Showing posts with label sempit. Show all posts
Showing posts with label sempit. Show all posts

Tuesday, April 26, 2011

Melayu mesti tolak perkauman sempit Umno


KUALA LUMPUR, 26 April: Semenjak selesai Pilihan Raya Sarawak di mana DAP telah menang di 12 kerusi DUN, DAP telah menjadi sasaran pencacai Umno khususnya Utusan Malaysia dengan slogan ‘Bersatulah Melayu’ mereka.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) berkata, ini dilakukan walaupun diketahui umum bahawa semua parti-parti komponen PR juga turut menunjukkan prestasi yang semakin meningkat.
DAP, katanya dijadikan sasaran kerana mereka telah berjaya memperolehi kebanyakan undi dari masyarakat Cina dan dengan itu dikatakan bahawa Cina telah bersatu bawah DAP.
Katanya, dengan gaya pemikiran perkauman sempit yang menguasai minda Umno, maka tidak pelik bagi kita apabila kejayaan DAP untuk meraih undi Cina ditafsirkan sebagai penyatuan Cina untuk ‘menentang Melayu’.
“Pemikiran perkauman yang menguasai minda Umno, yang diluahkan melalui lidah tidak rasmi mereka, iaitu Utusan Malaysia, tidak berkemampuan memikirkan sebab dan alasan yang lain mengapa masyarakat Cina secara padu menyokong DAP,” tulis beliau di dalam blognya.
Menurutnya, mata mereka dikaburi perkauman dan telinga mereka didendangkan dengan sorakan-sorakan perkauman, tiada yang mereka mampu lihat dan tiada yang mereka mahu dengar melainkan perkauman.
Hakikatnya, kata beliau masyarakat Cina telah menyokong calon DAP dan menolak calon SUPP. Kedua-duanya adalah berbangsa Cina.
“Persoalannya, mengapa masyarakat Cina menyokong seorang calon Cina dan menolak calon Cina yang satu lagi?” soalnya.
Kata beliau, ianya tidak boleh dijawab dengan alasan perkauman kerana pada hakikatnya dua-dua calon adalah berbangsa Cina.
Yang berbeza, ujarnya adalah seorang calon (SUPP) berdiri bersama BN dan seorang lagi (DAP) berdiri bersam PR.
Katanya lagi, BN melambangkan kerajaan yang tenggelam dengan rasuah dan kronisma sambil PR pula melambangkan kerajaan yang bebas rasuah, telus dan berkebajikan.
Tambahnya, keadaan Taib Mahmud sebagai pemimpin yang kaya raya hasil rasuah jelas terukir di pemikiran masyarakat Sarawak dan oleh itu masyarakat Cina menolak BN dan sekutu-sekutunya.
“Kita seharusnya mengucapkan tahniah kepada DAP dan kumpulan NGO Cina yang telah berjaya mendidik masyarakat Cina untuk menolak pemimpin Cina yang rasuah ataupun yang bersubahat dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah,” ujarnya.
Menurutnya, penolakan menyeluruh oleh masyarakat Cina terhadap amalan rasuah adalah berdasarkan kefahaman yang telah dibina bertahun-tahun melalui proses pendidikan formal dan tidak formal yang menyakinkan mereka bahawa rasuah ini akan memusnahkan negara.
“Oleh itu, saya sememangnya bersetuju bahawa masyarakat Cina telah bersatu, tetapi bukan untuk menentang Melayu, mereka bersatu untuk menentang rasuah dan penyelewengan.
