Thursday, September 25, 2014

Pembiayaan aktiviti militan guna wang tunai


24 September 2014


KUALA LUMPUR - Pembiayaan aktiviti militan atau pengganas membabitkan rakyat Malaysia dan rakyat luar negara di negara ini, dibuat melalui pembayaran wang tunai tanpa menggunakan transaksi bank.
   
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kaedah konvensional itu bertujuan mengelak kegiatan mereka daripada dikesan pihak polis.
 
"Ianya adalah hasil soal siasat polis terhadap 28 individu yang ditahan iaitu 20 orang rakyat Malaysia dan lapan warga asing selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan militan di negara ini tahun ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata mereka terdiri daripada kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda, pertubuhan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), Jemaah Islamiah (JI), serta pertubuhan pengganas lain termasuk 'Liberation Tigers of Tamil Eelam', Sikh Terrorist dan Darul Islam.
   
Ayob Khan berkata bagi militan warga asing dan rakyat negara ini, pihak polis sentiasa mengemaskini maklumat suspek-suspek dengan pihak Interpol dan Majlis Jawatankuasa Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha membanteras kumpulan pengganas secara bersama di peringkat global.
   
Beliau berkata soal siasat polis juga mendapati selain kaedah penghantaran wang tunai, kumpulan militan atau pengganas ini juga menggunakan kaedah 'hawala' iaitu pemindahan tanggungan hutang seseorang kepada tanggungan orang lain.
   
Katanya melalui kaedah itu, pihak ketiga, yang pernah berhutang dengan si perancang militan, perlu membiayai kos dan membuat bayaran serta menyediakan keperluan kepada sipelaku aktiviti pengganas.
   
Mengulas lanjut mengenai 28 tangkapan pengganas tersebut, beliau berkata, setakat ini pihaknya telah membuka sebanyak 28 kertas siasatan terhadap suspek berkenaan dan mereka disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

"Siasatan juga mendapati terdapat kumpulan JI dan Al-Qaeda yang ditangkap tidak menggunakan institusi kewangan dan perbankan untuk menyalurkan wang sebaliknya menggunakan cara hawalah dan secara tunai," katanya. - Bernama

Umat Islam Malaysia sambut Aidiladha 5 Okt


24 September 2014


KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidiladha pada Ahad, 5 Oktober, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan malam ini.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1435 Hijrah ialah pada 26 September 2014 Masehi.

"Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Ahad, 5 Oktober 2014," katanya.

Pengumuman itu disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM). - Bernama

Seoul beli 40 jet pejuang F-35A


Korea Selatan akan membeli 40 jet pejuang F-35A daripada Lockheed Martin dengan harga kira-kira AS$7 bilion (RM22 bilion), pembelian senjata terbesar negara itu yang bertujuan menangani ancaman tentera Korea Utara.

Negara itu membuat keputusan membeli pesawat berkenaan sejak Mac lalu tetapi pengesahannya tertangguh kerana rundingan dengan syarikat berkenaan berkait dengan harga, pemindahan teknologi serta beberapa perkara lain.

Seoul scara tradisinya mengimport jet pejuang dan senjata lain dari Amerika Syarikat yang menempatkan kira-kira 28,500 tentera di negara itu sebagai langkah menghalang sebarang kemungkinan pencerobohan dari Korea Utara.

Pembelian itu bertujuan menggantikan pesawat lama dan mengukuhkan keupayaan untuk menyerang sasaran strategik dan nuklear di Korea Utara sekiranya perang meletus.

Pegawai dan agensi ketenteraan berkata, jet baru itu akan diserahkan kepada Seoul antara 2018 dan 2025.

F-35 ialah program pesawat Amerika Syarikat paling mahal, berharga AS$400 juta (RM1.28 bilion) Negara lain yang menggunakan jet itu, termasuk Britain, Israel, Itali, Australia, Kanada, Turki dan Jepun.

