Friday, November 26, 2010

Tentera Israel roboh masjid di Nablus


NABLUS, 26 Nov: Agensi Berita Palestin, Ma’an, semalam (25 November) melaporkan jentolak (bulldozer) Israel telah meratakan sebuah masjid di persekitaran Yazra di bahagian timur pusat bandar Tebing Barat Tuba.
Tentera Israel mendakwa bahawa masjid itu dibina tanpa mendapat keizinan pihak berkuasa, lapor laman web Haluan Palestin.
Tuba adalah sebuah bandar kecil Palestin di Tebing Barat timur laut, terletak hanya 21 kilometer (13 batu) timur laut Nablus, beberapa kilometer barat Sungai Jordan.
Ahmad As’ad, seorang pegawai Palestin, menyatakan bahawa tentera Israel menyerang kawasan yang dianggap sebagai lapangan latihan ketenteraan, dan mereka menyatakan bahawa kawasan ditutup kerana ianya kini zon tentera.
Kemudian mereka telah menghancurkan satu-satunya  masjid yang ada di kawasan itu.
Masjid tersebut dibina pada tahun 1967 dan warga penduduk telah memperbesarkan kawasan masjid itu dengan dua bilik tambahan.
As’ad menambah bahawa warga penduduk memiliki surat-surat rasmi yang membuktikan kebenaran untuk pembangunan masjid di kawasan tersebut pada tahun 1967, dan kedua-dua bilik itu ditambah kerana peningkatan jumlah penduduk yang hadir ke masjid tersebut.

Harakahdaily   

Tarif air: Jelas Umno BN khianati rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Nov: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong penuh tindakan Kerajaan Selangor yang membantah tuntutan kenaikan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebanyak 37 peratus berkuatkuasa 31 Mac tahun hadapan.
Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, tuntutan Syabas yang disokong oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor adalah satu penganiayaan kepada rakyat.
DPPWP juga, katanya kesal kerana Shaziman bersekongkol dengan Syabas untuk menaikkan kadar tarif air berkenaan jika  kerajaan Selangor gagal menyerahkan semua aset industri airnya kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) sebelum 31 Mac hadapan.
“Apa yang berlaku pada hari ini memperjelaskan bahawa Kerajaan Umno BN yang memerintah Selangor sebelum ini telah melakukan pengkhianatan terbesar pada rakyat kerana menandatangani satu penjanjian konsensi pembekalan air bersama Syabas selama 30 tahun dengan meletakkan terma untuk membolehkan syarikat berkenaan menaikan kadar tarif pada tempoh tertentu tanpa perlu melihat kepada keadaan ekonomi negeri dan rakyat,” ujarnya.
Katanya, DPPWP mewakili pengguna air di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berharap Yang di-Pertuan Agong menghalang hasrat Syabas dan membatalkan perjanjian konsensi yang jelas merugikan rakyat di Lembah Klang.
“DPPWP menyeru seluruh pengguna air di Lembah Klang turun beramai-ramai mengiringi Menteri Besar Selangor pada 5 Disember ini untuk menghantar Memorandum Rakyat ke Istana Negara,” ujarnya.
Jika pengguna air berdiam diri pada hari ini, katanya maka tiada siapa lagi yang dapat menghalang kenaikan tarif air sebanyak 37 peratus itu.
Tambahnya, hatta pihak menteri sendiri hanya mampu memberikan jaminan tidak akan menaikkan tarif air selama setahun kepada Kerajaan Melaka dan Johor walaupun negeri berkenaan sudah berikrar akan menyerahkan aset industri airnya kepada PAAB pada bulan Disember dan Januari nanti.
“Selepas setahun, tarif air tetap akan dinaikkan juga di Melaka dan Johor, apa yang Shaziman mampu buat jika PAAB membuat tuntut sama seperti Syabas hari ini?” soalnya.
Dalam hal ini, katanya rakyat sebagai pengguna air juga yang akan tertindas.
“Cukuplah rakyat melihat Kerajaan Umno BN Selangor telah membuat kesilapan dan mengadaikan sumber air Selangor sebelum ini, jangan tutup mata dan anggap Kerajaan Umno-BN di Melaka dan Johor sudah cukup bijak dalam hal ini,” katanya.
Hakikatnya, kata beliau mereka telah melakukan perkara yang lebih buruk lagi kerana seluruh aktiviti pengurusan air di negeri mereka selepas ini akan diswastakan 100 peratus dan kerajaan negeri bakal hilang kawalan terhadap sumber air negeri.
“Marilah bersama-sama menyokong Kerajaan Pakatan Selangor yang bertekad mempertahankan aset pengurusan air negeri dan hak pengguna air yang mahu tarif air tidak dinaikkan,” ujarnya lagi.