“Mereka telah berjaya membuktikan di Sarawak bahawa mereka akan menolak mana pemimpin Cina, walau ‘BESAR’ mana sekalipun, walaupun presiden pada sebuah parti, sekiranya pemimpin itu mengamal atau bersubahat dengan rasuah,” katanya.
Sememangnya, tambah beliau orang Melayu juga wajib bersatu seperti mereka tetapi bukan bersatu di atas dasar perkauman seperti seruan Utusan Malaysia dan Perkasa.
Katanya, orang Melayu harus bersatu di atas prinsip menolak pemimpin yang rasuah, lebih-lebih lagi apabila diambil kira bahawa orang Melayu beragama Islam dan Rasulullah (SAW) telah menyatakan dengan jelas bahawa “pemberi dan penerima rasuah berada di dalam api neraka”.
“Sepatutnya, kita yang menunjukkan penolakan dan penentangan terhadap rasuah dan pemerintahan yang menyeleweng ini jauh lebih awal dari masyarakat lain.
“Sepatutnya kita yang berada di depan mendahalui yang lain, menjadi ummat yang boleh dicontohi, tetapi malangnya kita tetap berada ditahap lama, ditinggalkan masyarakat lain, khususnya masyarakat Cina pada ketika ini,” ujarnya.
Ini, ujarnya berlaku kerana malangnya, orang Melayu Islam di bawah pengaruh Umno dan Umno di atas sebab kejahilan mereka, telah mengharuskan rasuah di dalam alam politik dengan menganggap pengampunan Allah akan terjamin apabila dilakukan umrah sekali sekala.
Tambahnya, Umno yang menakut-nakutkan masyarakat Melayu sehingga terus menyokong perasuah dan perompak rakyat dari Umno kerana sekiranya tidak, maka Cina akan mengambil-alih kuasa.
Menututnya lagi, Umno yang memperbodohkan masyarakat Melayu sehingga mereka terus tidak sedar bahawa pada hakikatnya bila Umno kalah yang menang bukan DAP; tetapi PAS atau calon Melayu dari PKR.
Beliau berkata, dalam suasana kejahilan, ketakutan dan kebodohan ini Umno meraih kemenangan demi kemenangan dengan sokongan Melayu.
“Oleh itu, Umno ingin suasana sebegini terus kekal di kalangan masyarakat Melayu, supaya mereka akan terus berkuasa,” katanya.
Beliau menambah, inilah cabaran yang perlu diharungi PAS, khususnya untuk membebaskan masyarakat Melayu yang beragama Islam dari belenggu kejahilan, ketakutan dan kebodohan yang dipasang oleh Umno ke atas mereka.
Ini, ujarnya sehingga, satu hari kelak, masyarakat Melayu Islam akan bersatu, bukan untuk menentang Cina, tetapi untuk menentang rasuah dan menolak pemimpin yang rasuah dan parti yang membudayakan rasuah.
“Kalau DAP boleh berjaya dengan masyarakat Cina, mengapa tidak kita, masyarakat Melayu yang beragama Islam?
“Sekiranya tidak maka kita akan ketinggalan dan masyarakat lain akan menjadi jauh lebih maju dari kita,” ujarnya lagi.
Ini, tambahnya bukan sekadar lebih maju dari sudut material, tetapi lebih maju dari sudut nilai ketamadunan juga.
“Maka akhirnya apa yang akan ada dengan masyarakat Melayu Islam?” soalnya.

