Friday, November 18, 2011

NFC teliti tindakan terhadap Mohd. Rafizi

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:


TAMPIN 17 Nov. - Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli berhubung kenyataannya mengenai isu ternakan lembu fidlot.

Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail berkata, walaupun tuduhan tidak berasas dilontarkan terhadap projek itu, pihak syarikat mahupun ahli keluarganya akan meneliti terlebih dahulu mengenai tindakan yang akan diambil.

"Bagi saya, biarlah perkara untuk menyaman (Mohd. Rafizi) diteliti terlebih dahulu. Kami akan duduk semeja dan berbincang mengenainya tanpa tergesa-gesa kerana saya tahu bahawa tuduhan yang dibuat pun dibuat secara tergesa-gesa.

"Saya tidak rasa apa-apa pun, cuma saya kasihan kepada dia (Mohd. Rafizi)," katanya pada sidang akhbar di NFC dekat Gemas di sini hari ini yang turut dihadiri Penasihat Undang-Undang NFC, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Mohamad Salleh berkata, sekiranya masih ada dakwaan dan tohmahan yang tidak berasas dilemparkan, maka tindakan segera akan diambil bagi tujuan menegakkan keadilan.

Ditanya mengenai desas-desus isterinya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletak jawatan, Mohamad Salleh berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenainya.

"Saya fikir itu adalah keputusan yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukannya.

"Saya telah hidup bersamanya selama 31 tahun, apa pun keputusannya saya sokong," katanya.


'via Blog this'

25 lembu dibeli dari NFC bukan percuma

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:


KUALA LUMPUR 17 Nov. - Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique hari ini menjelaskan beliau tidak menerima sumbangan lembu daripada Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) sebaliknya membeli dengan harga RM70,000.

Menurut Zulhasnan, pembelian 25 ekor lembu itu bagi aktiviti korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 2008.

"Kesemua lembu itu diserahkan oleh NFC kepada Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Setiawangsa pada 6 Disember 2008.

"Bagaimanapun, invois harga pembelian tersebut hanya dikeluarkan pada 17 Disember dan dihantar menerusi faks pada 28 Januari 2009," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Zulhasnan, setelah menerima invois berkenaan, pihaknya telah membuat pembayaran penuh menerusi cek bertarikh 29 Januari dan diserahkan kepada NFC pada hari tersebut.

"Sehubungan itu, kenyataan Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution seperti yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini dan The Malaysian Insider adalah berniat jahat dan cuba memanipulasikan fakta.

"Ia juga cuba menggambarkan saya sebagai seorang yang tidak beramanah," katanya.


'via Blog this'