 PAS ingatkan Muhyiddin belia bukan kayu

KUALA LUMPUR, 26 Nov: PAS mengingatkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa belia Malaysia bukan kayu yang tidak bernyawa, kerana mereka hidup di zaman langit terbuka dan maklumat di hujung jari.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, belia tahu menilai yang mana intan dan kaca.
“Generasi ini tidak senang melihat kepincangan yang berlaku di dalam negara kita.
“Mereka tidak akan biarkan setengah abad kedua diperintah oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab kepada negara dan generasi masa depan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas seruan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri di Seminar Pemimpin Muda Malaysia di Parlimen semalam supaya  generasi muda  tidak terpedaya dengan kumpulan yang mempunyai kepentingan tersendiri yang membawa ideologi dan perjuangan yang indah bunyinya.
Menurutnya, seruan Muhyiddin itu sebagai satu kenyataan yang tersilap sasaran. 
“Mungkin beliau membayangkan sedang berucap dengan perwakilan Umno yang terdiri daripada saluran satu yang hanya menelan maklumat melalui media lapuk Umno sahaja,” ujarnya.
Beliau menambah, sebagai generasi yang kritis dan mempunyai idealisme perjuangan yang tersendiri amat tidak sesuai untuk menyokong Umno BN di negara ini.
Katanya, mereka sudah boleh melihat contoh  hidup yang telah dipamerkan oleh pimpinan negeri Pakatan Rakyat yang jauh lebih baik dari segi ketrampilan, ketelusan dan ketertiban ketika melaksanakan mandat rakyat di negara ini.
“Macam mana Tan Sri Muhyiddin hendak menyeru supaya belia ini bersama dengan Umno BN, sedangkan mereka mengalami keperitan hidup lantaran sikap gelojoh dan boros pemimpin umno sehinggga memberi kesan kepada mereka  untuk membina kualiti hidup yang lebih baik,” katanya lagi.

Wanita PKR mahu jawatan ketua umum diwujudkan untuk Anwar





2010/11/26

PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mencadangkan diwujudkan segera jawatan ketua umum sebagai usaha memberi pengiktirafan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus menyumbang kepada kemajuan parti itu. 

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin, berkata jawatan itu tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada kepemimpinan tertinggi, sebaliknya sebagai mentor kepada pembangunan PKR.
Katanya, jawatan itu juga untuk menjaga dan memelihara pengaruh PKR dalam landskap politik semasa.
"Jawatan itu tidak boleh dipertandingkan dan hanya berhak diberikan kepada Anwar yang banyak berjasa kepada PKR selain berjuang untuk prinsip keadilan di negara ini," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita PKR pada Kongres Nasional Tahunan Ke-7 PKR di sini, hari ini.

Tak habis-habis dengan jambatan bengkok


Tiada sebab pembinaan jambatan ganti Tambak Johor tak boleh diteruskan: Dr M


2010/11/26

KUALA LUMPUR:  Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tiada sebab mengapa projek pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan negeri itu dengan Singapura tidak boleh diteruskan.

Beliau berkata, ini kerana semasa perancangan dan perundingan dengan kerajaan Singapura, projek itu tidak menghadapi masalah perundangan dan tentangan dari negara jiran itu.
"Saya dulu terlibat secara langsung dengan perancangan jambatan ini, semasa saya kaji cadangan ini, saya telah kaji segala peruntukan undang-undang terutamanya yang membabitkan Singapura, saya telah cuba meminta Singapura bersetuju supaya kita bangunkan jambatan ini bersama tetapi setelah dua tahun berlalu tiada respon menunjukkan mereka tak berminat.
"Dengan itu saya rancang sama-sama dengan arkitek tertentu untuk mengadakan jambatan ini di sebelah Malaysia sahaja tak melibatkan Singapura dan mereka tidak bantah, kita sebenarnya dah luluskan projek ini dalam Kabinet dan kerja-kerja telah dibuat bersama-sama kontrak CIQ," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan sebanyak RM7,000 oleh Pertubuhan Belia Islam Kepong (PBIK) untuk tabung kutipan Gaza di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Johor Sultan Ibrahim pada istiadat sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52, Isnin lepas supaya pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor diteruskan.

