Thursday, November 15, 2012

| Israel ancam guling Mahmoud


BAITULMAQDIS: Kementerian Luar Israel mengemukakan cadangan untuk menggulingkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas sekiranya usaha Palestin untuk mendapatkan status negara pemerhati di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diluluskan hujung bulan ini.
“Menggulingkan kerajaan Abu Mazen (Mahmoud) adalah satu-satunya pilihan dalam kes ini.

“Pilihan lain akan bermakna mengangkat bendera putih dan mengaku kegagalan kepimpinan Israel dalam menangani cabaran itu,” kata kementerian berkenaan dalam satu kertas dasar.
Kertas dasar itu ialah rangka dokumen yang dijangka diluluskan oleh Menteri Luar, Avigdor Lieberman.

Dia kemudian akan menyerahkannya kepada pegawai yang bertanggungjawab merancang tindak balas rejim berkenaan terhadap usaha Palestin itu.

Lieberman sebelum ini menyuarakan pendapatnya bahawa Pihak Berkuasa Palestin yang diketuai Mahmoud perlu dibubarkan sekiranya usaha di PBB itu berjaya.
Pihak Berkuasa Palestin dijangka mengemukakan cadangan untuk mendapatkan status negara pemerhati di Perhimpunan Agung pada 29 November ini, meskipun dibantah oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Usaha itu dilakukan kira-kira setahun selepas cubaan Palestin untuk menjadi anggota penuh PBB gagal kerana diveto oleh Amerika Syarikat.
Namun, usaha untuk meningkatkan status keanggotaannya menerusi Perhimpunan Agung, dari anggota bukan negara, dijangka berjaya dengan mudah.

Ia bagaimanapun akan mendorong tindak balas keras daripada rejim Zionis.

Kertas dasar yang disediakan kementerian berkenaan memberi amaran, Israel ‘perlu mendapatkan harga yang tinggi daripada Mahmpud’ dan menerima status pemerhati di PBB akan dianggap ‘melintasi garisan merah.’ Stesen televisyen Channel 10 Israel melaporkan 5 November lalu, Lieberman menyokong pembubaran Pihak Berkuasa Palestin ketika berunding dengan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Catherine Ashton.

“Jika Palestin pergi ke Perhimpunan Agung PBB dengan usaha baru, mereka perlu sedar bahawa mereka akan menjadi sasaran tindakan teruk daripada Israel dan Amerika Syarikat.

“Jika Palestin meneruskan usaha itu, bermakna mereka memusnahkan sama sekali peluang rundingan damai. Saya akan memastikan Pihak Berkuasa Palestin musnah,” lapor stesen berkenaan, memetik kenyataan Menteri Luar itu. - AFP

Lima suspek pengedar dadah ditahan


JAKARTA: Agensi AntiNarkotik Indonesia menahan lima orang kerana disyaki mengedar 2.6 kilogram kristal methamphetamine (syabu) dan wang palsu di sini, semalam.
Timbalan Pembasmian BNN, Brigadier Jeneral Benny Mamoto berkata, agensi itu pada mulanya menangkap seorang wanita yang dikenali sebagai AC yang menyorokkan dadah itu dalam bantal guling dan diserahkan kepada seseorang yang dikenali sebagai BD di dalam sebuah teksi di Sarinah Thamrin, Jakarta Tengah.

Menurut Benny, berdasarkan maklumat diberi oleh AC, BNN menahan dua suspek yang bakal menerima syabu, seorang dikenali sebagai M dan seorang rakyat Afrika dikenali sebagai NL, di Manggarai, Jakarta Selatan.
Anggota BNN terpaksa menembak NL di kaki kerana cuba melarikan diri. Seorang lagi suspek, suami AC, bekas pemain bola sepak dari Cameroon, ditangkap di apartmen Mediterania Garden di Jakarta Barat, katanya. - Jakarta Post

Bayi ditemui di tempat buang sampah hospital


BANDAR SERI BEGAWAN: Bayi perempuan, dipercayai berusia tiga atau empat hari ditemui masih hidup di tempat pembuangan sampah dekat stesen elektrik hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), semalam.
Polis Diraja Brunei berkata, mereka menerima panggilan pada jam 9.23 malam mengenai bayi yang ditinggal dalam kotak di tempat buang sampah itu. - BT

Lelaki menyamar ejen hartanah ditahan


SINGAPURA: Majlis Agensi Hartanah (CEA) memfailkan dakwaan terhadap seorang lelaki menyamar sebagai ejen hartanah.
Menurut CEA, Lum Chap Heng, 59, menyamar sebagai ejen hartanah tanpa mendaftar dengan CEA. Ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Ejen Hartanah.

