Saturday, June 18, 2011

Bantahan peguam Hasbie ditolak

BUTTERWORTH: Bantahan dikemukakan peguam bekas Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Hasbie Satar, 38, berhubung pindaan pertuduhan kegiatan pengubahan wang haram RM2,134,656 oleh pihak pendakwaan ditolak Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Keputusan itu dibuat Hakim Zairan Mohd Aman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti jelas mengikut Perkara 152, 153 dan 154 Kanun Prosedur Jenayah.


“Mahkamah berpendapat pihak pendakwaan sudah menyediakan notis lengkap untuk pihak peguam bela melakukan pembelaan,” katanya ketika membacakan keputusannya pada prosiding di sini, semalam.

Zairan kemudiannya menetapkan 12,19 dan 20 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan dan turut membenarkan pihak pembelaan mengemukakan rayuan sebelum tarikh itu.


Sebelum itu, pihak pembelaan memohon kepada mahkamah supaya menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan Disember ini tetapi tidak dipersetujui Zairan.


Menurutnya, kes itu mempunyai kepentingan awam dan perbicaraannya akan mengambil masa beberapa bulan.

“Ia perlu diselesaikan segera serta tidak seharusnya dibiarkan berlarutan hingga ke tahun depan. Jadi saya tetapkan pada Oktober nanti untuk bicara,” katanya.


Dalam prosiding semalam, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Hazril Harun, manakala Badrul Munir Mohd Bukhari mewakili ketua pembelaaan, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 13 Mei lalu, pihak pendakwaan meminda pertuduhan terhadap Hasbie yang didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram RM2,134,656.

myMetro | Bantahan peguam Hasbie ditolak

Hef tak berubah: Crystal


BEREMOSI...Crystal menangis ketika diwawancara pengacara Entertainment Tonight, semalam.
BEREMOSI...Crystal menangis ketika diwawancara pengacara Entertainment Tonight, semalam.


LOS ANGELES: Bekas tunang Hugh Hefner, Crystal Harris, mendedahkan dia membatalkan perkahwinan dengan pengasas Playboy itu di saat-saat akhir kerana tidak tahan dengan gaya hidup melampau lelaki terbabit.
Kata Crystal, apabila majlis perkahwinannya dengan Hefner - dijadual pada hari ini - dibatalkan, dia berasa lega walaupun pada masa sama dia “mengecewakan semua orang.” Dalam temu bual dengan rancangan Entertainment Tonight, Crystal, 25, berkata dia bukan satu-satunya wanita dalam hidup Hefner.

“Saya tak selesa apabila hati saya tahu hakikat sebenar dan akan berkahwin dengannya.

“Perkahwinan berlangsung di antara dua manusia dan hubungan yang akan dilalui bersama Hefner bukanlah apa yang saya inginkan,” katanya.

Selama ini, Hefner, 85, memang terkenal dengan sifatnya memiliki ramai teman wanita pada satu-satu masa dan dia tidak membayangkan mahu menukar gaya hidup sebegitu.


Crystal juga menyalahkan “tekanan” dialaminya kerana terpaksa berurusan dengan pakar perundangan ekoran keputusan mengejutnya.

“Kami terpaksa berdepan dengan ramai peguam ketika saya tidak pernah menghadapi situasi begitu selama ini,” katanya.

Crystal berkata, selain menguruskan perjanjian praperkahwinan, dia juga perlu berdepan dengan peguam berkali-kali untuk pelbagai urusan, termasuk kontrak.

Katanya, semua yang berlaku terlalu pantas.

“Hefner melamar saya di depan tiga kamera dan seorang jurugambar.


“Saya sangka, memang itulah yang saya mahukan,” katanya.


Sementara itu, pembatalan perkahwinan itu dikatakan lebih merugikan Hefner berbanding Crystal.


Pakar industri pengurusan perkahwinan, Harmony Walton, berkata pengasas Playboy bakal kehilangan sekurang-kurangnya RM758,000.


Difahamkan, kek perkahwinan dan bunga-bungaan untuk majlis itu juga sudah dibayar sepenuhnya bersama set pakaian pengantin.


- DM
myMetro | Hef tak berubah: Crystal

Freedom Flotila II hantar bantuan ke Gaza

KUALA LUMPUR: Malaysia turut menyumbang bantuan kemanusiaan seperti ubat-ubatan, peralatan sekolah serta bahan binaan menerusi misi kemanusiaan antarabangsa ‘Freedom Flotila II’ yang akan belayar ke Gaza, akhir bulan ini, selain menghantar sepuluh sukarelawan, termasuk dua Ahli Parlimen.

