Monday, December 17, 2012

Bertam: Pertahan kedaultan Terengganu



DR SYED AZMAN AHMAD NAWAWI
17 Disember 2012
Telaga Bertam milik Pahang atau Terengganu, soal Pas
Muka Depan Sinar Harian Edisi Terengganu
SOALAN lisan saya pada persidangan Dewan Undangan Neegeri Terengganu berhubung dengan status hak milik kerajaan Terengganu ke atas penemuan kawasan minyak di medan minyak Bertam PM 307 akhirnya dijawab oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Jawapan yang diberikan oleh beliau amat memeranjatkan banyak pihak. Tanpa berselindung, beliau telah memberikan beberapa fakta penting mengenai penemuan hasil minyak di kawasan tersebut.
Beliau menyatakan bahawa:
"Kita (Kerajaan Terengganu) menerima surat dari syarikat Lundin Oil (syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu...
"Dengan penemuan rizab tambahan ini, Terengganu dijangka memperoleh tambahan royalti sebanyak RM100 juta setahun atau bergantung kepada anggaran pengeluaran."
Berpandukan jawapan ini, kawasan medan minyak yang baru ditemui di Blok PM 307 Bertam yang terletak di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang kini sah menjadi milik rakyat Terengganu.
Medan minyak itu terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan dengan sempadan Terengganu dan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.
Ahmad Said juga mengesahkan bahawa kerajaan negeri ada menulis surat kepada Petronas mengenai status penemuan minyak itu, namun sehingga kini belum lagi menerima jawapan.
Namun pendedahan terbuka Menteri Besar Terengganu ini mempunyai implikasi undang-undang dan kedaulatan sesebuah negeri yang bernaung di bawah sistem Persekutuan.
Yang paling penting adalah tindakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak yang terlebih dahulu mengisytiharkan pada 30 Oktober lalu bahawa negeri Pahang dan bukannya Terengganu berhak menerima royalti di medan minyak Bertam tersebut.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa negeri Pahang dijangka menerima royalti sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.
Pengumuman ‘anugerah royalti minyak’ oleh Perdana Menteri kepada negeri Pahang ini telah membuka kembali terlalu banyak persoalan besar.
Ia jelas menafikan hak rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu yang berpegang teguh kepada semangat Federalisme dan keluhuran perlembagaan negara.
Begitu juga dengan kedudukan Akta Perjanjian Petroleum yang ditandatangani pada tahun 1975 antara kerajaan negeri-negeri dan kerajaan Persekutuan bersama Petronas.
Perjanjajian ini jelas menjamin hak royalti sebanyak lima peratus kepada negeri-negeri yang ditemui hasil minyak dan gas di perairan sempadan negeri masing-masing.
Persoalan besar adalah, apakah perjanjian asal di antara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas yang ditandatangani pada tahun 1975 itu sudah tidak diterima-pakai lagi?
Dan apakah setiap penemuan hasil minyak termasuk di Sabah dan Sarawak kini boleh di agih-agihkan kemana-mana sahaja negeri hanya dengan kuasa mutlak Perdana Menteri?
Isu royalti minyak kepada negeri-negeri mula timbul sebaik sahaja Pas berjaya menawan negeri Terengganu pada pilihan raya umum ke-11 tahun 1999.
Pada 5 September 2000, di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed, Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk menarik balik royalti minyak Terengganu.
Beliau menyatakan bahawa “pembayaran royalti lima peratus kepada Terengganu selama 25 tahun oleh Petronas adalah satu kesilapan dan hanya MOU semata-mata."
Jadi di manakah maruah dan hak negeri Terengganu Darul Iman sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan negeri yang berpayungkan Tuanku Al-Sultan, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud?
Ini ditambah dengan tindakan ‘mengihsankan’ royalti minyak Terengganu di bawah Dana Khas Persekutuan yang jelas menzalimi rakyat Terengganu yang majoritinya Melayu dan beragama Islam.
Bagi saya apa yang berlaku bukanlah isu hasil minyak yang diperoleh itu berada samada di dalam atau diluar tiga nautika dari persisir pantai negeri.
Kenapa ini tidak berlaku di Sabah dan Sarawak? Apa yang dilakukan adalah kerana dendam dan diskriminasi politik yang berjalan sejak berpuluh-puluh tahun.
Lebih parah lagi mereka sanggup menghina dan menghukum negeri yang 96 peratus penduduknya adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Amat wajar diamati kembali sikap pengasas pertama Petronas, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menunjukkan sifat seorang negarawan tulen.
Beliau berani berdiri dipersada politik tanahair bagi membetulkan fakta yang diselewengkan khususnya dalam perkara pembayaran royalti pertoleum kepada negeri Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri lain.
Beliau dengan tegas menyatakan hak royalti kepada mana-mana negeri termasuk Terengganu dan Kelantan mesti ditunaikan oleh Petronas berpandukan kepada perjanjian asal pada tahun 1975.
Isu hak royalti minyak Bertam kepada negeri Terengganu adalah persoalan kedaulatan dan maruah negeri yang berdaulat.
Setiap rakyat Terengganu biarpun berbeza pandangan politik dan parti, semestinya mempertahankan hak ini demi kebaikan negeri Darul Iman ini.
Semua rakyat Terengganu yang sayangkan negerinya harus bersatu dalam mempertahankan hak negeri daripada diambil oleh negeri lain.