Dari Jun hingga Julai 2011, Lum dikatakan menyebarkan risalah yang memaparkan nombor telefon bimbit di papan notis dan dinding blok HDB dan di sekitar kawasan Jurong West dengan mengiklankan mencari pemilik rumah dan penyewa.
Dia juga dikatakan mewakili pemilik flat mencari penyewa. Lum turut berbincang urus niaga secara langsung dan mengaturkan untuk melihat flat, kata CEA. - ST

Jeneral boros turun pangkat

WASHINGTON: Seorang jeneral empat bintang yang mengetuai Pusat Pemerintah AS Afrika diturunkan pangkat atas beberapa dakwaan membelanjakan ratusan ribu dolar untuk perjalanan mewah, kata pegawai Pantagon, semalam.
Setiausaha Pertahanan, Leon Panetta, melucutkan pangkat Jeneral Wiliam “Kip” Ward dan meminta beliau membayar kembali AS$82,000 (RM250,900) kerana menggunakan wang perjalanan Pentagon secara tidak wajar, kata pegawai yang mahu namanya dirahsiakan. Jeneral empat bintang itu akan “pencen dengan pangkat leftenan jeneral” iaitu jawatan tiga bintang, kata Pegawai Kanan Pertahanan. Laporan Ketua Merinyu Jabatan Pertahanan Jun lalu melaporkan, perbelanjaan perjalanan berlebihan itu termasuk menerbangkan isteri Ward untuk urusan perniagaan yang panjang.

Satu lagi perbelanjaan di Bermuda, termasuk menyewa suite hotel AS$747 (RM2,287) semalam di Fairmont Hamilton Princess. Isterinya juga dikatakan menggunakan kenderaan berperisai tanpa kebenaran.
Ward, komander AFRICOM pertama bertugas di Stuttgart, pada 2007-2011 menafikan dakwaan berkenaan. Dia kini bertugas sebagai Pembantu Khas Timbalan Ketua Turus Tentera AS.

Laporan Ketua Merinyu itu mendapati Ward pergi ke Washington dan Atlanta selama 11 hari bersama sekumpulan anggota tentera dengan kos AS$129,000 (RM394,795) di mana hanya tiga hari sepanjang perjalanan itu adalah atas tugas rasmi. Sebab utama perjalanan itu adalah hal peribadi.

Isteri Ward turut terbang dengan pesawat tentera untuk 52 daripada 79 perjalanan. Laporan itu turut menyatakan Ward melanjutkan perjalanan tujuh kali atas sebab peribadi di mana wang pembelanjaan perjalanan dibayar kembali kepadanya. - AFP

Komander kanan AS 'mangsa' baru skandal bekas ketua CIA?


David Petraeus
David Petraeus, orang kanan yang mengetuai agensi risikan terbesar Amerika Syarikat, meletakkan jawatan sebagai Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA)
WASHINGTON – Skandal yang membawa kepada peletakan jawatan  David Petraeus sebagai Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) minggu lalu, kini turut menggoyah kedudukan seorang komander kanan angkatan tentera negara itu.

Pegawai itu kini menjadi sasaran siasatan pihak berkuasa.

Jeneral John Allen disiasat oleh Jabatan Petahanan kerana dipercayai menghantar satu e-mel yang tidak sesuai kepada Jill Kelley, wanita yang membuat aduan berhubung e-mel berbaur aib daripada kekasih David Petraeus.

Sehubungan itu, Presiden Barack Obama turut mengarahkan pencalonan Allen untuk menjadi komander tertinggi Nato ditangguhkan sementara menunggu hasil siasatan.

