anda mengundi Parti Konservatif, anda mengundi bukan sahaja untuk mengubah kerajaan tetapi mengubah keseluruhan sistem pentadbiran negara," kata Cameron di selatan London, semalam.
"(Manifesto kami) adalah kuasa rakyat, bukan kuasa kerajaan. Masyarakat besar, bukan kerajaan besar. Kita semua mampu mengubahnya," tambah pemimpin tersebut.
Antara perubahan drastik yang dijanjikan Parti Konservatif termasuk memberikan kuasa veto kepada orang ramai bagi menentukan kenaikan cukai tempatan dan mengadakan referendum untuk sebarang isu jika partinya memperoleh sokongan lima peratus rakyat Britain.
Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Gordon Brown melancarkan manifesto Parti Buruh kelmarin dan turut berjanji akan melakukan pembaharuan termasuk memulihkan ekonomi, mengurangkan defisit dan melindungi perkhidmatan awam. - AFP