Semua barangan meliputi kos keselurahan berjumlah RM450,000, termasuk kos logistik, hasil sumbangan rakyat Malaysia, akan dibeli di negara Mediterranean seperti Greece.
Bantuan kemanusiaan berkenaan akan dimuatkan ke dalam 13 kapal penumpang, termasuk tiga kapal kargo, yang akan belayar ke perairan Gaza dari beberapa pelabuhan terpilih sebelum bertemu di lokasi ditetapkan di Laut Mediterranean pada 28 atau 29 Jun ini.
Presiden Lifeline4Gaza (LL4G), Dr Noorazman Mohd Samsuddin yang mengetuai sukarelawan Malaysia berkata, setiap negara dikehendaki mengeluarkan sumbangan masing-masing berdasarkan keputusan jawatankuasa pemandu misi kemanusiaan itu yang diterajui beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Eropah, termasuk Ireland, Greece dan Sepanyol selain dibantu NGO lain seperti termasuk dari Turki dan Malaysia.

“Misi akan diteruskan mengikut jadual kecuali Mavi Marmara (kapal penumpang Turki) yang mungkin lewat. Perdana Menteri akan umumkan pasukan sukarelawan kita esok (hari ini),” katanya ketika mengulas perkembangan terkini misi kemanusiaan membabitkan 1,000 sukarelawan dari serata dunia itu.

Pasukan sukarelawan Malaysia, termasuk dua Ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang, akan diumumkan Datuk Seri Najib Razak dalam majlis pelancaran di Stadium Badminton Cheras bermula 8 malam ini.
Berita Harian Online | Freedom Flotila II hantar bantuan ke Gaza

Qari Negeri Sembilan, qariah Johor juara


AMIRAHMAN   bersama Suraya  selepas  muncul johan qari dan qariah pada  Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Majlis Islam  Sarawak, Kuching, malam tadi.
AMIRAHMAN bersama Suraya selepas muncul johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Majlis Islam Sarawak, Kuching, malam tadi.

Johan tilawah bawa pulang RM15,000, terima pakej haji

KUCHING: Qari Negeri Sembilan, Amirahman Abas dan qariah Johor, Suraya Abu Hassan dinobatkan johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah al-Quran Kebangsaan Ke-54 di Dewan Majlis Islam Sarawak di sini, malam tadi.
Johan tilawah masing-masing membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM15,000 dan pakej menunaikan ibadat haji.
Sementara qari Perak, Anuar Hasin dan qariah Sarawak, Roziah Ayub muncul naib johan qari dan qariah.

Tempat ketiga dimenangi qari Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali dan kategori qariah pula dimenangi juara bertahan, Nor Azrah Ayub.

Pemenang naib johan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan RM5,000 bagi tempat ketiga. Pemenang sagu hati menerima wang tunai RM2,000 setiap seorang.

Hadiah disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Norkiah.
Hadir sama, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman dan Menteri Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Adenan Satem mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Seramai 15 qari dan 14 qariah memperdengarkan bacaan al-Quran masing-masing pada tilawah yang berlangsung selama lima hari sejak Isnin lalu. Johan qari dan qariah akan mewakili Malaysia.
Berita Harian Online | Qari Negeri Sembilan, qariah Johor juara

‘Penggodam sudah dikenal pasti’

Laman web kembali beroperasi, tiada data milik kerajaan hilang atau rosak

KUALA LUMPUR: CyberSecurity Malaysia sudah mengenalpasti pihak bertanggungjawab menggodam laman web kerajaan dan swasta, sejak beberapa hari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leftenan Kolonel (B) Datuk Husin Jazri yang enggan mendedahkan maklumat lanjut berkata, ia hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).Beliau berkata, sehingga kini serangan penggodam masih lagi berlaku tetapi semakin berkurangan berbanding kelmarin.

“Kebanyakan laman web yang digodam kembali beroperasi dan hanya segelintir yang masih belum pulih. Bagaimanapun, portal kerajaan www.malaysia.gov.my sudah beroperasi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kelmarin, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendedahkan sebanyak 61 laman web dengan domain gov.my diserang sejak 11.30 malam Rabu lalu, menyebabkan 41 daripadanya mengalami gangguan pada tahap berbeza.

