Thursday, January 29, 2015

Dron terhempas angkara perisik


Dron yang terhempas dipercayai dikendalikan ejen perisik.
Dron yang terhempas dipercayai dikendalikan ejen perisik.
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Seorang kakitangan agensi perisikan Amerika Syarikat mengaku mengendalikan dron yang terhempas di kawasan Rumah Putih, Isnin lalu.

Menurut Reuters, jurucakap Agensi Perisikan Kebangsaan Geospatial (NGA) memberitahu, kakitangan terbabit dipercayai telah memberitahu Perkhidmatan Rahsia AS yang menjaga kediaman presiden mengenai kejadian itu.

"Perkhidmatan Rahsia masih menyiasat berhubung insiden berkenaan, bagaimanapun lelaki terbabit tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin," katanya.
Difahamkan, peranti itu adalah untuk kegunaan rekreasi dan tidak berbahaya.

Presiden mahu bubar agensi risikan


Cristina Fernandez
Cristina Fernandez
BUENOS AIRES - ARGENTINA. Presiden Argentina, Cristina Fernandez mengumumkan beliau merancang untuk membubarkan agensi perisikan negara itu.

Menurut Press TV, Fernandez turut memaklumkan bahawa beliau akan membuat draf undang-undang untuk menubuhkan satu badan alternatif lain.

"Saya telah menyediakan draf undang-undang untuk melakukan pembaharuan dalam perkhidmatan risikan negara ini dan ia akan dibincangkan dalam sesi tergempar Kongres," katanya.

Menurutnya lagi, Seketariat Perisikan tersebut akan digantikan dengan Agensi Perisikan Persekutuan dan ketua badan terbabit perlu dilantik oleh presiden serta mendapat sokongan Senat.

Difahamkan, keputusan itu dibuat susulan daripada kematian misteri pendakwa raya, Alberto Nisman beberapa jam sebelum beliau mahu memberi keterangan terhadap pihak berkuasa.

Kim Jong Un sahkan lawatan ke Russia

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, sudah mengesahkan kehadiran beliau pada sambutan Russia Mei ini bagi memperingati kemenangan Soviet ke atas Jerman pada Perang Dunia Kedua, menurut agensi berita Korea Selatan, Yonhap yang memetik kenyataan jurucakap Kremlin.
Lawatan itu, jika berlaku, adalah yang pertama untuk Kim sejak mengambil alih kuasa di negara itu pada 2011 bagi menggantikan bapanya, Kim Jong Il yang mati mengejut.
Lawatan pertama ke luar negara itu juga kemungkinan besar disusuli lawatan ke China, sekutu utama Korea Utara.
"Kira-kira 20 pemimpin negara sudah mengesahkan kehadiran mereka dan pemimpin Korea Utara adalah antara mereka berkenaan," menurut laporan Yonhap yang memetik jurucakap Kremlin sebagai berkata kepada soalan bertulis untuk Dmitry Peskov, jurucakap Presiden Vladimir Putin.
Korea Utara dan Russia mahu mengeratkan hubungan apabila hubungan politik dengan China menjadi dingin selepas Kim mengambil alih kuasa dan tidak mengendahkan amaran masyarakat antarabangsa serta sekatan PBB untuk melakukan ujian nuklear ketiga pada 2013.
Awal bulan ini, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berkata Korea Utara memberikan isyarat positif selepas Putin menjemput Kim ke acara sambutan kemenangan itu.
Russia menyambut ulang tahun kemenangan itu setiap tahun pada 9 Mei.
Bapa Kim, Kim Jong Il, dijemput untuk majlis sambutan ke-60 pada 2005 tetapi tidak menghadirinya. - Reuters

Buku kartunis Zunar dirampas


Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Kuala Lumpur: Polis menyerbu pejabat kartunis Zunar di Pudu, Kuala Lumpur dan merampas kira-kira 155 buku pelbagai tajuk pada 11 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, antara buku yang dirampas ialah 'Conspiracy to Prison Anwar', 'Komplot Untuk Penjarakan Anwar' dan 'Pirates of The Carry-BN'.
Katanya, rampasan dibuat selepas sepasukan polis tiba di pejabat kartunis itu bagi merakam percakapan pekerjanya sebelum menemui buku berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2) Akta Mesin Cetak, Seksyen 4 (1)c Akta Hasutan dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana Fitnah," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Beliau berkata, serbuan itu dilakukan bagi menyoal siasat pekerja di pejabat itu berhubung tangkapan dua penjual buku di Istana Kehakiman sebelum ini.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 4:37 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/26927#sthash.8ydIrVFy.dpuf