Obama diberi taklimat mengenai isu itu semalam, lapor CNN.

Menurut Jabatan Pertahanan, beliau akan kekal dengan jawatannya sebagai Komander AS dan tentera bersekutu Afganistan sementara menunggu pengesahan Senat.

Seorang pegawai kanan Jabatan Pertahanan turut berkata Allen menafikan sebarang salah laku.

Siasatan turut memanggil beberapa orang yang lain bagi membantu siasatan dan persoalan yang ditimbulkan pegawai Kongres. Kongres tidak diberitahu lebih awal berhubung siasatan FBI yang membongkar skandal melibatkan Petraeus dan Broadwell.

Skandal Petraeus ini turut dibimbangi boleh mengancam keselamatan negara termasuk wujud kebimbangan kekasihnya itu mampu mengakses data-data penting negara dalam komputer peribadinya.

Petraeus merupakan orang kanan yang mengetuai agensi risikan terbesar AS,  meletakkan jawatan sebagai CIA Jumaat lalu  atas alasan menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita, yang didakwa sebelum ini menulis buku tentang dirinya.

Kubur Arafat mula digali, ambil masa 2 minggu


Arafat meninggal akibat diracun
Yasser Arafat
RAMALLAH - Kerja-kerja menggali kubur bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat yang meninggal dunia pada 2004 bermula semalam bagi membantu siasatan mengenal pasti punca sebenar kematian Allahyarham.

Kubur bekas pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) itu digali semula bagi membuka siasatan kematiannya, yang disyaki dibunuh susulan penemuan bahan radioaktif yang tinggi pada beberapa barang peribadinya.

Kerja-kerja menggali semalam bermula dengan menyingkirkan kaca dan batu nisan marmar, yang akan mengambil masa kira-kira dua minggu kerana proses itu harus dilakukan dengan teliti menggunakan tangan.

Siasatan bermula selepas balunya, Suha Arafat membuat aduan rasmi berhubung kematian suaminya.

Presiden Mahmoud Abbas kemudian meluluskan proses penggalian kubur  yang terletak di Ramallah, Palestin.

Arafat meninggal dunia pada usia 75 tahun di hospital tentera di Paris selepas mengalami pendarahan otak sehingga mengakibatkan beliau koma.

Sebelum hari kematiannya, pegawai Palestin berkata, bekas pemimpin itu mengalami gangguan darah dan masalah pencernaan.

Awal bulan ini, Pihak Berkuasa Palestion A memberitahu bahawa proses penggalian semula kubur bekas pemimpin itu akan dilakukan secara tertutup.

Serangan udara Israel bunuh ketua tentera Hamas

TEL AVIV - Ketua sayap tentera kumpulan Islamis Hamas Palestin, Ahmed Said Khalil al-Jabari terbunuh dalam satu serangan udara Israel di Gaza, semalam.

Beliau dan seorang pegawai kanan Hamas turut terbunuh apabila kereta yang mereka naiki dibedil melalui serangan udara.

Satu siri serangan udara kini sedang dilancarkan di seluruh Gaza.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata mereka kini sedang melancarkan operasi serangan terhdap Hamas, pejuang Jihad Islam dan lain-lain kumpulan militan yang lain.

Kebelakangan ini, pegawai-pegawai Israel tekad untuk membunuh dan menyerang pemimpin-pemimpin kanan Hamas.

Pasukan Keselamatn Israel, Shit Bet mengesahkan yang mereka bertanggungjawab ke atas segala aktiviti keganasan.

“Ahmed Said selama ini juga antara orang yang bertanggungjawab membiayai dan memberi arahan operasi tentera mereka bagi menyerang Israel. Jadi dengan pembunuhan beliau, kami mahu memberi amaran kepada pegawai Hamas yang lain jika mereka melakukan keganasan kepada Israel, mereka juga akan turut diserang,” katanya.

Jurucakap Hamas, Taher Anunu memberitahu pemberita, keganasan yang dilakukan oleh Israel ini merupakan jenayah yang cukup kejam dan bakal memberi kesan jangka panjang.

