Tuesday, February 21, 2012

3 pemberontak maut, 3 renjer cedera di selatan Thai

BANGKOK - Tiga pemberontak maut dan tiga renjer cedera dalam pertempuran selama 30 minit di daerah Penarek, Pattani hari ini.

Ketua Polis Daerah Penarek Pol, Kol Manit Yimsai berkata, tujuh pemberontak menyerang sekumpulan renjer semasa anggota penguat kuasa itu menyediakan tempat pemeriksaan di Jalan Penarek-Saiburi di Kampung Naprau, Penarek pada 11 pagi.

Pemberontak yang terbunuh dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Cek Roslan Cek Umar, 27, manakala identiti dua lagi, kedua-duanya dipercayai berusia 25 tahun, masih belum diketahui. Pihak berkuasa menemui dua laras M-16 dekat mayat ketiga-tiga pemberontak itu.

"Kami telah dimaklumkan oleh laporan risikan bahawa mungkin akan berlaku serangan pemerontak terhadap ketua kampung di kawasan itu. Renjer berkenaan sudah membuat persediaan rapi untuk menghadapi keadaan itu dan berjaya membunuh tiga pemberontak," katanya.

Beliau berkata, empat lagi pemberontak sempat meloloskan diri dan pihak berkuasa sedang memburu mereka.

Kira-kira 5,000 orang terbunuh sejak anggota kumpulan pemisah menyambung semula perjuangan mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala, lapan tahun lepas. - Bernama


3 pemberontak maut, 3 renjer cedera di selatan Thai - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Hasan Ali mahu dedah video pasangan akui murtad

Hasan Ali

SHAH ALAM - Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) yang menjadikan Islam, Melayu dan Institusi Raja (IMR) sebagai teras perjuangannya akan mendedahkan satu rakaman video mengenai usaha memurtadkan orang Islam di Selangor.

Presidennya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, rakaman video khasitu merupakan pengakuan sepasang suami isteri yang pernah dimurtadkan dan kini telah kembali kepada Islam.

"Kita ada satu video khas mengenai mereka yang telah dibaptis iaitu rakaman daripada sepasang suami isteri yang dimurtadkan.

"Unit Selamatkan Akidah juga membantu usaha menyelamatkan akidah mereka," katabeliau pada sidang media selepas pelancaran Jati di Shah Alam Convention Center (SACC) di sini, hari ini.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor ini pernah beberapa kali menekankan isu murtad khususnya yang wujud di negeri itu.

Perkara itu pernah dibangkitkan oleh Hasan ketika berucap pad aHimpunan Sejuta Umat (Himpun) pada Oktober lalu tanpa menyatakan angka sebenar umat Islam yang telah murtad.

Kenyataan itu membawa kepada desakan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada November lalu agar Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan senarai nama-nama individu Islam yang didakwa telah murtad dan menyertai agama lain.

Asri beranggapan tindakan Hasan mendedahkan sejumlah besar umat Islam di negeri tersebut telah murtad seolah-olah mengaibkan agama kerana tidak melampirkan senarai penama yang telah memeluk agama lain.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu juga pernah mendakwa, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ada mengesan kegiatan di kalangan Kristian menggunakan alat-alat canggih seperti kitab Injil menggunakan kuasa solar untuk memurtadkan Muslim.

Dalam kenyataan bulan lalu, Hasan berkata, umat Islam yang dimurtadkan sendiri yang memberi maklumat berhubung wujudnya dakwaan mubaligh Kristian mendekati umat Islam melalui pemakaian jubah dan bersolat Zohor berjemaah sekali dengan mereka.

Beliau berkata, maklumat itu diperoleh dalam sesi pendengaran bawah Unit Selamatkan Akidah yang ditubuhnya sewaktu masih bertugas sebagai exco hal ehwal Islam.

Unit itu kini diuruskannya walaupun selepas dipecat dari jawatan itu.

Pas telah Hasan pada awal bulan lalu.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis pelancaran badan itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, usaha memperjuangkan bangsa dan negara merupakan satu jihad dan sebagai rakyat, menjadi kewajipan untuk mempertahankannya.

"Melayu dan raja tidak dapat dipisahkan. Jika kuasa raja ditarik, maka Melayu akan hilang di negara ini.

