Tuesday, August 11, 2015

Nota Urus Pekerja Bangladesh Oleh Adik Zahid Bukan Kelulusan


Diterbitkan: Selasa, 11 Ogos 2015 9:46 PM

PETALING JAYA: Nota Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung permohonan syarikat Realtime Networking Sdn Bhd yang mana adik kepada Timbalan Perdana Menteri itu merupakan pengerusi eksekutifnya bukan satu bentuk arahan atau kelulusan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan pada malam Selasa berkata, nota berkenaan hanya bersifat umum memandangkan pihaknya belum melantik atau memberi kelulusan kepada mana-mana syarikat bagi menyediakan sistem menguruskan pekerja Bangladesh ke Malaysia.
Ia berkata, sehingga kini, beberapa syarikat tempatan termasuk syarikat Realtime Networking Sdn Bhd telah mengemukakan cadangan kepada kementerian untuk menyediakan sistem pengurusan pekerja asing namun kementerian belum membuat sebarang keputusan.
"Ini kerana semua cadangan dari syarikat-syarikat yang berkaitan sistem akan diteliti dan dipertimbangkan oleh jawatankuasa di kementerian terlebih dahulu, mengikut prosedur sedia ada.
“KDN belum melantik atau memberi kelulusan kepada mana-mana syarikat bagi menyediakan sistem menguruskan kemasukan secara talian pekerja Bangladesh ke Malaysia seperti yang didakwa,” jelas kenyataan itu.
KDN mengulas mengenai laporan portal berita pada Selasa mengenai nota Timbalan Perdana Menteri kepada Ketua Setiausaha kementerian terhadap permohonan syarikat Realtime Networking Sdn Bhd yang dimiliki oleh adik Zahid, Datuk Abdul Hakim Hamidi.
Dilaporkan, Zahid juga adalah menteri dalam negeri, dan kelulusan bagi pekerja asing ke Malaysia adalah di bawah bidang kuasa kementeriannya.
Menurut KDN, kerajaan Malaysia dan Bangladesh akan terus berbincang bagi memastikan proses penghantaran pulang pekerja sedia ada secara tidak sah diselesaikan segera.
Kedua-dua kerajaan itu juga akan bekerjasama mewujudkan proses pengambilan pekerja baharu secara berperingkat serta dilaksanakan dengan cara telus dan teratur, termasuk menggunakan kaedah pengurusan pekerja asing secara atas talian.
“Dalam hal ini, kerajaan akan menimbangkan untuk melibatkan beberapa pihak yang mempunyai kepakaran berkaitan bagi membantu melancarkan operasi agensi kerajaan bagi tujuan tersebut,” katanya.

Nazri Pertahan Najib, Derma RM2.6 Bilion Dari Negara 'Bersaudara'


Diterbitkan: Selasa, 11 Ogos 2015 5:13 PM
Nazri Aziz.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan bahawa adalah tidak adil untuk menghukum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengambil derma politik.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, semua parti politik menerima derma dan ia menjadi 'double standard' sekiranya mahu memburukkan Perdana Menteri kerana hal berkenaan.
Beliau berkata, derma berjumlah RM2.6 bilion itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib adalah dari 'negara bersaudara' dan ia tidak akan membuatkan negara di bawah pengaruh Timur Tengah.
"Saya mahu mengingatkan semua parti politik... jangan tipulah kata mereka tak terima derma.
"Sebagai contoh, hanya untuk bertanding bagi kerusi parlimen, ia melibatkan kos RM5,000. Bayangkanlah 100 kerusi," katanya Nazri yang mempersoalkan di mana parti-parti politik memperoleh dana mereka untuk bertanding sekiranya ia bukan daripada para penyumbang.
Beliau berkata, menyalurkan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib adalah lebih "telus".
"Berbanding mengambil derma dalam tunai atau meletakkannya dalam Swiss Bank. Ini adalah lebih telus.
"Hanya buat semakan menggunakan komputer dan semua transaksi boleh diperoleh," katanya kepada pemberita pada Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan di Muzium Negara di sini, Selasa.
Dalam pada itu, Nazri merujuk kepada peruntukan undang-undang berhubung sumbangan.
"Seperti di AS (Amerika Syarikat), bila mereka terima derma, ia akan didaftarkan. Semua tahu jadi tiada isu," katanya, sambil menambah bahawa Malaysia perlu mempunyai sistem seumpama itu.

Dua pengarah SPRM kekal jawatan


BAHRI (kiri) yang enggan ditemubual pemberita berhubung pembatalan pertukarannya ke JPM berjalan keluar dari ibu pejabat SPRM, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa membatalkan pertukaran Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa semalam.
Ali berkata, pertukaran itu dibatalkan selepas beliau dan Ketua Pengarah Perkhid­matan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal mendengar penjelasan berhubung tindakan mereka mengeluarkan kenyataan kepada pihak media.
“Susulan penjelasan tersebut, saya membuat keputusan membatalkan pertukaran kedua-dua pegawai itu ke JPM dan mereka kembali ke jawatan asal masing-masing di SPRM berkuat kuasa 10 Ogos (semalam),” kata­nya menerusi satu ke­nyataan di sini semalam.
Kosmo! pada Sabtu lalu melaporkan Bahri dan Rohaizad diarah berpindah ke JPM atas alasan mereka menghadapi masalah ‘disiplin’ berkuat kuasa pada Jumaat lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0811&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3iSNsQbTC 
Hakcipta terpelihara