Showing posts with label faizal yusuf. Show all posts
Showing posts with label faizal yusuf. Show all posts

Sunday, January 2, 2011

'Arwah senyum lihat anak'

Berita Harian Online | 'Arwah senyum lihat anak'


Oleh Zul Husni Abdul Hamid
edisimingguan@bharian.com.my
2011/01/02


  • Foto
    PELAKON, Abby Abadi antara artis melawat keluarga arwah Faizal di PUSRAWI, semalam.
  • Foto
    GAMBAR kenangan Faizal bersama anaknya, Muhammad Rayyan.
  • Foto
Pelakon sempat jumpa bekas isteri sebelum meninggal

KUALA LUMPUR: Pelakon, Faizal Yusup, 33, begitu ceria ketika keluar menikmati ikan bakar bersama keluarganya selepas tamat penggambaran drama bersiri, Tiramisu, pada malam menjelang tahun baru, kelmarin.
Keceriaan itu bagaimanapun, berakhir pada jam 1.45 tengah hari semalam, apabila bekas suami penyanyi, Siti Nordiana Alias atau Nana itu menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pusrawi, Jalan Tun Razak, di sini kerana serangan jantung.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rosmunira Rashid, 27, yang hamil lima bulan serta seorang anak lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie, 3, hasil perkahwinan dengan Nana.

Abang Faizal, Shaiful Yusup, 35, berkata Allahyarham mengadu sakit dada sekitar jam 9 pagi sebelum rebah di tandas rumahnya di Sentul dengan mulut berbuih.

“Saya bergegas membawanya ke hospital. Dalam perjalanan arwah nampak tenang dan sempat berpesan menghubungi bekas isterinya, Nana kerana mahu melihat Rayyan.

“Tetapi, selepas itu keadaan kesihatan Faizal makin lemah dan pada jam 1.45 tengah hari, dia menghembuskan nafas terakhirnya.
“Pemergian Faizal agak mengejutkan kerana arwah tidak pernah mengadu sakit. Malam tadi (kelmarin), arwah begitu gembira membawa kami sekeluarga makan ikan bakar,” katanya.

Jenazah pelakon yang popular dengan drama bersiri, Adamaya, Manjalara dan Tiramisu itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Batu Caves, jam 10 pagi ini.

Sementara itu, Nana yang turut berada di hospital berkata, dia merasai keanehan ketika arwah menghubungi anak mereka dua minggu lalu.

“Berulang kali dia berpesan kepada Rayyan supaya menjaga Nana dengan baik dan tidak menyusahkan hati Nana,” kata Nana yang berpisah dengan Faizal pada 14 September 2009.

Nana berkata, Faizal ada menghubunginya beberapa kali malam kelmarin kerana mahu berbual dengan Rayyan tetapi anaknya itu berada di kampungnya di Sendayan, Negeri Sembilan.

“Pagi tadi, adik Faizal menelefon meminta Nana membawa Rayyan ke hospital. Arwah cuma tersenyum melihat Rayyan dan Nana.

“Nana dalam perjalanan pulang apabila mendapat tahu Faizal semakin lemah sebelum meninggal dunia,” katanya.

Saturday, January 1, 2011

Pelakon Faizal Yusof meninggal dunia akibat serangan jantung- Al-fatihah








2011/01/01

KUALA LUMPUR: Pelakon Faizal Yusof meninggal dunia kira-kira jam 1.45 tengah hari ini di Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI), Jalan Tun Razak, di sini akibat serangan jantung. 

Faizal, 32, dikatakan pengsan di rumahnya di Anjung Villa Bandar Baru Sentul di sini kira-kira jam 9 pagi, akibat serangan jantung sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Faizal dikenali kerana lakonannya dalam beberapa drama bersiri di televisyen seperti Tiramisu dan Manjalara.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rosmunira Rashid, 27, yang sedang mengandung lima bulan. 

Allahyarham pernah berkahwin sebelum bercerai dengan penyanyi Siti Nordiana dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd Rayyan Nakhaie, 2 tahun sembilan bulan. 

Abang pelakon itu Shaiful Yusof, 34, yang ditemui di Tingkat 3, Unit Rawatan Rapi (ICU) PUSRAWI, berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Muda, Batu Caves jam 10 pagi esok. 

Antara artis yang dilihat menziarah jenazah Allahyarham di hospital ialah pelakon Abby Abadi, Sharifah Amani, Liyana Jasmay, Amyza Adnan dan Pierre Andre. 
Sementara itu Abby Abadi yang ditemui, berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan Faizal adalah bulan lepas ketika mereka bermain futsal di Bukit Jalil. 

"Dia seorang yang amat kelakar dan terkenal dengan sikap gila-gila dia. Ramai-ramai kawan yang pergi, dialah yang paling saya terasa kehilangannya," katanya yang pernah berlakon bersama Allahyarham dalam drama Manjalara di TV3. - BERNAMA 
-bharian