Tahun lalu, Korea Selatan menolak pembidaan Boeing untuk membekalkan 60 jet F-15 Silent Eagle selepas pengkritik berkata, ia tidak secanggih F-35 dan tak berupaya menangani ancaman nuklear Korea Utara yang semakin meningkat.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Kaki jadi tiang lampu


Leo Bonten, 53, kemudian mengiklankan lampu itu di laman eBay untuk dijual dengan harga permulaan €100,000 (RM 417,177).
Bagaimanapun, iklan itu digugurkan kerana ia melanggar polisi laman berkenaan yang mengharamkan penjualan anggota badan manusia.
Kaki Bonten terpaksa dipotong kerana dijangkiti kuman selepas ia patah dalam satu kemalangan pada Julai 2012.
Dalam kejadian itu, rakannya cuba menolak Bonten ke dalam kolam renang namun dia tergelincir dan rakan itu jatuh ke atasnya menyebabkan kakinya mengalami keretakan serius.
Selepas menjalani beberapa pembedahan, dia dijangkiti kuman di bahagian penyambung lutut yang memakan tulangnya.
Menjelang Jun 2014, kaki kanannya yang dijangkiti kuman terpaksa dipotong selepas ia tidak lagi berfungsi.
Sebaik berbincang dengan doktor mengenai perkara itu, dia mendapat idea untuk menjadikan kakinya tiang lampu.
Ideanya itu mengundang pertikaian besar mengenai pemilik kepada anggota yang sudah dipotong dan kebenaran dari segi undang-undang untuk membenarkan Bonten menyimpannya.
Kebiasaannya, anggota badan yang dipotong diserahkan kepada pihak hospital yang menjalankan pembedahan itu dan mereka bertanggungjawab melupuskannya.
Ia melanggar undang-undang jika kakitangan hospital tidak melupuskan anggota yang dipotong.
Bonten tidak dapat menerima syarat itu dan ketika ditemubual dia berkata: “Kaki saya adalah harta saya.
Ada orang yang menyimpan batu karangnya di dalam balang hiasan dan menjadikan abu mayat sebagai tatu.

Saya mahu menjadikan kaki saya lampu hiasan.” Dia akhirnya diberikan kebenaran menyimpan kakinya dan mendapatkan khidmat pakar patologi, Frank van de Goot untuk mengawet serta pereka lampu, Willem Schaperkotter untuk menghasilkan lampu itu.
‘Lampu Kaki’ idamannya itu terhasil sebaik Bonten pulih daripada pembedahannya.
Foto
Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Tiada petroleum di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia


PUTRAJAYA 24 Sept. - Jawatankuasa Khas Bagi Penentuan Tuntutan Bayaran Tunai Daripada Hasil Petroleum Di Pantai Timur Malaysia mendapati sehingga hari ini tiada petroleum didapati dan diperoleh di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Hasil penemuan itu berasaskan kepada terma 'di dalam negeri' dalam perjanjian sebelum ini yang merujuk kepada tanah negeri dan laut wilayah negeri tidak melebihi tiga batu nautika diukur dari garis air surut persisiran pantai negeri.
Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan yang dikeluarkan di sini hari ini, takrifan itu juga berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa dan domestik yang terpakai.
"Oleh itu sehingga hari ini Petronas tidak terikat secara undang-undang untuk membayar bayaran tunai kepada mana-mana negeri di bawah perjanjian pembayaran.
"Berdasarkan perjanjian yang ditandatangani antara pihak Petronas dengan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, negeri-negeri tersebut hanya berhak ke atas lima peratus daripada nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di dalam negeri berkenaan,"kata kenyataan itu.
Dalam pada itu menurut kenyataan tersebut, langkah kerajaan memaklumkan keputusan jawatankuasa khas kepada umum adalah untuk memberikan penjelasan yang sebenar kepada rakyat selain mengelakkan mereka terus diberikan versi tidak benar serta mengelirukan berhubung isu berkenaan.
"Langkah ini perlu dilakukan demi memelihara kepentingan negara dan dalam masa sama rakyat dapat memahami pendirian kerajaan yang dibuat berdasarkan satu kajian yang dilakukan oleh satu jawatankuasa khas yang bebas bagi menghapuskan pelbagai tohmahan dan salah sangka kepada kerajaan,"ujar kenyataan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140925/dn_04/Tiada-petroleum-di-negeri-negeri-Pantai-Timur-Semenanjung-Malaysia#ixzz3EGm874vJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Azmin terus dikawal - Dr. Mahathir



