Terbaharu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar segera mengarahkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) mengambil tindakan terhadap Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan kartunis Zulkifli Anwar Ulhaque atau Zunar yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
Khalid dalam laman Twitternya hari ini menyifatkan tindakan itu seolah-olah Kor Ming sengaja mahu tindakan undang-undang diambil terhadapnya.
“Orang di bawah (Khor Ming) ini sengaja mengundang tindakan @PDRMalaysia. Kita akan ambil tindakan di bawah Akta Hasutan,” katanya.
Kor Ming di dalam laman Twitternya mengajak rakyat agar menentang rejim zalim selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun berkuat kuasa hari ini terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Dalam pada itu, Khalid juga mengeluarkan arahan sama terhadap kartunis Zunar berhubung kenyataannya di Twitter yang berbaur hasutan dan menghina sistem kehakiman negara.