Baginda bertitah pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang-alik ke Singapura malah menjadi kemudahan untuk rakyat negara jiran itu melancong ke negara ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam mengulas bahawa kerajaan perlu membuat kajian mengenainya kerana terdapat banyak implikasi daripada segi perundangan, kos dan juga halangan daripada kerajaan Pusat dan kerajaan Singapura. 
Dr Mahathir berkata, Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor terdahulu, sendiri sanggup memberikan kawasan tanahnya secara percuma supaya jambatan ini yang lebih popular sebagai jambatan bengkok dapat dimajukan.

"Ini bermakna Almarhum Sultan memang sokong penuh pembinaan jambatan yang dikatakan bengkok ini, tidak ada bantahan dari mana-mana pihak.

"Saya ada jumpa dengan Sultan Johor yang sekarang ini (Sultan Ibrahim) dan baginda menyatakan bahawa baginda memang nak betul supaya jambatan ini diteruskan dan baginda akan menulis kepada kerajaan untuk buat cadangan bagaimana nak buat jambatan ini jika kerajaan pusat tidak ada duit," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu yakin sekiranya jambatan itu dibangunkan, ia akan mengembalikan sokongan rakyat Johor kepada Barisan Nasional (BN).

"Saya percaya satu daripada sebab kita tak dapat kemenangan cemerlang di Johor, buat pertama kali kita kalah enam kerusi kerana rakyat Johor amat marah apabila dituduh mereka yang tidak mahu jambatan itu.

"Mereka tidak pernah ditanya sama ada hendak jambatan atau tidak, rakyat Johor marah dan sokongan mereka terhadap BN pada 2008 merosot, ada kawasan undi merosot dan ada yang kalah terus," katanya.

Mengulas mengenai pemberian sumbangan hari ini, Dr Mahathir yang juga penaung Perdana Global Peace Organisation (PGPO) mengucapkan terima kasih kepada PIBK kerana turut prihatin untuk membantu usaha-usaha menyelamatkan rakyat Palestin di Gaza.

"Saya ucap tahniah kepada pertubuhan kerana usaha yang dibuat dengan sendirinya dan saya harap sikap seperti ini perlu dicontohi oleh belia-belia lain supaya dapat menunjukkan betapa kita kisah akan kedudukan keselamatan dan orang Islam yang ditindas dan dibunuh," katanya. - BERNAMA

Tok Guru & Shaolin



More… Sila klik pada Photo
pink turtle

Rasul Ali semakin pulih


KULIM 25 Nov. - Warga emas, Rasul Ali yang ditemui tidak bermaya akibat berjalan berkaki ayam sejauh 40 kilometer selama empat hari gara-gara sesat dan tidak menemui jalan pulang ke rumahnya baru-baru ini, kini dilaporkan semakin pulih.
Rasul, 57, yang mengalami kesan luka di tangan serta melecet di kedua belah tapak kakinya ekoran kejadian itu, masih menerima rawatan di Hospital Sungai Petani di sini dan dijadualkan menjalani imbasan otak beberapa hari lagi.
Anak Rasul, Firdaus, 28, berkata, selera makan bapanya juga semakin baik berbanding selepas kejadian selain memberi reaksi positif setiap kali berinteraksi dengan ahli keluarga.
''Kami berasa lega kerana selepas kejadian itu, ayah kelihatan agak sugul dan hanya banyak mendiamkan diri tetapi keadaan kini semakin baik malah selera makan ayah juga bertambah baik berbanding sebelum ini.
''Setakat ini, kami dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa kesihatan ayah semakin pulih tetapi masih perlu berehat kerana masih keletihan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Rasul yang mengalami masalah ingatan akibat terlibat dalam dua kemalangan jalan raya sebelum ini, dilaporkan hilang selepas keluar ke masjid berhampiran rumahnya di Taman Selasih di sini pada petang raya, 17 November lalu dengan menaiki motosikal tetapi tidak pulang ke rumah.
Bagaimanapun, selepas berita kehilangannya disiarkan Utusan Malaysia 20 November lalu, Rasul ditemui Ahad lalu oleh orang ramai dalam keadaan menyayat hati dengan kesan melecet teruk di kedua-dua belah tapak kaki selain berlumpur seluruh badan dipercayai terjatuh daripada motosikal.

