Showing posts with label Jamil Khir. Show all posts
Showing posts with label Jamil Khir. Show all posts

Monday, February 13, 2012

Baitulmal: Jamil Khir mohon, dia sendiri lulus?



Muhammad Faizal,13 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 13 Feb:Dewan Pemuda PAS Malaysia mempersoalkan bagaimana orang yang sama iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir yang merupakan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan memegang jawatan Pemegang Amanah Yayasan Taqwa boleh memohon dan meluluskan peruntukan dari Baitulmal MAIWP.

Ketuanya, Nasrudin Hassan pada sidang media di Ibu Pejabat PAS mendakwa, perkara tersebut menimbulkan persoalan bagaimana jumlah permohonan berjumlah RM1 juta tetapi diluluskan RM4 juta itu dilakukan oleh Jamil Khir yang merupakan pemohon serta yang meluluskan permohonan tersebut.

"Persoalan ini perlu dijawab dan kami mahu Jamil Khir menjelaskan perkara tersebut yang telah menimbulkan tanda tanya bagaimana beliau yang juga merupakan Pengerusi MAIWP dan juga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa boleh meluluskan permohonan tersebut.

"Dalam pada itu juga permohonan yang dibuat oleh Yayasan Taqwa haya RM1 juta tetapi kelulusan dari Baitulmal MAIWP adalah sebanyak RM4 juta," jelasnya.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata Yayasan Taqwa jua mendakwa bahawa RM2 juta yang dibelanjakan untuk pengurusan bukan sekadar perbelanjaan pengurusan tetapi meliputi semua perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan program.

"Kita melihat perincian perbelanjaan tersebut telah diperakui dan disahkan mengikut skim mahupun peraturan yang ditetapkan malah ia diperakui oleh semakan audit.

"Tetapi demi kepentingan pembayar zakat dan sensitiviti seluruh umat Islam maka kita hari ini turut mendesak agar Jamil Khir membuat pendedahan secara terperinci perbelanjaan pengurusan RM2 juta itu, tindakan ini adalah sebagai menghapuskan keraguan yang timbul," katanya lagi.

Katanya lagi, untuk apa diwujudkan Yayasan Taqwa kerana pada masa sekarang peranan MAIWP dalam urusan menyampai bantuan zakat sudah mencukupi apatah lagi dengan bantuan kakitangan yang cekap dalam urusan tersebut termasuk segala maklumat penerima yang ada.

"Kita melihat permohonan RM4 juta itu kalau diberikan kepada mereka yang layak menerima zakat sudah tentu lebih ramai dapat merasakannya tetapi wang tersebut disalurkan kepada sebuah yayasan yang dilihat mempunyai kepentingan peribadi.

"Malah perbelanjaan RM2 juta itu juga satu yang besar, kalau dikira berapa ramai penerima zakat dapat menikmati wang tersebut jika ia disalurkan melalui sebuah badan yang layak," sambungnya lagi.

Dalam masa yang sama Dewan Pemuda PAS Pusat juga ingin penjelasan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas tujuan apakah Yayasan Taqwa yang berada di bawah MAIWP itu ditubuhkan sedangkan sebelum ini segala urusan mengenai zakat telah dilakukakan oleh pihak Baitumal MAIWP.

Friday, September 16, 2011

Jamil Khir: Saya guna duit sendiri bukan zakat


KUALA LUMPUR, 15 Sept:Setelah tertekan dengan laporan bahawa beliau membuat rumah baru umpama istana walaupun baru saja menjadi menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau gunakan duit sendiri.

“Wallahi, saya tak ambil duit zakat, boleh semak zakat Wilayah Persekutuan dapat audit bersih.
(Rumah Jamil Khir yang baru diubahsuai yang terletak di Taman Batu Muda, Batu Caves)

“Saya berani bersumpah kalau mereka berani,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama itu pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Semalam, portal Malaysia Today telah menyiarkan gambar rumah milik Jamil Khir yang mana didakwa dianggarkan mencecah jutaan ringgit.

Dalam laporan itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin mendesak Jamil Khir menjelaskan tentang rumah mewah itu.

Menurut Khairul Anuar, keraguan timbul apabila Jamil Khir yang dilantik sebagai menteri tiga tahun lalu dan hanya memperoleh gaji tidak menjangkau RM15,000 sebulan, namun mampu memiliki kediaman mewah dalam tempoh yang singkat.
“Kalau dia (Jamil Khir) rasa seorang yang berpegang teguh terhadap agama dan ada kebertanggungjawaban terhadap negara, dia perlu jujur menjelaskan kekayaan sebelum dan selepas (menjadi menteri),” katanya.
Dalam laporan itu, Keadilandaily tidak mendakwa Jamil menggunakan wang zakat untuk rumahnya tetapi melaporkan beliau pernah menggunakan wang Baitulmal untuk membayar peguam bagi membela kesnya yang didakwa atas nama menteri yang menjaga hal ehwal agama.
Jelas Jamil Khir, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu disifatkan sebagai “politik terdesak” untuk memburukkan imejnya, lapor The Malaysian Insider.

“Jawapan mudah, saya duduk rumah di Kampung Batu Muda sejak 1994, sudah 17 tahun saya duduk dan saya tidak tahu mengapa dibangkitkan . . . ia hanya penambahbaikan rumah dan tuduhan adalah politik terdesak.

“Saya tidak mahu panjangkan perkara ini, saya dulu bukan penganggur . . . saya dulu tentera dan jawatan terakhir saya Mejar Jeneral, malah saya juga tentera yang berpencen dan ada ganjaran, RM1 juta tiadalah tapi adalah,” katanya.

Jelas beliau, rumah itu dibesarkan untuk menampung bilangan ahli keluarga yang semakin membesar.

“Rumah ini pun hutang dengan kerajaan sejak 1994, kami keluarga besar . . . mak dan ayah duduk sekali, anak enam orang jadi ramai lagi pun anak-anak saya bekerja,” katanya.
harakahdaily

Thursday, September 15, 2011

Jamil Khir nafi guna wang zakat besarkan rumah



15/09/2011 7:04pm

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan dakwaan portal pembangkang kononnya beliau menggunakan wang zakat untuk mengubah suai kediaman di Kampung Batu Muda, Batu Caves di sini.
Beliau berkata, wang yang digunakan untuk mengubah suai rumah yang dihuni anggota keluarganya sejak 1994 itu, adalah hasil titik peluh sendiri ketika berkhidmat dalam angkatan tentera dan menyifatkan dakwaan itu sebagai ”politik terdesak”.
"Ini perbuatan politik terdesak... Saya dulu bukan penganggur. Jawatan terakhir saya dalam tentera ialah Mejar Jeneral. Jadi, tidak mungkin seorang Mejar Jeneral tidak mampu ada rumah.
"Dia kena faham, saya tentera yang berpencen dan ada ganjaran, tetapi tiadalah sampai RM1 juta... anak-anak seramai enam orang juga tinggal bersama, jadi sebab itu banyak kereta di rumah,” katanya kepada pemberita hari ini. - Bernama