Agensi risikan Argentina bubar

Buenos Aires: Presiden Argentina Cristina Fernandez mengumumkan perancangan membubarkan agensi risikan negara itu berikutan desas-desus mengatakan ejen pembelot menjadi dalang di sebalik kematian pegawai pendakwa yang menyiasat kejadian pengeboman sebuah pusat amal Yahudi yang mengakibatkan 85 maut dan 200 cedera pada 1994.
Kematian Alberto Nisman awal bulan ini - hanya sehari sebelum dijadualkan memberi keterangan mengaitkan Cristina dengan usaha menghalang siasatannya - secara tidak langsung menimbulkan debat berhubung kuasa dipegang agensi risikan negara itu.
Menurut kerajaan, dakwaan dan kematian Nisman akibat perebutan kuasa antara agensi berkenaan dengan perisik yang dipecat, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Cristina berkata rang undang-undang bagi membubarkan agensi itu akan diserahkan kepada Kongres sebelum lawatannya ke China, hujung minggu ini.
Cristina dikecam hebat pembangkang dan rakyat Argentina kerana caranya mengendalikan kematian Nisman. Pendakwa terbabit menuduh presiden berkenaan berunding secara rahsia dengan Iran bagi mengelak pihak yang bertanggungjawab bagi kejadian 1994 itu dikenakan sebarang hukuman.
Antara suspek dikaitkan dengan kejadian itu bekas Atase Kebudayaan Iran di Buenos Aires, Mohsen Rabbani, dan bekas menteri risikan republik Islam berkenaan, Ali Fallahian.
Sejak beberapa tahun lalu, Nisman berusaha mengekstradisi mereka serta suspek lain untuk menghadapi tuduhan di Argentina. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 5:02 AM


Seorang wanita memegang tanda tertulis ‘Keadilan’ ketika protes menuntut siasatan terhadap kematian Nisman di Istana Presiden.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/27000#sthash.mqrczmwW.dpuf

Gesa Jokowi batal pelantikan Ketua Polis Indonesia


Jakarta: Pengerusi kumpulan yang ditugaskan mencari jalan tengah dalam kemelut politik Indonesia, Syafi’i Maarif berkata, mereka meminta Presiden Jokowi membatalkan pelantikan Budi Gunawan sebagai Ketua Polis Negara.
Syafi’i - bekas Pengerusi Muhammadiyah, pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia - turut menggesa Budi supaya menarik diri secara sukarela untuk menamatkan konflik antara polis dan agensi antirasuah negara itu.
Menurut Syafi’i semalam, keadaan akan menjadi lebih rumit jika Budi atau Jokowi enggan mengalah.
“Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) mempunyai agenda sendiri, bukan? Inilah politik,” katanya dipetik kompas.com.
Sebelum ini DPR meluluskan Budi sebagai calon Ketua Polis Negara yang baru menggantikan Jeneral Sutarman.
Bagaimanapun, Komisi Pembanterasan Rasuah (KPK) mengumumkan bekas pegawai yang pernah berkhidmat dengan Megawati Sukarnoputri itu sedang disiasat kerana memiliki kekayaan luar biasa.
Polis bertindak balas dengan menangkap beberapa pegawai kanan KPK atas dakwaan jenayah.
Jokowi dijangka membuat keputusan akhir mengenai nasib Budi akhir bulan ini.
Menurut Syafi’i, Jokowi harus berani mengambil risiko.
“Yang paling penting ialah dia perlu membina komunikasi politik dengan lebih baik,” katanya. -Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 5:04 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/27042#sthash.JovJ9h5R.dpuf

Ular sawa gemar bermain lilit, jilat budak

Bulawayo, Zimbabwe: Biasanya ular adalah haiwan berbahaya dan mengancam nyawa namun kejadian menimpa penduduk Tshabalala dilaporkan amat pelik dan mengejutkan.
Menurut penduduk setempat, ada seekor ular yang gemar menghampiri kanak-kanak untuk dibelit dan dijilat sebelum menghilangkan diri ke dalam semak.
Insiden itu dilaporkan tersebar meluas di kalangan penduduk dan kebanyakan mereka mengesyaki ia ada kaitan dengan alam ghaib.
Menurut penduduk yang bimbang dengan kejadian itu, Abel Dube, seekor ular sawa menyasarkan mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak di kawasan kampungnya.
“Apa yang mengejutkan ia tidak menggigit mereka tetapi hanya membelit dan menjilat seluruh badan mereka sebelum melarikan diri.
“Kami menerima banyak laporan mengenai kejadian seumpama itu dan bimbang ia ada kaitan dengan amalan sihir,” katanya.
Untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini, penduduk setempat tidak lagi membenarkan anak mereka bermain di luar rumah. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 5:04 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/27044#sthash.8il0g2yA.dpuf

‘Terpakai tetapi elok’