* Dr Syed Azman Ahmad  Nawawi, Adun Batu Burok, Terengganu dan  juga Penolong Setiausaha Agong Pas

Myanmar mohon maaf secara rasmi kepada sami



YANGON 16 Dis. - Kerajaan Myanmar, semalam mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada golongan sami negara ini berikutan tindakan kekerasan pihak berkuasa ketika menyuraikan tunjuk perasaan di sebuah lombong tembaga baru-baru ini, yang menyebabkan lebih 100 sami cedera.
Menteri di Pejabat Presiden, Hla Tun yang mengetuai pegawai-pegawai tertinggi Myanmar, memohon maaf kepada para sami yang cedera dalam kejadian yang berlaku di Mandalay itu.
Dalam kejadian pada 29 November lalu, polis menggunakan meriam air, gas pemedih mata dan gas asap bagi menyuraikan tunjuk perasaan selama 11 hari oleh kumpulan sami di sebuah lombong tembaga di Letpadaung, timur laut Myanmar, sebuah projek usaha sama antara syarikat milik tentera Myanmar dan syarikat China.
Kumpulan sami tersebut mendesak projek itu dihentikan kerana didakwa menyebabkan kemusnahan alam sekitar, sosial dan mengundang masalah kesihatan.
Rabu lalu, beratus-ratus sami mengadakan perarakan aman di Yangon, Mandalay serta beberapa bandar kecil lain bagi mendesak kerajaan memohon maaf.
Sementara itu, seorang daripada sami yang mengetuai tunjuk perasaan itu, Shin Wirathu berkata, pihaknya berpuas hati dengan permohonan maaf daripada kerajaan.
Menurutnya, sebanyak 37 sami dan penunjuk perasaan masih dirawat di hospital sehingga kini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121217/lu_06/Myanmar-mohon-maaf-secara-rasmi-kepada-sami#ixzz2FJt6iQmk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Naib Presiden Syria: Hanya kerajaan perpaduan boleh selesai krisis




17 Disember 2012
DAMSYIK - Naib Presiden Syria, Farouq al-Sharaa berkata penyelesaian melibatkan pembentukan kerajaan perpaduan nasional sangat diperlukan bagi menamatkan konflik negara itu.

Katanya, pembentukan kerajaan nasional sangat diperlukan untuk menamatkan konflik yang sudah 21 bulan melanda negara itu.

Beliau turut berkata bahawa keadaan negara itu juga boleh menjadi lebih tegang jika konflik tidak diselesaikan segera.

Farouq merupakan tokoh Islam Sunnah dalam rejim minoriti Alawite yang dipimpinnya dan telah berkhidmat dalam jawatan tertinggi hampir 30 tahun.

Dalam perkembangan terbaru, Iran berkata, mereka menyokong pilihan raya presiden sebagai sebahagian daripada pelan enam titik yang digariskan bagi menghentikan keganasan.

Pelan itu digambarkan bagi menghentikan aliran senjata ke Syria dan bagi mengadakan perbincangan dengan kerajaan Presiden Bashar al-Assad.

Sabtu lalu, Menteri Luar Iran, Akhbar Salehi berkata negaranya akan melakukan apa saja bagi memastikan Presiden Bashar ak-Assad dapat mengekalkan kuasanya.

Asas konflik Israel-Palestin



WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Disember 2012
Asas konflik Israel-Palestin
Israel merancang untuk membina penempatan haram tambahan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. Foto: Reuters
Usaha menyelesaikan konflik Israel-Palestin terutamanya melibatkan kawasan garisan sempadan bermula selepas PBB meluluskan resolusi membahagikan Palestin (negara mandat di bawah pentadbiran British) kepada wilayah Arab dan wilayah Yahudi pada 1947.