"Kerajaan Palestin akan memanggil mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah kejam ini dan rakyat Palestin sendiri mempunyai hak untuk bertindak balas,” katanya.

Timbul juga kebimbangan yang serangan itu akan menimbulkan lagi perang ke kawasan sekitar.

Askar Pakistan dihukum gantung sampai mati, pertama sejak 2008

ISLAMABAD - Seorang askar Pakistan didapati bersalah kerana membunuh dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati empat tahun lalu, menjadi lelaki pertama menjalani hukuman itu sejak 2008.

Muhammed Hussain dikutuk habis-habisan kerana membunuh pegawai kanannya pada 2008.

Beliau menjalani hukuman gantung awal pagi tadi di penjara wilayah Punjab.

Beliau pernah merayu hukuman dikurangkan tetapi rayuannya telah ditolak.

Media mengatakan wujudnya moratorium tidak rasmi terhadap hukuman seperti itu sejak Parti Rakyat Pakistan memerintah negara sejak tahun 2008.

Pengamal media turut keliru bagaimana Hussein boleh dikecualikan dengan peraturan sedia ada tetapi ramai yang membuat kesimpulan mungkin kerana beliau dibicarakan oleh mahkamah tentera dan hukuman dapat dilewatkan.

Media menjangkakan kira-kira 8,000 orang warga Pakistan terpaksa berhadapan dengan hukuman tersebut dan kumpulan hak asasi manusia mendakwa negara itu mempunyai banduan yang dijatuhi hukuman mati paling ramai di dunia.

Turki beri amaran jika Syria ceroboh sempadan

video amatur
Gambar diperoleh dari video amatur ini menunjukkan kawasan bandar Ras al-Ayn yang dibedil dalam serangan udara, kelmarin. Foto: AP
CEYLANPINAR - Turki, semalam, memberi amaran bahawa angkatan tentera mereka akan melancarkan serangan balas jika mana-mana pesawat Syria dikesan mencerobohi ruang udara negara itu.

Menteri Pertahanan Turki, Ismet Yilmaz berkata, mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakan tindakan ketenteraan ke atas Syria jika negara tersebut melanggar sempadan.

Amaran keras itu disuarakan selepas kerajaan khuatir konflik tercetus antara tentera rejim Presiden Bashar al-Assad dan kumpulan pemberontak merebak ke barat Ceylanpinar yang bersempadan dengan bandar Ras al-Ayn di Syria.

"Serangan udara dilancarkan sejak beberapa hari lalu di bandar Ras al-Ayn menyebabkan kira-kira 1,000 penduduk kampung berhampiran terpaksa dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga," jelasnya lagi.

Sehingga kini lebih 36,000 dilaporkan terkorban sejak kebangkitan menentang rejim Assad pada Mac tahun lalu manakala ratusan ribu penduduk negara itu terpaksa melarikan diri ke beberapa negara jiran untuk mendapatkan perlindungan.  - AP

Akibat hukuman penjara, Menteri Ekonomi Croatia letak jawatan


BUDAPEST: Menteri Ekonomi Croatia, Radimir Cacic meletakkan jawatan selepas dihukum penjara kerana menyebabkan dua orang mati dan dua cedera dalam kemalangan ngeri di Hungary pada 2010.

Cacic yang baru memegang jawatan tidak sampai setahun boleh diberi parol selepas
menjalani hukuman penjara selama 22 bulan. Berikutan hukuman berkenaan, Cacic meletakkan semua jawatannya termasuk dilantik Timbalan Perdana Menteri pada Disember lalu dalam Kabinet negara berkenaan yang diketuai Perdana Menteri, Zoran Milanovic. - AP

Rekod cukai anak Presiden disiasat



 
Seoul: Pendakwa raya Korea Selatan berkata semalam mereka akan merujuk anak tunggal lelaki Presiden Lee Myung-Bak kepada pihak berkuasa cukai ketika menyerahkan pendakwaan berhubung satu perjanjian jual beli tanah untuk rumah persaraan Lee.