Serangan itu dikesan lebih awal daripada ancaman sekumpulan penggodam antarabangsa yang menggelar diri mereka ‘Anonymous’ untuk menyerang portal kerajaan www.malaysia.gov.my melalui ‘Operation Malaysia’ pada jam 3.30 pagi, kelmarin.
Mengulas lanjut Husin, berkata setakat ini, tiada maklumat atau data milik kerajaan hilang dan dirosakkan oleh penggodam.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai serangan penggodam hanya boleh diperoleh selepas ia dihentikan dan siasatan serta ‘post mortem’ dilakukan pihaknya.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua pemilik sistem berwaspada bagi memastikan keselamatan laman web mereka.

Sementara itu, pada sidang media di Angkasapuri, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata siasatan awal mendapati 90 peratus serangan dilakukan penggodam tempatan.

Beliau berkata, serangan itu menyusahkan rakyat dan seolah-olah mempunyai kaitan politik serta Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Beliau berkata, daripada 198 laman web di negara ini yang digodam sejak tengah malam Rabu lalu, 60 milik kerajaan dan agensinya.

“Sebahagian besar laman web itu sudah dipulihkan. Kerajaan mahu Jabatan Peguam Negara, SKMM dan agensi lain bekerjasama bagi memudahkan pengumpulan bukti mendakwa pihak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata rakyat tempatan yang dikenal pasti terbabit menggodam laman web kerajaan, dilabel sebagai penderhaka negara kerana tindakan mereka bermatlamat menghancurkan kerajaan.

Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap pihak terbabit termasuk melucutkan taraf kewarganegaraan jika terbukti mereka melakukan perbuatan yang boleh dianggap tindakan subversif.

“Mereka yang melakukannya boleh dianggap menderhaka kerana berniat menghancurkan negara,” katanya selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir merasmikan Program Kecemerlangan Pelajar Sekolah Daerah Manjung, di Lumut, semalam.
Berita Harian Online | ‘Penggodam sudah dikenal pasti’

Yusof Haslam mohon maaf



YUSOF (kanan) bersama Syamsul bersalaman dengan Roslan di Restoran Haslam di Jalan Pahang, malam tadi.
YUSOF (kanan) bersama Syamsul bersalaman dengan Roslan di Restoran Haslam di Jalan Pahang, malam tadi.

Penerbit filem, PEKIDA berdamai

KUALA LUMPUR: Demi menjernihkan keadaan dan memelihara perpaduan sesama Islam, penerbit filem KL Gangster, Datuk Yusof Haslam memohon maaf kepada Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) berhubung kontroversi penggunaan beberapa nama panggilan yang dikatakan sinonim dengan pertubuhan itu melalui filem aksi terbabit, baru-baru ini.
Yusof yang juga Pengarah Urusan Skop Productions berkata, kontroversi itu tercetus disebabkan salah faham, bukannya salah PEKIDA atau Skop Productions.
“Saya dengan rasa rendah hati, menghulur tangan tanda persahabatan, demi Tuhan saya langsung tidak ada niat walau sebesar kuman untuk mempersendakan PEKIDA.

“Mungkin penggunaan beberapa nama panggilan di dalam KL Gangster membuatkan beberapa ahli PEKIDA terasa hati dan terkena tempias.

“Apabila wujud salah faham, ia berlaku secara kebetulan dalam filem, bahasa filem tak sama dengan bahasa di luar,” katanya pada majlis kesyukuran dan musyawarah antara Skop dan PEKIDA di Restoran Haslam, di sini, malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan/Putrajaya/Labuan, Datuk Roslan Dahaman. Hadir sama, pengarah KL Gangster, Syamsul Yusof Haslam dan pelakon filem itu seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Soffi Jikan, Adam Corrie dan Sheera Iskandar.
Turut hadir, penerbit filem Kongsi, David Teo dan produser drama terkenal, Mohd Noor Kadir.
Berita Harian Online | Yusof Haslam mohon maaf

Anak perempuan Najib bertunang

KUALA LUMPUR: Nooryana Najwa, anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, secara rasmi bertunang dengan Daniyar Nazarbayev dalam satu majlis di Seri Perdana, Putrajaya Jumaat malam.

Majlis pertunangan pasangan itu diserikan dengan kehadiran keluarga serta rakan mereka, selain orang kenamaan dari Malaysia dan luar negara.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, berkenan menghadiri majlis itu.
Yang turut berangkat ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Hajah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah dan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Tun Abdullah Badawi, Menteri Kabinet, timbalan menteri serta pegawai kanan Kerajaan Pusat dan negeri.