Penduduk Arab menolak ketetapan itu hingga mencetuskan Perang Arab-Israel pertama sebaik sahaja peristiwa ‘penubuhan’ negara Israel atau Hari Nakba (malapetaka) pada 15 Mei 1948.

Kemenangan berpihak kepada Israel dan rejim Zionis berjaya menawan beberapa wilayah sekali gus beberapa siri rundingan bersama negara di rantau Arab diadakan semula di bawah Perjanjian Rhodes pada 1949.

Bagaimanapun, peperangan susulan dilancarkan selama enam hari pada 5 hingga 10 Jun 1967 di Timur Tengah sekali lagi menyebabkan sebahagian besar wilayah di rantau itu ditawan Israel.

Ia menjadi kekalahan besar kepada Mesir, Syria dan Jordan serta menyaksikan Masjid Al-Aqsa terletak di kawasan Baitulmaqdis Timur dikuasai rejim Zionis sehingga kini.

Pada November 1967, PBB mengeluarkan Resolusi 242 menggesa Israel berundur semula ke sempadan (garisan hijau) seperti ditetapkan dalam perjanjian pada 1949.

Pada masa itu juga, Hamas menuntut tiga perkara sebagai syarat melaksanakan gencatan senjata iaitu berundur dari wilayah diduduki Israel, Baitulmaqis Timur diisytihar sebagai ibu negara Palestin dan hak pelarian Palestin untuk pulang ke negara mereka tanpa merujuk resolusi tersebut.

Bagaimanapun, Israel berjaya memutar belit resolusi itu dengan mencabar tuntutan mana-mana pihak.

Susulan daripada kegagalan pelaksanaan resolusi itu, Presiden Mesir, Anwar Sadat dan Perdana Menteri Israel, Menachem Begin menandatangani Perjanjian Kem David pada 17 September 1978 selepas mengadakan rundingan sulit selama 12 hari di kem tersebut.

Perjanjian itu dimeterai di Rumah Putih, dan turut disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter. Pada 1993, Israel-Palestin cuba menyelesaikan konflik antara mereka dengan memeterai Perjanjian Damai Oslo yang menjadi batu tanda kepada usaha mendamaikan kedua-dua negara itu.

Perjanjian ini dipersetujui di Oslo, Norway pada 20 Ogos 1993 dan ditandatangani secara rasmi di Washington pada 13 September 1993 oleh Mahmoud Abbas yang mewakili Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Shimon Peres mewakili Israel.

‘Mengambil alih’ tanah Palestin

Israel menggunakan mekanisme undang-undang kompleks dan birokrasi untuk mengambil alih lebih 50 peratus kawasan di Tebing Barat. Kawasan di Tebing Barat ini digunakan sepenuhnya untuk mewujudkan penempatan haram dan rizab tanah untuk peluasan projek pembangunan penempatan tambahan pada masa hadapan.

Helah utama mereka untuk merampas tanah milik Palestin itu adalah mengisytiharkannya sebagai ‘tanah kerajaan’. Proses tersebut dimulakan pada 1979 dengan memanipulasi pelaksanaan Undang-undang Tanah Ottoman 1858.
Kaedah lain diguna pakai Israel untuk ‘mengambil alih’ kawalan tanah milik Palestin termasuk melakukan rampasan ke atas ‘aset terbiar’ dengan alasan untuk kegunaan tentera dan awam.

Selain itu, Israel turut membantu penduduk mereka membeli tanah di pasaran bebas melalui proses melanggar prinsip asas dan keadilan asasi hingga menyebabkan kebanyakan penduduk Palestin tidak sedar apabila tanah mereka bertukar hak milik.

Walaupun pelbagai kaedah digunakan, matlamat utama mereka sebenarnya adalah untuk mewujudkan penempatan haram di wilayah tersebut walaupun ia melanggar undang-undang antarabangsa.

Umumnya, Mahkamah Tinggi Keadilan membenarkan mekanisme digunakan untuk mengambil alih tanah persendirian milik penduduk Palestin tetapi apabila Israel mengisytiharkan ia sebagai hak kerajaan, mahkamah itu enggan campur tangan bagi menghalang tindakan tersebut.

Undang-undang antarabangsa

Pembangunan penempatan haram di Tebing Barat sememangnya mencabul undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Undang-undang kemanusiaan antarabangsa melarang penjajah memindahkan penduduk dari wilayah mereka ke wilayah yang diduduki seperti termaktub di dalam  Konvensyen Geneva Keempat, Artikel 49.