"Ada orang cakap, bila berkata mengenai Melayu, kita ialah seorang nasionalis... kita pertahankan bangsa kita, bukan taksub, dan wajib bagi kita untuk mempertahankan negara ini kerana ia memang milik orang Melayu," katanya.

Selain itu, sambil menahan sebak, Harussani berkata, "kedaulatan agama, bangsa dan raja perlu dikembalikan di negara kita sendiri agar tidak dihina dan pijak. Jangan sampai kita dipijak di negara sendiri," katanya.

Sehubungan itu, katanya, menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam untuk berjihad bagi mempertahankan agama ALLAH dan negara daripada sebarang serangan, ejekan atau hinaan.

Antara yang hadir ialah Pengasas Waris Malaya, Senator Ezam Mohd Nor.


Hasan Ali mahu dedah video pasangan akui murtad - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Enam bayi luar nikah lahir dalam sejam


MASHITAH beramah mesra dengan remaja yang mendiami Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh di Subang Jaya semalam.


SUBANG JAYA - Purata enam bayi hasil perhubungan luar nikah lahir di negara ini bagi setiap sejam hasil perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam tempoh tiga tahun mulai 2008.

Perkara itu yang didedahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim turut menunjukkan seramai 152,182 bayi tidak sah taraf telah didaftar di JPN pada 2008 hingga 2010.

“Itu angka yang didaftarkan, mungkin ramai lagi bayi yang tidak didaftarkan kita tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh di sini semalam.

Turut hadir ialah Yang Dipertua rumah kebajikan itu, Juhaidi Yean Abdullah.

Kata Mashitah lagi, purata dalam setahun seramai 50,727 bayi tidak sah taraf dilahirkan manakala dalam sebulan seramai 4,227 dan sehari adalah 141 bayi.

“Dalam hal ini ibu, bapa perlu memainkan peranan mereka supaya anak-anak yang mengandung anak luar nikah tidak melakukan tindakan sehingga membuang bayi mereka.

“Ada tempat perlindungan seperti di Baitul Fiqh ini yang boleh membantu, anak-anak mereka kembali ke pangkal jalan dan membantu meneruskan kehidupan seterusnya,” ujarnya.



Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Zaid:Tubuh suruhanjaya siasat dana RM750b hilang

SHAH ALAM - Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Datuk Zaid Ibrahim menyarankan agar satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk mengenal pasti jumlah dana kerajaan yang telah "diambil" secara tidak sah.


Menulis di blognya dengan menyentuh pemberian bantuan wang rakyat RM500, Zaid berkata, kerajaan sewajarnya menyerahkan kesemua wang milik rakyat, bukan hanya setakat RM500 kepada kumpula tertentu, yang mula dibayar sejak bulan lalu.

Pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2012 Oktober lalu.

"Kepada PM masa depan, apa yang boleh saya katakan ialah jika anda mahu memulangkan wang kepada rakyat, pulangkan kesemuanya dan bukan hanya RM500.

"Biarkan kita mendapat balik RM750 bilion yang penyangak mencuri sepanjang 20 tahun lalu. Saya akan membuat bayaran RM100,000 bagi setiap keluarga dan kami akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang," kata beliau.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini menambah, beliau pasti kerajaan mempertikaikan angka-angka yang diketengahkannya.

Oleh itu katanya, satu suruhanjaya bebas harus dibentuk bagi mengenal pasti jumlah wang yang telah hilang dari perbendaharaan negara.

"Jadi, mengapa tidak kita mengadakan suruhanjaya bebas untuk menentukan berapa banyak yang telah diambil secara tidak sah," katanya lagi.

"Bukan sahaja suruhanjaya tidak akan dibentuk, tetapi saya membuat gesaan ini jika sesetengah hero BN mahu menyahut tawaran saya untuk mengadakan debat awam mengenai berapa banyak wang telah hilang ekoran rasuah dan salah guna kuasa," katanya lagi.

Ada pihak mendakwa BR1M bertujuan memancing undi dalam pilihan raya umum akan datang. Bagaimanapun pemimpin BN telah menafikan perkara tersebut.

Dalam tulisannya, Zaid juga berkata, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu perlu bersabar beberapa bulan lagi.

"Saya tahu kehidupan (sekarang) sukar dan harga makanan telah melambung tinggi, jadi ambillah RM500, tetapi jangan jual nilai diri anda. Hang Jebat tidak kecewa jika anda melakukannya," katanya lagi.