Hadir sama, ibu Najib, Tun Hajah Rahah Mohamad Noah.

Kenamaan asing yang hadir termasuk Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan isteri, Sheikha Salam Hamdan Al Nahyan, serta Pengerusi Medina Council, Putera Saud Abdulaziz Al-Saud.
Nooryana Najwa, 22, adalah lulusan School of Foreign Service, Universiti Georgetown, Amerika Syarikat, sementara Daniyar, 22, menamatkan pengajian di Universiti Columbia, New York.

Pasangan itu bertemu ketika menuntut di Amerika Syarikat. - BERNAMA
Berita Harian Online | Anak perempuan Najib bertunang

Jutawan pornografi tawar Weiner kerja

Kesal ahli Kongres AS letak jawatan kerana mesej seks

LOS ANGELES: Jutawan pornografi terkenal Amerika Syarikat, Larry Flynt, menawarkan kerja kepada ahli parti Demokrat Amerika Syarikat, Anthony Weiner, selepas anggota Kongres dari New York itu meletak jawatan berhubung satu skandal ‘mesej seks’ kepada beberapa wanita.
Pengasas majalah dewasa Hustler, Flynt berkata beliau sedia membayar gaji Weiner yang menghantar gambar kemaluannya kepada beberapa wanita menerusi Twitter, malah menawarkan 20 peratus lebih tinggi berbanding ketika Weiner menjadi ahli Kongres.
“Selepas mendapat tahu anda meletak jawatan secara tiba-tiba dan atas dasar terpaksa daripada jawatan ahli Kongres, saya menawarkan pekerjaan kepada anda di bahagian internet Flynt Management Group, LLC.

“Tawaran ini bukan satu gurauan. Bagi menunjukkan keikhlasan kami, Flynt Management Group, LLC bersedia membayar gaji 20 peratus lebih tinggi daripada gaji anggota Kongres,” kata Flynt sambil berjanji membayar perlindungan perubatan dan kos perpindahan.

Flynt juga berkata: “Saya merasakan bahawa peletakan jawatan anda yang tidak wajar adalah contoh utama tekanan politik tidak berasas dan hipokrasi yang menguasai demokrasi di Washington DC.

“Sama seperti kami tidak melakukan kempen politik tidak ikhlas, kami juga tidak membuat tawaran kerja yang tidak ikhlas,” kata Flynt dalam sepucuk surat kepada We iner, diterbitkan laman web berita selebriti TMZ.
Anggota Kongres berusia 46 tahun itu, yang sehingga kini dilihat sebagai calon utama Datuk Bandar New York, meletak jawatan selepas mengakui menghantar mesej seks kepada enam wanita.

Seorang wanita yang terbabit dalam skandal berkenaan, bekas aktres lucah, Ginger Lee, menyambut baik keputusan peletakan jawatan Weiner.

“Saya gembira dengan keputusan beliau untuk meletak jawatan. Selepas tiga minggu lalu dan semua yang berlaku sebelum itu, saya fikir beliau membuat keputusan paling bijak dan wajar untuk diri, keluarganya dan semua yang terbabit dalam skandal ini,” katanya.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya dan berharap rawatan yang diterimanya dapat membantunya mengawal keinginannya dan membuat pertimbangan lebih baik untuk masa depan,” beliau menambah dalam satu kenyataan. – AFP
Berita Harian Online | Jutawan pornografi tawar Weiner kerja

Tentera Filipina juga ke Spratly

Benigno Aquino beri amaran tidak benarkan Beijing buli Manila

MANILA: Filipina semalam menghantar kapal tentera lautnya ke perairan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian berikutan ketegangan dengan Beijing mengenai tuntutan bertindih kedua negara terbabit di Kepulauan Spratly.
Bagaimanapun, jurucakap jabatan pertahanan, Eduardo Batac menegaskan bahawa penghantaran itu adalah tugasan rutin dan tidak mempunyai kaitan dengan pengumuman oleh China bahawa satu kapal maritim rondaan lautnya lalu kawasan terbabit.
“Saya tidak fikir ini ada kaitan. Tentera laut menjalankan rondaan laut biasa dan kita tidak perlu kaitkan penghantaran Rajah Humabon dengan penghantaran kapal tentera laut China,” katanya kepada media.