Cadang bina lokap sendiri


KUALA LUMPUR 25 Nov. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merancang membina lokap, gudang barang kes, dan dewan serbaguna di semua pejabat SPRM negeri dalam memantapkan pengendalian kes berkaitan rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Zakaria Jaffar berkata, projek itu dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dengan permohonan peruntukan sebanyak RM192 juta.
"Sebelum ini, kita terpaksa berkongsi lokap dengan pihak polis.
"Setakat ini, hanya pejabat SPRM Putrajaya dan Negeri Sembilan yang mempunyai lokap dan gudang barang kes sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Kompleks Pejabat dan Perumahan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan, Ir. Adanan Sukri Musa di sini hari ini.
Zakaria memberitahu, kompleks pejabat baru SPRM Wilayah Persekutuan yang dilengkapi kemudahan prasarana terkini akan beroperasi Isnin ini.
Zakaria berkata, kompleks lima tingkat bernilai RM32 juta di Lot 1246, Jalan Cochrane ini lengkap dengan ciri-ciri keselamatan yang canggih.
Katanya, terdapat 110 bilik pegawai, satu bilik mesyuarat utama dan empat bilik mesyuarat dan tiga bilik gerakan dengan kapasiti 30 orang setiap satu bilik.
"Selain itu, kompleks pejabat ini turut dilengkapi bilik media, bilik runding cara, bilik soal siasat, bilik aduan, perpustakaan, galeri, bilik air untuk orang kurang upaya (OKU) serta 258 tapak tempat letak kenderaan bagi memberikan keselesaan kepada pegawai SPRM dan orang ramai.
"Kompleks pejabat ini merupakan fasa pertama bagi projek pembangunan Kompleks Pejabat dan sambungan fasa kedua kompleks Perumahan SPRM Wilayah Persekutuan sekiranya mendapat peruntukan daripada kerajaan," katanya.

Tubuh badan bebas siasat polis tembak remaja

KUALA LUMPUR, 25 Nov: Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa menggesa kerajaan menubuhkan badan bebas bagi menyiasat anggota polis yang terlibat dalam kes menembak mati tiga remaja pada 13 November lalu.
Sivarasa berkata, ianya perlu ditubuhkan segera bagi membersihkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kes ini bukan terpencil kerana apa yang sangat mendukacitakan sejak 1998, tiada seorang anggota polis telah dihukum ke atas kejadian yang berlaku.
"Sekiranya terus berlanjutan, anggota polis berasa boleh buat apa-apa sahaja tanpa dikenakan sebarang hukuman terhadap mereka," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Terdahulu, usul yang dikemukakan beliau pada Selasa lalu ditolak Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk dibahaskan.
Menurut Sivarasa, terdapat percanggahan keterangan maklumat polis tentang kejadian tembak menembak itu yang menjurus kepada tindakan polis mempertahankan diri.
"Ini kerana saya telah meneliti laporan polis oleh Nor Hafizah Mad Razali iaitu ibu kepada Muhammad Shamil Hafiz, 15, dan keluarga Mohd Hairul Nizam, 20, mendakwa tembakan peluru dilakukan pada jarak dekat oleh polis.
"Ibunya juga mempercayai dibunuh dengan sengaja oleh polis kerana tembakan di dahi menembusi hingga ke bahagian kepala Shamil.
"Mereka juga terkejut dengan dakwaan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan tentang anaknya penjenayah ganas yang dikehendakai sedangkan tidak mempunyai rekod jenayah," katanya.
Dalam kejadian 13 November lalu, polis menembak mati tiga lelaki yang didakwa baru sahaja merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1 Glenmarie, Subang kira-kira jam 4.15 pagi ketika sedang membuat rondaan mencegah jenayah di kawasan itu.

