Friday, September 20, 2013

Waris diraja hidup serba kekurangan


Sultana Begum (kanan) bermesra dengan dua daripada cucunya, di kawasan setinggan Howrah, Kolkata, India, baru-baru ini. - Agensi
KOLKATA 19 Sept. - Seorang wanita yang juga pewaris kepada Maharaja terakhir Empayar Mughal, Bahadur Shah Zafar, kini menjalani kehidupan serba daif, jauh berbeza dengan kemewahan yang pernah dikecapi ahli keluarganya di dalam istana suatu masa dahulu.
Nasib Sultana Begum, 60, berubah selepas kematian suaminya, Putera Mirza Bedar Bukht iaitu cicit kepada Bahadur Shah pada tahun 1980.
Sejak itu, Sultana terpaksa tinggal di sebuah pondok kecil dua bilik di Howrah, sebuah kawasan setinggan di Kolkata, di mana dia berkongsi dapur dengan jirannya selain membasuh kain di jalanan dengan menggunakan air daripada paip awam.
Di pondok itu, wanita tersebut tinggal bersama seorang anak perempuannya yang belum berkahwin.
Lima lagi anaknya, terdiri daripada empat perempuan dan seorang lelaki telah berkahwin, namun mereka turut hidup serba kekurangan.
Jelas Sultana, dia kini bergantung hidup dengan pencen bulanan sebanyak 6,000 rupee (RM300) bagi menyara diri, enam orang anak dan cucu-cucunya.
"Setakat ini, kami masih mampu hidup, tapi hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana," katanya.
Walaupun menghabiskan kebanyakan masanya dengan menjalankan perniagaan kedai minuman dan menjahit pakaian wanita, Sultana bersyukur kerana masih ada pihak yang datang membantu.
"Suami saya, Allahyarham Mirza Bedar pernah memberitahu saya bahawa kami datang dari keluarga diraja yang sangat dihormati dan tidak pernah meminta-minta untuk meneruskan kehidupan,'' katanya lagi.
Maharaja Bahadur Shah diangkat sebagai pemerintah Empayar Mughal pada 1837 dan di antara monumen yang memperlihatkan kegemilangan dinasti itu ialah Taj Mahal, Istana Merah dan Kubu Agra. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130920/lu_11/Waris-diraja-hidup-serba-kekurangan#ixzz2fP5hzmv9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anggota MNLF mula serah diri



Sebanyak 15 anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang menyerah diri, dipertontonkan kepada media di sebuah balai polis di bandar Zamboanga, selatan Filipina, semalam. - Reuters
MANILA 19 Sept. - Sebanyak 15 anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) hari ini menyerah diri kepada pihak berkuasa dan lapan lagi ditembak mati pada hari ke-11 serangan kumpulan bersenjata itu ke atas Zamboanga yang menyaksikan kira-kira 114 orang maut.
Jurucakap tentera, Brigadier Jeneral Domingo Tutaan berkata, anggota-anggota MNLF itu menyerah diri kepada askar dan polis yang berjaya mengambil alih kawasan-kawasan di Zamboanga.
"Mereka turut menyerahkan lima laras senjata api. Kami percaya ketika ini masih terdapat kira-kira 70 anggota MNLF bersembunyi di kawasan terbabit dengan sekurang-kurangnya 20 tebusan,'' katanya.
Seorang pegawai tentera berpangkat leftenan turut terbunuh dalam pertempuran hari ini sebelum anggota kumpulan bersenjata itu menyerah diri.
Sejak 11 hari lalu, sebanyak 94 anggota MNLF, tujuh orang awam dan tiga pegawai polis turut dilaporkan terbunuh dalam siri pertempuran di Zamboanga.
Kehidupan di bandar itu juga hampir pulih kepada sediakala apabila perkhidmatan penerbangan komersial disambung semula hari ini selepas digantung sejak pertempuran bermula pada 9 September lalu.
Setiausaha Dalam Negeri, Mar Roxas berkata, keadaan beransur-ansur pulih di bandar ini.
Dalam pada itu, ketua MNLF, Nur Misuari, 71, sebelum ini pernah berikrar bahawa akan membawa selatan negara itu keluar daripada Filipina, tindakan yang dilihat menjadi punca kumpulan bersenjata itu menyerang Zamboanga.
"Kami tidak mahu menjadi sebahagian daripada Filipina lagi,'' katanya kepada penyokongnya di Jolo pada 12 Ogos lalu.
Beliau turut mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden Bangsamoro Republik dan meminta penduduk menentang kerajaan Filipina. - DPA/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130920/lu_04/Anggota-MNLF-mula-serah-diri#ixzz2fP4Buluy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tentera bunuh lapan gerila MNLF


BEBERAPA gerila MNLF yang menyerah diri kepada pihak tentera dihantar ke sebuah balai polis di Zamboanga semalam. - Agensi


BANDAR RAYA ZAMBOANGA - Pertempuran antara tentera dengan gerila pemisah di sini terhad kepada dua kawasan dan akan berakhir tidak lama lagi," kata Presiden Filipina, Benigno Aquino.
Namun, seorang jurucakap tentera memberitahu, pertempuran sengit masih berlaku di dua baha- gian di bandar pelabuhan ini semalam dengan lapan gerila Bari- san Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) terbunuh manakala 15 lagi menyerah diri.
Konfrontasi bersenjata itu tercetus pada 9 September lalu apabila sekumpulan anggota MNLF yang lengkap bersenjata berarak menuju ke bandar raya ini.
Lebih 100 orang terbunuh dan sekitar 112,000 penduduk melarikan diri dalam pertempuran yang berlanjutan selama 11 hari itu.
Aqunio yang berada di sini sejak Jumaat lalu memberitahu, hanya 20 tebusan yang terdiri daripada orang awam masih ditawan pengganas.
"Konfrontasi ini tidak akan berpanjangan," katanya pada satu sidang akhbar.
Dalam perkembangan berkaitan pihak tentera memberitahu, cuma 70 gerila MNLF masih bertahan selepas sekitar 100 orang menyerah diri atau ditangkap manakala 86 lagi dibunuh.
Bandar raya ini pula kembali beroperasi semalam dengan seba- hagian bank dan kedai dibuka.
Sebanyak dua penerbangan dengan sebuah hanya membawa 18 penumpang dari Manila turut mendarat di sebuah lapangan terbang di sini.
Aquino menyatakan bahawa beliau akan berada di sini sehingga krisis tersebut selesai. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0920&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2fNjzyvDw 
Hakcipta terpelihara