Saturday, April 21, 2012

Sarawak paling ramai miskin tegar

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:


SUNGAI PETANI 20 April - Sarawak mempunyai penduduk bandar miskin tegar paling ramai berbanding negeri-negeri lain.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan berkata, berdasarkan semakan data e-Kasih sehingga 9 April lalu, negeri Bumi Kenyalang itu mencatatkan jumlah penduduk bandar miskin tegar seramai 3,672 orang, diikuti Sabah sebanyak 2,766 orang.
Beliau berkata, di Semenanjung Malaysia, Kelantan mempunyai penduduk bandar miskin tegar tertinggi iaitu seramai 1,649 orang sementara Selangor pula seramai 999 orang.
"Negeri-negeri lain jumlahnya tidak begitu ketara. Wilayah Persekutuan Putrajaya pula paling rendah kerana mempunyai hanya seorang ketua isi rumah yang miskin tegar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ziarah Kesejahteraan Bandar peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain dan Penyelaras DUN Bukit Selambau, M.L. Maran.
Saravanan berkata, bagi memastikan jumlah penduduk miskin di bandar berkurangan, kerajaan melalui kementerian telah memperkemaskan strategi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).
Katanya, antara langkah yang diambil adalah memberi fokus kepada usaha menambah pendapatan kepada keluarga miskin selain projek peningkatan kualiti hidup.
"Bantuan dan projek yang dilaksanakan mengambil kira aspek perumahan dan penjanaan pendapatan. Dalam hal ini, bantuan sewa rumah sebanyak RM1,488 sebulan diberikan kepada setiap keluarga miskin tegar yang menyewa di bandar," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM259,700 untuk 26 ketua isi rumah miskin tegar di kawasan DUN Bukit Selambau hari ini.
Katanya, jumlah tersebut meliputi bantuan bina rumah baru, baik pulih rumah, peralatan perniagaan, kesihatan dan bantuan makanan serta wang tunai.

'via Blog this'

Pelakon Rita Rudaini tuntut tunggakan nafkah

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:


KUALA LUMPUR 20 April - Pelakon Rita Rudaini, 36, yang sedang berhadapan dengan tuntutan perceraian oleh suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25, akan menuntut tunggakan nafkah yang dianggarkan berjumlah ratusan ribu ringgit.
Dalam sebutan kes perceraiannya di Mahkamah Syariah Petaling Jaya yang akan berlangsung pada 30 April ini, pelakon itu dikatakan bakal membuat tuntutan balas tersebut terhadap pemain bolasepak kebangsaan itu.
Utusan Malaysia difahamkan, dramatis popular itu akan membuat tuntutan untuk kesemua nafkah tertunggak selama empat tahun yang sebelum ini telah diabaikan oleh Aidil.
Ini termasuklah tuntutan nafkah sara hidup bagi dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Qaqa Arjuna , 1.
"Sepanjang pernikahan, Rita lebih banyak menanggung keluarga, Aidil hanya sekali sekala sahaja mengeluarkan belanja buat anak-anak dan isteri.
"Malah, selama ini, Rita tidak pernah tahu mengenai jumlah pendapatan suaminya walaupun sudah empat tahun mereka bernikah," jelas sumber kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, peguam Rita, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain mengesahkan sebutan kes tuntutan perceraian oleh Aidil itu akan disebut di Mahkamah Syariah Petaling Jaya pada tarikh tersebut.
"Perintah saman terhadap Rita supaya hadir ke mahkamah juga telah dihantar oleh peguam Aidil melalui saya pada Rabu lalu.
"Pihak kami juga telah menerima arahan daripada anak guam (Rita) untuk mengemukakan beberapa cadangan tentang hal-hal yang berkaitan selepas perceraian, bagaimanapun saya tidak boleh mengulas mengenainya kerana ia masih di peringkat draf.
"Tuntutan balas Rita akan dihantar kepada peguam Aidil sebelum tarikh sebutan," katanya.
Rita dan Aidil bernikah di Thailand pada 2008 setelah tidak mendapat persetujuan daripada keluarga pihak lelaki.
Meskipun diawal pernikahan pasangan ini sangat bahagia, bagaimanapun campur tangan pihak ketiga menyebabkan masalah semakin berlarutan sehinggalah Aidil membuat permohonan bagi menceraikan pelakon berkenaan baru-baru ini.

'via Blog this'