Peraturan The Hague juga melarang kuasa penjajah melaksanakan perubahan kekal di kawasan diduduki melainkan atas sebab keperluan tentera atau memberi faedah kepada populasi tempatan.

Tindakan Israel sememangnya mencabul hak penduduk Palestin seperti yang termaktub dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Selain itu, Israel turut melanggar hak menentukan nasib sendiri, hak kesamaan dan hak kebebasan bergerak penduduk Palestin.

Walaupun penempatan haram tersebut dianggap melanggar undang-undang, ia tidak melibatkan status pendatang haram Yahudi kerana mereka tetap dilabel sebagai orang awam terutamanya golongan kanak-kanak yang mendapat perlindungan khas.

Apakah E1?

Pelan induk E1 diluluskan pada 1999 dan melibatkan kawasan yang kononnya diisytiharkan Israel sebagai tanah milik kerajaan. Kementerian Perdagangan dan Industri juga pernah mengemukakan pelan rancangan projek pembangunan pusat pekerjaan dan perniagaan metropolitan di bawah E1 yang disediakan oleh syarikat Reches-Eshkol serta diluluskan pada 2002 tetapi masih belum dilaksanakan.

Di samping untuk rancangan pembinaan penempatan penduduk, pelan itu turut bertujuan membangunkan pusat pelancongan, perniagaan dan projek jalan raya.

Minggu lalu, media melaporkan Israel memutuskan untuk memajukan projek pembinaan ribuan unit apartmen di Maaleh Adumim sebagai sebahagian daripada pelan E1 yang akan menghubungkan Baitulmaqdis.

Difahamkan juga, pelaksanaan projek ini akan membangunkan blok bandar antara Maalem Adumin dan Baitulmaqdis yang akan memisahkan Baitulmaqdis Timur dengan Tebing Barat, sekali gus membahagikan kawasan di Tebing Barat kepada dua bahagian iaitu utara dan selatan.

Biarpun usaha Israel untuk merampas tanah Palestin dikecam suara antarabangsa, ternyata mereka tidak pernah berputusa asa dan sentiasa menimbulkan konflik bagi memastikan hasrat mereka tercapai.

Nik Aziz mahu penceramah Pas guna ayat suci al-Quran



W.SAIDATUL FADZILAH W.NAJEMUDIN
17 Disember 2012
Nik Aziz
Nik Aziz
DUNGUN – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu penceramah mewakili partinya menggunakan ayat-ayat suci al-Quran yang sesuai dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Menurutnya, berdasarkan keadaan negara yang kian menghampiri pilihan raya umum, beliau mengingatkan kalangan penceramah menggunakan ayat-ayat al-Quran bagi menterjemah kepada rakyat mengenai pembentukan kerajaan Islam.

“Apabila ceramah (kita) kena sebut ayat al-Quran. Sekarang ini dekat dengan hari mengundi, (jadi) bacalah ayat sesuai berhubung membentuk kerajaan Islam,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Himpunan Kebangkitan Rakyat Pas Ganti Umno (PGU) 6.0, di Paka, kelmarin.

Beliau menjelaskan, sebagai penceramah dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam, penggunaan ayat-ayat suci al-Quran digalakkan sebagai penegasan kepada rakyat sesuai dengan perkembangan semasa.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan itu turut menyifatkan Umno sebagai sebuah parti yang tidak layak menjadi jentera Islam.

Beliau yang sebelum ini turut melabelkan Umno sebagai sebuah parti murtad menjelaskan bahawa parti itu tidak mampu memimpin rakyat ke arah bertakwa kepada ALLAH atau ‘ittaqullah’.

“Umno tak layak nak pimpin rakyat ke arah ittaqullah dan untuk melaksanakannya perlu dibuat oleh parti Islam dan tiada parti yang seumpama itu melainkan Pas,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian himpunan Kebangkitan Rakyat Pas Ganti Umno 6.0 di Paka, di sini, kelmarin.

Beliau menjelaskan, hanya Pas yang mampu membawa rakyat ke arah seruan tersebut kerana mendakwa Umno awal-awal lagi menolak Islam.

“Pas ada wadah dan jentera untuk laksanakan seruan itu dan kita yang paling layak untuk menunaikan seruan itu seperti mana yang diminta oleh khatib ketika membaca khutbah setiap Jumaat dan bukan Umno,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut mendakwa Umno tidak boleh terus bergantung kepada perjuangan bersifat kebangsaan.