Walaupun Lee Si-Hyung bukan di kalangan tiga orang yang didakwa, pendakwa raya berkata rekod cukainya akan diperiksa untuk kemungkinan mengelak cukai hadiah terhadap bantuan kewangan yang diterimanya daripada anggota keluarga untuk membantu membeli sebuah tapak rumah.
Lee Si-Hyung diisytiharkan bebas daripada disyaki melanggar undang-undang hartanah, kata pendakwa raya khas Lee Kwang-Bum kepada media.

Namun kami memutuskan untuk menyerahkan dokumen kepada Perkhidmatan Cukai Negara berikutan disyaki mengelak cukai hadiah, katanya.

Mereka yang dituduh didakwa atas pelbagai kesalahan pecah amanah berkaitan
jual beli tanah termasuk bekas ketua perkhidmatan keselamatan presiden, Kim In-Jong.

Pendakwaan itu diikuti siasatan selama sebulan oleh pendakwa raya khas terhadap dakwaan penyelewengan dalam pembelian tanah di pinggir selatan ibu kota ini.
Ia bakal digunakan untuk membina sebuah rumah persaraan buat Lee, yang akan melepaskan jawatannya Februari depan selepas berkhidmat selama lima tahun, yang dibenarkan mengikut perlembagaan.

Lot tanah itu dibeli secara bersama oleh anak lelaki presiden Si-Hyung dan perkhidmatan keselamatan presiden, yang mungkin menempatkan ejennya di tapak untuk melindungi bekas pemimpin itu.

Namun pendakwa raya berkata kos itu tidak dibahagikan dengan adil, dengan perkhidmatan keselamatan membayar harga terlalu tinggi daripada dana awam untuk perkongsiannya sementara anak lelaki Lee mendapat kadar di bawah pasaran untuk plot kediaman itu.
AFP

Lelaki iras Arafat



Ramallah: Berpakaian seragam tentera, Salim Smairat, 59, seorang penjual buah dan sayuran di bandar Tebing Barat di sini, berjalan keluar dari rumahnya yang gelap kerana ketiadaan elektrik dan air.

Selepas berhati-hati membetulkan Keffiyeh berwarna hitam-putih, simbol pemimpin bersejarah Palestin Yasser Arafat, beliau pergi bersiar-siar di jalan di Tebing Barat.
Smairat, yang mempunyai wajah benar-benar menyerupai Arafat, mengejutkan ramai pelancong dan penduduk tempatan.

Sejak 2004, tahun ketika Arafat meninggal dunia dalam keadaan misteri, Smairat muncul di jalanan di bandar Tebing Barat sebagai peniru Arafat.

Dari rumah saya yang gelap, saya pergi berjumpa penduduk. Saya merasakan kecintaan mereka terhadap Arafat menerusi saya. Mereka amat menghormati saya, kata Smairat kepada Xinhua.

Peniaga Palestin itu menjadi seorang individu terkenal. Ketika beliau meninjau di seluruh jalanan di sini, Smairat gembira dengan nama barunya Abu Ammar, panggilan timang-timangan Arafat.

Smairat mula memakai Kaffiyeh pada 11 November 2004, apabila Arafat meninggal dunia secara misteri di sebuah hospital tentera berhampiran Paris, Perancis.
Kini saya boleh memakai kaffiyeh tanpa melihat cermin, katanya dengan bangga.

Ramai rakyat Palestin menganggap Arafat seorang pemimpin sukar dicari ganti dan merindui era pemerintahannya ketika berdepan kebuntuan politik terkini dan krisis kewangan.

Punca kematian pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) itu masih menjadi misteri.

Julai lalu stesen Al Jazeera melaporkan bahawa ujian oleh Institut Fizik Radiasi Universiti Lausanne di Switzerland menemui bahan polonium pada barang kepunyaan Arafat, sekali gus memberi isyarat bahawa Arafat meninggal dunia akibat diracun.

Pada 9 Julai lalu, Presiden Mahmoud Abbas membenarkan permohonan isteri Arafat untuk menggali kubur suaminya supaya ujian lanjut dijalankan.
Agensi

Lakaran asal watak Joker dilelong







GAMBAR menunjukkan lakaran awal watak Joker di akhbar New York Post pada 1980.