Zaid:Tubuh suruhanjaya siasat dana RM750b hilang - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Produk halal: Usah percaya e-mel berantai

Logo Halal

PUTRAJAYA - Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak terlalu mempercayai e-mel berantai yang mendakwa satu-satu produk itu tidak halal kerana dipercayai mengandungi unsur babi dan bahan haram.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, sebaiknya jika menerima e-mel berkenaan, individu itu perlu terlebih dahulu merujuk kepada Jakim untuk menentukan kesahihannya.

Ini kerana katanya, ada sebahagian e-mel itu sengaja disebarkan pihak tertentu yang berniat jahat untuk menjatuhkan perniagaan orang lain terutama pesaing.“Kemungkinan begini boleh berlaku memandangkan senario persaingan dunia perniagaan sekarang,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam hubungan ini, Jakim mempunyai Portal Halal Malaysia - www.halal.gov.my yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan pensijilan halal Malaysia.

Portal Halal Malaysia yang dilancarkan pada 2007 bertindak sebagai pusat sehenti dengan dilengkapi ruangan info halal, direktori halal, kemudahan aduan dan capaian ke atas sistem permohonan sijil halal.

Contohnya, di bawah ruangan Direktori Halal, orang ramai boleh menye­mak maklumat yang dikeluarkan sama ada untuk produk gunaan, premis makanan atau pusat sembelih.

Kemudahan carian halal adalah berdasarkan kod bar, diskripsi produk dan nama syarikat yang telah diberikan sijil halal.Pun begitu, budaya merujuk sumber di Internet terutama berkaitan maklumat seumpama ini di kalangan masyarakat masih rendah.

Menurut Othman, Jakim tidak pernah membuat pengesahan terhadap sesuatu produk itu haram dimakan atau digunakan berdasarkan spekulasi, tetapi membuat­ kajian secara terperinci terlebih dahulu sebalum diumumkan keputusannya.

Othman turut mengulas mengenai permasalahan pengguna berhubung isu penggunaan beberapa kod nombor E yang didakwa sebagai tanda haram.Beliau menjelaskan, tidak semua nombor E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan berasaskan daripada sumber yang haram kerana bahan-bahan aditif ini boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semulajadi, kimia dan haiwan.

“Pengguna mesti peka mengenai jenis aditif makanan dan tahap kandungan yang dibenarkan untuk digunakan dalam sesuatu produk makanan. Pihak industri makanan dan barang gunaan bertanggungjawab untuk mengenal pasti status sumber aditif makanan yang digunakan supaya tidak akan menimbulkan keraguan kepada pengguna Islam.

“Manakala bahagian Hab Halal akan memastikan syarikat yang memohon sijil halal wajib mengisytiharkan kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan berserta dokumen yang kukuh seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya produk tersebut merupakan produk tempatan dan mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia, maka ia boleh digunakan tanpa waswas tetapi sekiranya produk tersebut bukan produk tempatan serta tidak mendapat sijil pengesahan halal Malaysia walaupun menggunakan e-kod yang sama, terpulang kepada pengguna untuk menilainya.

Katanya, Jakim tidak akan terlepas pandang kerana dalam proses pensijilan halal, pemohon perlu mengisytiharkan kesemua bahan ramuan digunakan dan akan melalui proses verifikasi dokumen dan seterusnya pengauditan di lapangan.

“Buat masa ini, Jakim mengiktiraf 56 badan Islam daripada 23 negara yang mengeluarkan sijil halal. Oleh itu Jakim hanya membenarkan logo halal Malaysia atau logo diiktiraf sahaja dibenarkan dijual di pasaran Malaysia.

“Jakim juga menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan logo halal bersama agensi seperti Jain, KPDNKK, Kementerian Kesihatan, JPV, Kastam dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan tiada penipuan bahan ramuan dan logo halal. Bahkan Jakim membuat pemantauan logo halal melalui lama sosial facebook, email dan SMS palsu,” katanya.

eliau berkata, apa juga produk sama ada makanan dan sebagainya apabila sudah disahkan atau dicop logo halal Malaysia maka ia adalah suci dan halal serta tidak ada keraguan lagi.


Produk halal: Usah percaya e-mel berantai - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'