Melayu mesti tolak perkauman sempit Umno

Wednesday, October 6, 2010

Tertekan kongsi jalan



SUNGAI BULOH - Bagai berta-rung nyawa! Itulah yang dirasakan penduduk apabila terpaksa bersesak dengan kira-kira 500 kenderaan untuk ke sesuatu tempat. 

Warga Kampung Merbau Sempak dekat sini mengakui bimbang dengan keselamatan diri, walaupun hidup dalam negeri maju. 

Penduduk yang ditemui, Mohd Riezam Abdullah, 35, bukan sekadar pengguna kenderaan kecil, malah jalan yang umpama sekangkang kera itu turut dikongsi bersama kenderaan berat, termasuk treler. 

"Kami sudah tidak tahan dengan situasi ini. Sepatutnya sebagai masyarakat tempatan yang hidup dalam negeri maju, kami diberi peluang menikmati kemudahan infrastruktur yang baik," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini. 

Selain itu, katanya, kejadian kemalangan menimpa anaknya pada Jun lalu tidak dapat dilupakan. 

Menurutnya, anak yang berusia tujuh tahun dilanggar sebuah motosikal ditunggang laju ketika melintas jalan. 

“Mujur dia hanya terseliuh.. tetapi kemalangan itu sudah cukup membuatkan saya fobia dan betul-betul tertekan takut ia akan berulang,” katanya.

Tuesday, August 10, 2010

Rumah sempit



Oleh Suriana Halim Tan 
bhkt@bharian.com.my
2010/08/10

Penduduk di penempatan bekas pekerja lombong rayu kediaman kos rendah 

BUKIT BESI: Faktor kemiskinan dan ruang rumah yang sempit menyebabkan penghuni rumah kayu dua bilik di penempatan lebih 500 bekas pekerja lombong bijih besi di sini, terpaksa bersesak kerana didiami dua atau tiga keluarga.
Tanah yang terhad untuk membina rumah menyebabkan generasi kedua dan ketiga anak bekas pekerja lombong bijih besi terpaksa tinggal bersesak menumpang ibu bapa mereka yang suatu ketika dulu menikmati kehidupan makmur di bandar bijih besi itu.
Tinjauan Edisi Timur ke kawasan itu, mendapati sebahagian besar rumah di penempatan itu mempunyai sekurang-kurangnya dua keluarga dan hidup serba kekurangan. 

Penduduk, Roslan Taib, 48, berkata penduduk berharap kerajaan memberi perhatian kepada masalah mereka dan mengambil langkah mengatasinya dengan membina projek rumah kos rendah untuk dimiliki generasi kedua pekerja lombong itu secara sewa beli. 

“Perumahan adalah perkara paling asas untuk pembinaan sebuah institusi keluarga yang harmoni dan produktif. Walaupun, kami tidak lagi bekerja di lombong bijih besi, sekurang-kurangnya pengorbanan orang tua kami mencurah keringat untuk kemakmuran negeri di lombong itu dihargai. 

“Janganlah apabila lombong ini ditutup, kehidupan kami juga dilupakan agensi berkaitan. Kami harap Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) cakna dengan rintihan kami,” katanya yang terpaksa menumpang rumah orang tuanya dibeli daripada agensi itu. 
Roslan yang juga pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dungun berkata, orang ramai berharap kerajaan membuka penempatan baru menerusi pembinaan rumah kos rendah untuk generasi kedua dan ketiga di kawasan itu seiring dengan pertambahan penduduk. 

Pekerja sendiri, Shamsul Sharizal Mohd Rali, 32, berkata sudah empat tahun dia menumpang di rumah ibu bapanya, walaupun sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak. 

Katanya, dia berusaha mencari rumah untuk di sewa di sekitar kawasan itu, tetapi tiada yang sesuai dengan kemampuannya menyebabkannya tiada pilihan selain tinggal dengan orang tua. 

“Mana kami mampu menyewa banglo atau teres mewah dengan pendapatan kecil sebegini. Sampai bila kami perlu menumpang di rumah ibu bapa, sedangkan saya masih lagi mempunyai dua adik perempuan,” katanya. 

Penduduk asal, Osman Abdullah, 57, berkata rumahnya sudah tidak mampu menampung bilangan ahli keluarganya yang terlalu ramai, sehinggakan ruang dapur dijadikan tempat tidur. 

“Tiga anak yang sudah berkahwin masih menumpang di rumah saya kerana masih tidak mempunyai rumah dan tanah untuk dijadikan tempat berteduh,” katanya sambil menambah empat anak, tiga menantu dan lima cucu terpaksa duduk dalam keadaan tidak selesa serta berhimpit-himpit di rumahnya. 

“Kami memohon ihsan kerajaan agar mendirikan perumahan di sini yang dijual kepada penduduk pada harga termampu supaya lebih ramai kalangan berpendapatan rendah dapat membina keluarga sendiri dengan selesa,” katanya.