RM5 bilion mampu kurangkan kemalangan jalan raya

PARIT BUNTAR, 25 Nov: Sekiranya sebanyak RM5 bilion diperuntukkan untuk membina menara 100 tingkat, kenapa kerajaan tidak mahu melakukan sesuatu yang seumpamanya bagi mengurangkan jumlah kemalangan dan menyelamatkan nyawa rakyat.
Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim menyatakan demikian sebagai mengulas jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Dewan Rakyat bahawa sebanyak 81,733 kes kemalangan jalan raya melibatkan 1,174 kematian direkodkan semasa Ops Sikap sempena sambutan perayaan Aidilfitri dari tahun 2006 hingga September tahun ini.
Terdapat lima negeri yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu Selangor sebanyak 189 kematian, Johor (158 kematian), Perak (120 kematian), Pahang (108 kematian) dan Kedah (102 kematian).
Sehubungan, Khalil Idham berpendapat jumlah kemalangan tersebut adalah dalam jumlah yang membimbangkan dan serius serta perlu diambil tindakan segera untuk mengatasinya.
Katanya, satu kajian secara terperinci dan menyeluruh hendaklah dilakukan untuk mengenal pasti punca-punca permasalahan sebenar sehingga mengundang jumlah kemalangan yang besar itu.
Beliau yang juga Adun Titi Serong berpandangan sesungguhnya pendidikan tentang pemanduan berhemah mestilah ditingkatkan dari masa ke semasa dengan program yang dilakukan secara bersepadu dan terancang termasuk dalam kaedah pemberian lesen memandu.
“Selain itu, saya cadangkan supaya sistem merit kepada pemegang lesen memandu disegerakan untuk memastikan mereka lebih bermoral dan berdisiplin semasa memandu,” ujarnya.
Tambahnya, peningkatan akhlak Islam dan moral yang tinggi secara umum tidak dinafikan boleh menyebabkan lahirnya pemandu yang berhemah serta mampu mengurangkan kadar kemalangan.
Menurutnya lagi, dengan mengambil faktor-faktor seperti keadaan jalan raya yang tidak kondusif, jumlah kenderaan yang semakin bertambah dan kecuaian pemandu sendiri, pihak kerajaan mestilah melakukan tidakan yang bersifat segera untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia dari terlibat dalam kemalangan maut di masa akan datang.
Pihak kerajaan juga, ujarnya mesti memastikan keadaan kenderaan dan keperluan jalan raya yang lebih selamat supaya dipertingkatkan di masa akan datang sesuai dengan kemampuan kewangan kerajaan.

 PAS buat laporan polis isu kain rentang

PULAU PINANG, 25 Nov: Setakat petang ini, tiga PAS kawasan di Pulau Pinang telah membuat laporan polis tentang dua kain rentang (banner) yang bertulisan 'Kami Tak Nak Wang Judi' dan 'Kami Pemuda Membantah Kerajaan Negeri Lulus 96 lesen Judi, Lesen Permis Rumah Urut 1,367. Hiburan Awam' yang dipasang di lokasi tertentu di negeri ini bermula malam tadi.
PAS Nibong Tebal telah mendahului tindakan tersebut di Balai Polis Nibong Tebal pada pukul 1.00 tengahari tadi apabila mendapati empat banner dipasang untuk menimbulkan provokasi serta memaparkan tiga wajah pemimpin Dewan Pemuda PAS negeri iaitu Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Yusni Mat Piah, timbalannya, Helmi Harun dan naibnya, Ustaz Zakaria Hamzah.
Menurut Ketua Penerangan PAS Nibong Tebal, Nazir Arshad kemungkinan banner tersebut dipasang selepas pukul 3.00 pagi oleh orang yang tidak bertanggungjawab atau diupah untuk menimbulkan kemarahan rakyat terhadap PAS.
"Mana boleh biarkan nama PAS rosak kerana banner berkenaan. Kami terus ke balai polis buat laporan supaya polis bertindak segera menyiasat siapa yang buat perkara itu," katanya.
PAS Kawasan Kepada Batas dan Tasek Gelugor berhimpun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Kepala Batas mulai jam 5.00 petang bagi tujuan yang sama.
Manakala Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Helmi Harun dijangka mengadakan sidang media pada pukul 8.30 malam ini untuk menyatakan bantahan terhadap kain rentang itu.

Pekerja bakar mayat Sosilawati dakwa dipaksa mengaku salah


Oleh Rafidah Mat Ruzki

2010/11/26

Sarawanan
Sarawanan
SHAH ALAM: Pekerja ladang yang dihukum penjara tujuh tahun kerana membakar dan melupuskan bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain, memfailkan notis usul dan afidavit sokongan bagi mengemukakan bukti baru bahawa dia dipaksa mengaku salah atas pertuduhan itu.

Justeru, dia memfailkan notis usul itu menerusi peguam A S Dhaliwal untuk memohon supaya Mahkamah Tinggi meminda dan memperbetulkan nota keterangan atau rekod rayuan kes yang dihadapinya.K Sarawanan, 19, dalam notis usul yang difailkan kelmarin, juga mendakwa dipukul, disepak pada kemaluan serta diugut seorang pegawai polis sehingga menyebabkannya berbohong bahawa dia melakukan kesalahan itu dengan mengadakan satu cerita, semata-mata mahu melepaskan diri daripada didera polis.
Sarawanan berkata, dia ditahan 12 September hingga 14 Oktober lalu dan pada 11 Oktober, seorang pegawai polis bernama Tuan Govin menyatakan dia terbabit dalam satu kes bunuh bersama peguam, N Pathmanabhan di sebuah ladang di Banting.