Beliau turut mengaitkan slogan ‘hidup Melayu’ sama sekali tidak sesuai dilaungkan dalam masjid, tidak sebagaimana laungan takbir yang sering kali diucapkan pemimpin dan pengikut Pas.

“Tidak boleh ucap ‘hidup Melayu’ dalam masjid. Bagaimana sekiranya ada Cina Muslim atau India Muslim dalam masjid. Tidak boleh kebangsaan, tidak boleh Arab, Melayu, Cina. Semua sama. Lebih lagi apabila Melayu tunjuk perangai jelik dengan menonggeng punggung,” katanya.

Enggan tarik balik kenyataan, ADUN Temiang digantung daripada sidang DUN



SEREMBAN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor hari ini mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai keluar dewan selepas ADUN DAP itu enggan menarik balik kenyataannya.

Speaker yang membuat keputusan itu mengikut Peraturan 6(5) Peraturan Tetap dewan, turut menggantung Ng daripada menyertai sidang dewan selama dua hari termasuk hari ini.

Razak memutuskan demikian berikutan tindakan Ng yang enggan menarik balik perkataan 'jahat dan kotor' yang ditujukan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2013 pada sidang DUN di sini, hari ini.

Walaupun berkali-kali diminta untuk menarik balik kenyataan "jahat dan kotor" itu yang disifatkan Razak sebagai tidak sesuai digunakan di dalam dewan, Ng tetap berdegil sebelum diiringi oleh Bentara dewan untuk keluar meninggalkan dewan.

Persidangan dewan bersambung esok. - BERNAMA

Rakyat Mesir lulus Perlembagaan baru



Kaherah: “Majoriti mudah rakyat Mesir meluluskan Perlembagaan kontroversi yang disokong Presiden Mohamed Morsi dan golongan Islam dalam pusingan pertama pungutan suara,” kata kumpulan Islam dan pembangkang semalam, memetik keputusan tidak rasmi.

Undian kelmarin di 10 wilayah termasuk Kaherah dibuat selepas berminggu-minggu bantahan besar-besaran anjuran gabungan pembangkang yang pada awalnya bertujuan menyerang pungutan suara itu, sebelum sebaliknya menyuarakan supaya draf itu ditolak pada saat-saat akhir.

Keputusan tidak rasmi pusingan pertama berdasarkan kiraan yang diberikan oleh pegawai, tidak mencapai matlamat yang diharapkan golongan Islam untuk mendiamkan pembangkang dan memberi ganjaran kepada perjudian Morsi mempercepatkan piagam itu.

Menjelang pagi semalam, dengan kebanyakan undian dikira, Parti Kebebasan dan Keadilan pimpinan Morsi berkata di laman webnya bahawa 56.6 peratus mengundi menyokong Perlembagaan dalam pungutan suara yang diadakan secara tergesa-gesa itu, secara kasar sama dengan jumlah yang dilaporkan media Mesir.

Undian kedua Sabtu depan

Undian pusingan kedua diadakan Sabtu depan, dan selepas itu keputusan rasmi akan diketahui.

Gabungan pembangkang utama, Barisan Penyelamat Kebangsaan, selepas undian ditutup malam kelmarin mengumumkan hampir dua pertiga pengundi menolak Perlembagaan yang dirangka majlis dikuasai golongan Islam.
Namun salah satu kumpulan utama gabungan itu, Popular Current, melaporkan dalam laman Facebook rasmi pagi semalam anggaran 56 pengundi meluluskan piagam itu, dengan pengiraan hampir tamat.

Keganasan antara penyokong dan penentang piagam itu berlaku di dua bandar raya terbesar Mesir, Kaherah dan Iskandariah, dalam masa 48 jam, dengan polis menangkis serangan golongan Islam ke atas ibu pejabat parti Wafd yang liberal di Kaherah malam kelmarin.

Menurut keputusan awal, majoriti mengundi menentang piagam itu di ibu negara, kubu kuat pembangkang. - AFP

Mubarak cedera jatuh bilik air penjara

Mubarak cedera jatuh bilik air penjara - Global - Sinar Harian: "KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada selepas terjatuh di bilik air di penjara beliau sedang menjalani hukuman.

Mubarak, 84, sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Penjara Tora di sini atas peranannya dalam pembunuhan penunjuk perasaan propembaharuan ketika revolusi rakyat awal tahun lalu.

Jun lalu, beliau dilaporkan koma, kira-kira seminggu selepas disabitkan kesalahan.

Ketika itu, peguamnya berkata, beliau koma selepas jatuh di bilik air.

Hosni memerintah Mesir selama tiga dekad."

'via Blog this'