DR. MAHATHIR Mohamad bersama Pengerusi Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan (tengah) dan Rakan Pengurusan Negara merangkap Ketua Kewangan Islam Ernst & Young Malaysia, Datuk Abdul Rauf Rashid pada Forum CEO Yayasan Kepimpinan Perdana 2014 di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 24 Sept. - Pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor tidak akan mengubah banyak perkara dalam pentadbiran kerajaan negeri itu apabila beliau dijangka terus dikawal oleh pemimpin tertentu.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Azmin akan masih dikawal walaupun tidak sama seperti yang berlaku kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
"'Remote control' berubah sedikit sebanyak, mungkin tidak sama seperti yang berlaku kepada Wan Azizah, tetapi beliau (Azmin) akan masih dikawal.
"Jadi, saya harap Azmin akan menjadi diri beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dalam Forum CEO Yayasan Kepimpinan Perdana 2014 di sini hari ini.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, adalah lebih baik jika ada pemimpin lain dalam PKR yang mampu menggantikan tempat Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, hal demikian kerana Anwar telah membawa banyak masalah kepada pelbagai pihak sejak beliau menyertai UMNO lagi.
"Bagus jika ada sesiapa yang dapat mengganti Anwar. Anwar sertai UMNO, berlaku masalah. Masuk pakatan pembangkang turut berlaku masalah. Ke mana-mana beliau pergi akan berlaku masalah.
"Jadi, jika ada orang yang boleh ganti tempat Anwar, itu merupakan perkara yang baik," jelasnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, pemimpin masa kini perlu menguasai pelbagai bidang jika mahu mentadbir negara dengan baik.
"Pemimpin dahulu hanya perlu menguasai bidang politik sahaja, tetapi sekarang mereka perlu juga menguasai bidang ekonomi dan kewangan," jelasnya.
Tambah beliau, setiap pemimpin juga perlu mengenal pasti dan memahami sesuatu isu terlebih dahulu sebelum dapat menyelesaikan pelbagai masalah.
"Perkara pertama, mereka perlu mengenal pasti dan memahami sesuatu isu yang menjadi punca kepada berlakunya masalah. Ini kerana masalah tidak berlaku tanpa sebab," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140925/po_01/Azmin-terus-dikawal---Dr-Mahathir#ixzz3EGlNLGY4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jemaah haji Australia dilayan lebih bertimbang rasa


Jemaah haji Australia yang akan berlepas ke Mekah diberikan keutamaan di lapangan-lapangan terbang negara itu. - AGENSI
Mekah 24 Sept. - Jemaah yang akan terbang ke Arab Saudi untuk menunaikan haji akan dilayan lebih bertimbang rasa dan pemeriksaan ke atas mereka akan dipercepatkan di lapangan-lapangan terbang Australia.
Menteri Perlindungan Sempadan, Scott Morrison bagaimanapun berkata, pegawai kastam masih mensasarkan individu-individu yang ke luar negara untuk menyertai kegiatan militan sebagai keutamaan.
Minggu lalu, beberapa pemimpin Islam melahirkan kemarahan dengan layanan buruk yang diberikan terhadap seorang ulama terkenal yang sedang dalam perjalanan ke Arab Saudi untuk menunaikan haji.
Ulama itu yang merupakan seorang imam dan ahli kanan dalam Majlis Kebangsaan Imam Australia, ditahan selama dua jam setengah di Lapangan Terbang Sydney pada Khamis lalu sehingga menyebabkan dia terlepas pesawat.
Tambah Morrison, jabatannya telah membuat rundingan bersama Mufti Besar Australia, Dr. Ibrahim Abu Mohammad untuk memberikan taklimat khas kepada pegawai perlindungan sempadan berhubung perkara berkaitan haji.
Bagaimanapun, pemeriksaan ketat masih perlu dilalui para jemaah mengambil kira keseriusan kerajaan menyekat pelepasan rakyat negara ini yang mahu menyertai kegiatan militan di luar negara.
"Amat penting bagi kerajaan untuk mengenal pasti suspek-suspek pengganas bagi perjalanan keluar masuk dari negara ini.
"Pegawai kami akan bertindak secara profesional dan akan melayan penumpang dengan hormat, termasuklah menghormati sensitiviti budaya," kata Morrison dalam satu kenyataan semalam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140925/lu_07/Jemaah-haji-Australia-dilayan-lebih-bertimbang-rasa#ixzz3EGjdqSez
© Utusan Melayu (M) Bhd