London: Seorang ibu beranak dua mengambil tindakan drastik ‘menjual’ dirinya di eBay dengan harapan dapat menemui jejaka kacak warga Greece semata-mata mahu memenuhi impiannya tinggal di negara itu.
Lois Curtis, 49, meletakkan iklan menawarkan “wanita, bersaiz baju 10” dengan huraian mengenai dirinya sebagai “terpakai tetapi masih berkeadaan elok.”
Malangnya dia terpaksa menurunkan iklan itu selepas 24 jam selepas gagal mendapat lelaki idamannya, walaupun menerima dua tawaran termasuk yang tertinggi sebanyak £205 (RM1,100).
“Saya mahu hidup di Greece, memang itu impian sejak kecil. Jadi rakan saya Apostolos yang tinggal di sana mencadangkan saya membuat tawaran itu di eBay dan dia berjanji menyebarkannya memandangkan dia ramai kawan.
“Kami sengaja mahu melihat jika ada yang berminat jadi saya membiarkannya selama 24 jam, malah mendapat tawaran dari Australia serta Puerto Rico. ‘Kembang’ juga apabila tawaran diberikan jauh menjangkaui sangkaan saya.
“Malangnya, tiada sesiapa dari Greece yang menghubungi saya sedangkan itu yang diimpikan,” katanya.
Malah, katanya, dia masih mendapat tawaran walaupun iklan itu sudah diturunkan apabila kira-kira tujuh orang menghantar e-mel bertanya sama ada masih boleh membida.
Disebabkan itu, Lois tidak menolak kemungkinan akan membuat tawaran sama pada masa akan datang.
“Tetapi saya akan mengkhususkan tawaran hanya boleh dibuat dari Greece,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 5:05 AM


LOIS mengiklankan dirinya di eBay.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/27048#sthash.RKVDDVkz.dpuf

Jokowi enggan 
beri pengampunan


Gambar fail bertarikh 21 September 2010 merakamkan Andrew Chan
Gambar fail bertarikh 21 September 2010 merakamkan Andrew Chan warga Australia diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke mahkamah daerah Denpasar, Bali, Indonesia atas tuduhan menyeludup dadah. – AP
SYDNEY 28 Jan. – Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi enggan memberi pengampunan ke atas dua pesalah dadah warga Australia yang dijatuhi hukuman mati, satu tindakan yang dijangka mengeruhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara ber­kenaan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott memohon pengampunan secara peribadi bagi pihak dua anggota kumpulan Bali Nine yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Denpasar, Bali selepas mereka didapati bersalah cuba menyeludup lapan kilogram dadah jenis heroin ke Australia pada 2005.
Namun, Jokowi berikrar untuk meneruskan hukuman tersebut sebagai tindakan tegas Indonesia terhadap penyeludup dadah, selepas hukuman mati di republik ini dikuat kuasakan semula pada 2013.
“Bayangkan, setiap hari seramai 50 orang mati kerana dadah, dalam masa setahun seramai 18,000 orang maut kerana ketagihan (dadah).
“Kami tidak akan bertolak ansur terhadap pengedar dadah,” jelas Jokowi kepada agensi berita, CNN.
Abbott berkata, dua pesalah berkenaan, Myuran Sukumaran, 33, dan Andrew Chan, 31, menunjukkan sikap yang baik dan banyak membantu yang lain semasa ditahan di dalam penjara, serta me­negaskan bahawa Australia menentang hukuman mati.
Ketika ditanya tentang pengampunan kepada dua pesalah Australia terbabit, Jokowi hanya menggelengkan kepala.
Jokowi berkata, keputusan selanjutnya diserahkan kepada mah­kamah.
“Pesalah boleh memohon peng­ampunan kepada Presiden tetapi tiada pengampunan akan diberi kepada pengedar dadah,” jelasnya.
Setakat ini, tarikh pelaksanaan hukuman mati ke atas kedua-dua pesalah itu masih belum diketahui. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jokowi-enggan-8232-beri-pengampunan-1.53759#sthash.Z63mOZT4.dpuf

Perancis sifatkan penganut Islam mangsa keganasan


French Foreign Minister Laurent Fabius speaks during a press conference
Laurent Fabius
KUWAIT CITY 28 Jan. – Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius meminta supaya satu kerjasama antarabangsa dibentuk bagi memerangi fahaman pelampau, dan menegaskan bahawa penganut Islam merupakan mangsa pertama ‘keganasan’.
Beliau berkata, tidak ada mana-mana pihak berperang di atas nama agama.
“Apabila Kuwait dan Perancis memerangi keganasan, kami me­merangi mereka yang bukan sahaja penipu tetapi juga pembunuh.
“Penganut Islam menjadi mangsa pertama keganasan ber­kenaan,’’ katanya yang dalam rangka lawatan ke Kuwait, negara Islam pertama yang dilawatinya selepas serangan ke atas majalah mingguan Perancis, Charlie Hebdo di Paris pada bulan lepas.
Beliau menggesa dibentuk kerjasama antara­bangsa yang lebih kukuh untuk membendung fahaman pelampau.
Fablus berkata, Perancis melihat Islam sebagai agama bersifat sederhana dan menegaskan bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang aktiviti yang mengancam Islam atau penganutnya.
Sementara itu, Menteri Luar Kuwait, Sheikh Sabah Khaled al-Sabah berkata, Kuwait dan Perancis berkongsi padangan tentang keganasan dan mengulangi kecaman terhadap serangan ganas ke atas Perancis.
Sheikh Sabah memberi amaran keganasan adalah ancaman kepada semua pihak dan menggesa usaha lebih kuat dilaksanakan untuk menghentikan tajaan kepada kumpulan radikal dan tindakan merekrut anggota pelampau. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/perancis-sifatkan-penganut-islam-mangsa-keganasan-1.53757#sthash.sYGvS6dU.dpuf