Batac tidak mengetahui sama ada kapal China sudah menghampiri perairan yang dituntut kedua-dua negara itu dan tidak menyebut bila kapal Filipina itu akan dihantar atau ke mana ia akan dihantar.

Rajah Humabon, bekas milik tentera laut Amerika Syarikat dibina ketika Perang Dunia ke-2 yang menjadi antara kapal perang tertua di dunia. Ia memulakan perkhidmatan dengan Tentera Laut Filipina pada 1980.

Meskipun Batac membuat kenyataan menafikan kena mengena dengan China, Presiden Benigno Aquino terus terang memberi amaran kepada Beijing agar tidak mencabul kawasan tuntutan Manila.
“Kami tidak akan benarkan dibuli hanya kerana kami negara kecil. Kami juga ada sebab kukuh untuk menyuruh mereka tidak mencabul wilayah kami dan itu bukan sumber atau punca pertikaian,” katanya.

Benigno berkata, Filipina sudah menamatkan tinjauan gas dan minyak di Tebing Reed Bank, kira-kira 130 kilometer dari wilayah Palawan dan menyifatkan hasilnya menggalakkan.

Filipina mempunyai tuntutan bertindih dengan China, Taiwan, Vietnam, Malaysia dan Brunei mengenai kawasan yang kaya dengan sumber di Laut China Selatan itu.

Ketegangan sejak sekian lama tercetus semula dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini berikutan dakwaan oleh Filipina dan Vietnam bahawa China meningkatkan tindakan agresif untuk menguasai wilayah yang dituntut itu.

Filipina mendakwa China bulan ini menghantar kapal tentera laut di sekitar Pulau Spratly di Laut China Selatan terbabit, selain mendakwa bahawa China memasang pos dan pelampung berhampiran kawasan terbabit. – AFP/AP Berita Harian Online | Tentera Filipina juga ke Spratly

Astro turunkan caj atau diboikot

PPIM mahu syarikat televisyen berbayar Astro mengkaji semula kanaikan caj langganannya bagi mengelakkan pengguna terbeban. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Syarikat televisyen satelit berbayar, Astro diberi kata dua untuk mengkaji semula kenaikan harga langganannya atau berdepan dengan tindakan boikot secara besar-besaran oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, selain Astro, pihaknya juga bersedia melancarkan boikot terhadap penaja dan syarikat pengiklan dengan syarikat televisyen tersebut.

"Tindakan Astro menaikkan kadar bayaran langganan sehingga RM15 sebulan adalah tidak wajar kerana syarikat itu telah mendapat keuntungan menjangkau RM831 juta setahun.

"Sebanyak RM31 juta daripada jumlah itu merupakan hasil keuntungan daripada iklan yang disiarkan. Malah tindakan mengenakan caj sebanyak RM20 untuk menyambung perkhidmatan Astro juga tidak munasabah kerana ia tidak melibatkan sebarang kerja teknikal, mereka hanya perlu menekan satu butang sahaja," katanya pada satu sidang akhbar di sini semalam.

Astro baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuat kuasa 11 Julai ini dengan harga langganan diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.

Kosmo! Online - Negara

Pekerja didakwa bunuh majikan

KLANG - Seorang lelaki warga India dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh majikannya, Datuk R. Anbalagan Rabu lalu.

R. Narayanan, 24, yang juga pekerja ladang milik mangsa didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 13 Jun lalu di Kuil Sri Ramalingeswarari, Lot 9221 Jalan Kebun Baru, Kampung Perepat di sini pukul 9.30 malam.

Narayanan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan kerana membunuh dengan cara mengelar mangsa menggunakan parang.

Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nadia Othman.

Kosmo! Online - Negara

Kecoh angkara orang tempatan



PUTRAJAYA – Kira-kira 90 peratus serangan penggodam ke atas beberapa laman web rasmi kerajaan dan swasta sejak empat hari lepas, dilakukan orang tempatan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.

Beliau berkata, polis dan agensi berkaitan kini dalam proses mengenal pasti semua penggodam.

“Kami sudah mendapat tahu bahawa hampir semua ini dilakukan orang tempatan, bukan pihak antarabangsa,” katanya kepada pemberita pada satu sidang akhbar di sini semalam.

Ongkili diminta mengulas insiden menggodam beberapa laman web di negara ini serta mengancam portal rasmi kerajaan www.malaysia.gov.my oleh sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka sebagai Anonymous dan mendakwa berpangkalan di luar negara.

Kosmo! Online - Negara