“Saya juga menegaskan saya diarahkan oleh Tuan Govin untuk bercakap bahawa Pathmanabhan menyuruh saya membunuh si mati. 

“Saya juga diberitahu bahawa sekiranya saya berbuat demikian, saya akan dibebaskan oleh mahkamah,” katanya.

Pada 15 Oktober lalu, Sarawanan dan seorang lagi pekerja ladang, U Suresh, 26, mengaku bersalah membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shansudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38. 
Sarawanan juga mendakwa dia diugut akan ditembak jika enggan menjadi saksi polis.

Katanya, ketika ditahan reman, dia dibawa berjumpa seorang detektif bernama Sri Hari yang memberi akujanji kepadanya dan bapanya, N Kandasamy bahawa dia akan dilepas dan dibebaskan jika memilih peguam polis iaitu Roslie Sulle, selain dipaksa menandatangani satu borang yang tidak diketahui kandungannya.

“Sri Hari juga berkata saya akan dilepaskan di Mahkamah Telok Datok pada 15 Oktober lalu,” katanya.

Sarawanan turut mendakwa Rosli dan peguam M Puravalen memberitahunya dia akan dilepaskan dan disuruh mengangguk ketika dibawa di hadapan majistret dan dia hanya menganggukkan kepala kerana ketakutan.

“Pada 15 Oktober, ketika di mahkamah saya nampak bapa saya hadir bersama dengan peguam Dhaliwal yang datang untuk mewakili saya, tetapi memandangkan saya takut dengan ugutan polis dan kerana dijanjikan akan dibebaskan, saya tidak mengendahkan mereka,” katanya.

Pada prosiding semalam, peguam bela Pathmanabhan, Amer Hamzah Arshad turut memfailkan notis usul untuk mencelah dan mengambil bahagian serta berhujah dalam pendengaran rayuan dan semakan kehakiman itu.

Amer Hamzah berkata, permohonan itu adalah kerana anak guamnya dan tiga lagi tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih belum dibicarakan.

Katanya, segala pengakuan, fakta dan keterangan kes Sarawanan jelas bersifat prejudis kepada Pathmanabhan dan tiga tertuduh lain, selain satu tindakan menghina mahkamah serta penyalahgunaan proses mahkamah, berikutan perbicaraan terhadap pemohon masih belum bermula.

Notis itu juga menyebut pengakuan bersalah Sarawanan dan Suresh adalah tidak sah dari segi undang-undang dan harus diketepikan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof memohon mahkamah supaya diberikan masa bagi menjawab notis usul dan afidavit dikemukakan Sarawanan.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki kemudian menetapkan 10 Januari depan untuk pendengaran semakan dan rayuan serta permohonan mencelah oleh Amer Hamzah. 

Hakisan dekat rumah


Oleh Sahlina Sahkirin 

2010/11/26

Penduduk Kampung Pulau Tinggi minta segera bina benteng

PULAU TINGGI: Lapan keluarga di Tanjung Balang, dekat sini, kini resah dan bimbang berikutan kawasan pesisiran rumah mereka mengalami hakisan teruk sejak tiga tahun lalu. 

Hakisan tepi pantai akibat ombak besar pada musim tengkujuh itu mengakibatkan hakisan teruk di kawasan tepi pantai pulau berkenaan yang boleh mengancam nyawa dan harta benda penduduk terbabit.Sehubungan itu, penduduk terbabit menggesa pihak berkuasa melakukan sesuatu dengan segera sebelum berlaku kejadian tidak diingini di kawasan berkenaan, termasuk rumah penduduk dihanyutkan ombak pada musim tengkujuh yang dijangka melanda daerah itu tidak lama lagi.

Pemuda PAS bantah lesen rumah urut





2010/11/26

GEORGETOWN: Beberapa kain rentang mengkritik kerajaan negeri berkaitan lesen rumah urut dan pusat hiburan yang menimbulkan kontroversi sejak pakatan pembangkang mengambil alih negeri ini dikesan dipasang di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah. 

Kain rentang itu tertera ayat seperti 'Kami Pemuda PAS membantah kerajaan negeri lulus 96 lesen rumah urut, 1,367 hiburan awam di Pulau Pinang'.
Satu daripada lokasi dipasang kain rentang itu adalah di pagar Masjid Negeri di sini.
Kawasan lain dipercayai turut dipasang kain rentang berkenaan adalah di Balik Pulau iaitu depan Pejabat Pertubuhan Peladang, Jalan Kampung Terang berhampiran balai bomba, simpang tiga Masjid Pulau Betong, simpang tiga Jalan Ayer Puteh, papan tanda bulatan pekan Balik Pulau dan stesen bas Balik Pulau.