PHILADELPHIA - Lakaran gambaran asal wajah Joker dalam file2m Batman yang dibuat oleh penerbit filem, Michael Uslan dilelong sejak Isnin lalu sehingga 3 Disember depan di laman ComicConnect.com.


Lakaran itu disiarkan akhbar New York Post pada 1980.


Uslan menggunakan pen berwarna merah dan penanda hitam serta pemadam pen berwarna putih untuk melakar watak Joker pada muka aktor Jack Nicholson.


Dia mengubah suai wajah Nicholson yang disiarkan akhbar tersebut daripada satu adegan filem The Shining.


Sebelum membuat lakaran itu, dia telah berjaya memperoleh hak untuk menghasilkan filem Batmanpada 1979.


Bagaimanapun, ketika itu, dia belum memperoleh idea untuk menghasilkan wajah Joker.


Joker merupakan watak jahat dalam filem tersebut.


Apabila melihat gambar Nicholson di akhbar tersebut, dia kemudian mendapat idea untuk membuat lakaran pada wajah pelakon itu sekali gus menghasilkan watak Joker.


Nicholson pernah melakonkan watak itu.


Pelakon mendiang Heath Ledger juga pernah memegang watak Joker dalam siri Batman berjudul The Dark Knight. - Agensi

Lelaki berwajah harimau ditemui mati







AVNER ditemui mati di rumahnya di Tonopah, Amerika Syarikat pada 5 November lalu.






TONOPAH, Nevada - Seorang lelaki yang melakukan beberapa pembedahan muka selama beberapa tahun supaya wajahnya kelihatan mirip harimau betina ditemui mati di rumahnya di sini, lapor beberapa buah akhbar kelmarin.


Lelaki itu, Dennis Avner yang merupakan bekas anggota Tentera Laut Amerika Syarikat ditemui mati pada 5 November lalu.


Menurut portal berita The Huffington Post, Pejabat Syerif Daerah Nye mengesahkan kematiannya tetapi enggan memberikan maklumat lebih lanjut.


Punca kematiannya masih belum didedahkan tetapi terdapat spekulasi bahawa dia mungkin membunuh dirinya.


Seorang rakan Avner, Shannon Larratt menyatakan dalam laman blognya, Avner menghadapi pergolakan dalam kehidupan dan cuba membunuh dirinya ketika berusia 54 tahun baru-baru ini.


Lelaki itu melakukan pembedahan termasuk di bibir atas, telinga, menanam silikon pada pipi dan dahi, menajamkan gigi, mencacah tatu serta bertindik.


Dia merupakan penduduk suku kaum Red Indian.


"Saya merupakan seorang Huron (suku kaum Red Indian) dan mengikut tradisi lama yang mengubah diri untuk menjadi seekor harimau," kata Avner di laman webnya. - Agensi

48 pelajar, seorang guru sekolah agama ditahan

JAKARTA: Polis Indonesia menahan 48 pelajar dan seorang guru sekolah agama berasrama dan merampas senjata api dan senjata tajam dalam satu serbuan menentang keganasan terbaru di negara ini.
Berpuluh-puluh anggota polis menyerbu sekolah Darul Akhfiya di daerah Nganjuk Jawa Timur semalam dan menahan semua pelajar dan guru untuk soal siasat. 
Jurucakap Polis Nasional, Boy Rafli Amar berkata, “Kami menahan 48 pelajar dan guru selepas orang ramai melaporan aktiviti luar biasa di sekolah itu dan melahirkan rasa bimbang mengenai kelakuan berunsur anarki.”

Katanya, sekolah itu “disyaki menjalankan latihan untuk keganasan.”

“Polis juga menemui raifal laras panjang, peluru dan senjata tajam, termasuk parang dan buku berkenaan jihad,” katanya.

Polis Indonesia telah menjalankan beberapa siri serbuan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk di sekitar Pulau Jawa Oktober lalu dan menahan 11 suspek yang merancang menyerang Kedutaan Amerika Syarikat dan beberapa warganya. - Jakarta Post