Gelombang banjir kedua mula dirasai di Kelantan



PASIR MAS 25 Nov. - Gelombang banjir kedua mula melanda negeri ini apabila beberapa kawasan di Rantau Panjang telah dinaiki air yang membabitkan beberapa buah rumah.
Air mula naik sejak petang semalam ekoran air Sungai Golok yang mula melimpah selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu di selatan Thailand dan negeri ini.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bersedia sepenuhnya dari segi logistik dan bantuan menyelamat seandainya situasi menjadi semakin buruk menyebabkan ramai keluarga perlu dipindahkan.
Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, kesemua 729 pusat pemindahan banjir serta agensi menyelamat yang terlibat telah bersedia sepenuhnya.
Jelas beliau, satu mesyuarat tergempar telah diadakan petang ini di sini untuk memastikan jaminan koordinasi antara semua agensi yang terlibat dalam usaha menyelamat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menjaga kebajikan mangsa.
"Kita memang sudah bersedia dan sebab itu juga saya datang hari ini untuk memastikan semua persiapan termasuk pusat pemindahan banjir, tandas, makanan dan keperluan lain boleh digunakan bila-bila masa.
"Kita juga bermesyuarat hari ini untuk memastikan semua agensi penyelamat yang terlibat dapat menjalankan tugas mereka dengan baik dan mengelakkan berlaku beberapa kesilapan seperti kejadian banjir sebelum ini," katanya kepada pemberita semasa melawat pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjung di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah JKM negeri, Md. Noor Chik dan Setiausaha MKN negeri, Mohamad Roslee Mamat.
Mohamed berkata, MKN turut meminta bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menyediakan beberapa helikopter di Pangkalan TUDM Gong Badak bagi memudahkan ia digunakan pada bila-bila masa diperlukan.
Tambahnya, setiap agensi penyelamat juga telah mempamerkan aset masing-masing termasuk jaket keselamatan, bot serta lori dan jumlahnya juga mencukupi untuk digunakan.
Dalam pada itu, maklumat daripada laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga pukul enam petang ini turut menunjukkan paras air Sungai Golok telah melepasi tahap berjaga-jaga, manakala sungai lain di seluruh negeri berada pada paras berjaga-jaga.
Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada kedalaman 8.22 meter menghampiri paras bahaya atau sembilan meter, manakala di Jenob, bacaan berada pada paras 20.03 meter di atas paras normal.

‘Kerana cinta hidup merana’





JAKARTA 25 Nov. – Masih ramai wanita Malaysia yang terlantar di Indonesia kerana ‘mencari cinta’ walaupun Kedutaan Besar Malaysia hanya merekodkan 22 kes sejak 10 tahun lepas.
Jurucakap kedutaan berkata, jumlah sebenar dipercayai lebih besar kerana statistik itu hanya berdasarkan laporan daripada pihak berkuasa Indonesia dan keluarga mangsa kepada pihak kedutaan.
Daripada jumlah tersebut, 14 kes membabitkan mereka yang terlantar di Lombok, Nusa Tenggara Barat dan selebihnya di Sulawesi, Jawa Timur dan Jambi.
Jurucakap Bahagian Kaunselor Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia berkata, setakat ini sebanyak 10 orang telah dihantar pulang, manakala 12 orang lagi masih dikesan.
Di Lombok sahaja, katanya, terdapat lapan kes membabitkan wanita di bawah umur dan enam daripada mereka telah dihantar pulang.
Walaupun telah banyak laporan media mengenai kes sedemikian, tetapi wanita Malaysia tidak pernah serik dan terbaru wanita berusia 35 tahun dari Kuala Terengganu terlantar selama setahun, tiga bulan di Lombok selepas ditinggalkan kekasihnya yang pulang bekerja di Malaysia.
Harlizan Ibrahim kini terpaksa ditempatkan di sebuah pusat penjagaan orang terlantar di Mataram kerana keluarga lelaki berkenaan terlalu miskin untuk menyara hidup wanita itu dan anak lelakinya, 6, yang dilahirkan di Lombok.
Pembiayaan kos untuk melahirkan anaknya di hospital juga dikatakan dibayar sendiri oleh wanita itu yang terpaksa menggadai semua barangan kemas miliknya.
Jurucakap itu menjelaskan, pihak kedutaan bersedia membantu wanita berkenaan untuk pulang ke Malaysia, termasuk menyelesaikan masalah Harlizan yang tinggal lebih masa di Indonesia.
Bagaimanapun, kata beliau, anak lelaki Harlizan harus terlebih dahulu memiliki surat beranak dan pasport Indonesia sebelum diuruskan visa yang sesuai bagi membolehkan dia masuk serta tinggal di Malaysia.
Ini adalah kerana mengikut undang-undang kewarganegaraan di Indonesia, anak yang lahir dari perkahwinan seorang ayah warganegara Indonesia dengan ibu warganegara asing secara automatik menjadi warganegara Indonesia.
Pihak Kedutaan Malaysia telah berhubung dengan Harlizan sejak 6 November lepas dan kali terakhir pada 21 November bagi urusan membantunya.
Laporan media tempatan menyatakan Harlizan sebenarnya tidak mahu pulang ke Malaysia kerana malu kepada keluarganya dan difahamkan juga pada masa yang sama pusat penjagaan terbabit tidak lagi sanggup menanggungnya serta anak.
Oleh sebab situasi itu Harlizan mengalami tekanan jiwa dan sebanyak dua kali terpaksa dirujuk ke hospital sakit mental.
Harlizan yang kini ditempatkan di Pusat Penjagaan Bude Rini di Selagalas, Kota Mataram mengaku hidupnya di kawasan pedalaman Lombok sangat susah sehingga terpaksa memasak menggunakan kayu api.
Pada bulan pertama berada di Lombok dia masih lagi berkomunikasi dengan teman lelakinya yang dikenali sebagai Asitah melalui telefon selular, namun setelah empat bulan, lelaki yang diharapkan memberi perlindungan dan kasih sayang, meninggalkannya sebatang kara di negara asing. – Utusan

Anwar paling bahaya - Ezam



KELANG 25 Nov. - Bekas Ketua Angkatan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor (gambar) menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ancaman sebenar kepada kestabilan kaum dan masa depan negara berdasarkan percaturan politiknya.
Menurut Mohamad Ezam, Anwar melakukan pembohongan serta membangkitkan perasaan kebencian antara kaum hanya untuk mendapatkan sokongan bagi membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.
Katanya, tindakan Penasihat PKR itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia jelas bertentangan dengan semangat dan perjuangan pemimpin terdahulu yang membentuk perpaduan dengan sifat kejujuran, kasih sayang serta prinsip setiakawan.
"Kita tidak boleh bina negara ini dengan pembohongan, sifat tidak jujur dengan menyatakan perkara-perkara yang palsu.
"Anwar merupakan seorang yang paling bahaya, dia akan rosakkan kita (Melayu, Cina dan India) dengan pembohongan. Adakah orang seperti ini mahu kita jadikan sebagai pemimpin negara," katanya ketika berucap dalam ceramah bertajuk 'Siapakah Anwar Ibrahim' anjuran MCA Bahagian Kelang di sini malam tadi.
Tambah Mohamad Ezam, percaturan politik tidak bertanggungjawab Anwar itu dilihatnya sendiri apabila pemimpin pembangkang itu mengarahkannya untuk 'menyerang' Dasar Ekonomi Baru (DEB) kononnya sebagai punca kepada amalan rasuah di negara ini.
Katanya, ketika itu Anwar mahu beliau menghina dasar tersebut selain membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Cina dan India terhadap DEB serta kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Dia (Anwar) mahu saya hina (DEB), barulah orang India dan Cina sokong beliau. Saya kata kalau tidak setuju dengan kerajaan, jangan hina DEB. Tapi Anwar nak dapatkan sokongan, dia mewujudkan perasaan benci kaum Cina dan India terhadap DEB dan kerajaan," jelasnya.
Kata Mohamad Ezam lagi, percaturan politik itu menurut Anwar harus dilakukan kerana Penasihat PKR itu mengakui bahawa amat sukar untuk mendapatkan sokongan orang Melayu untuk membolehkannya berkuasa.
Jelasnya, Anwar ketika itu menyatakan bahawa untuk mendapatkan sokongan Melayu sepenuhnya mungkin sukar dan paling banyak pun hanya 60 peratus akan sokong beliau, manakala 40 peratus tetap menyokong UMNO.
"Kata Anwar, kalau menaikkan kemarahan orang Cina dan India mungkin boleh mendapat 80 hingga 90 peratus sokongan kaum itu dan kalau tak dapat Putrajaya, dapatkan beberapa buah negeri," dedahnya lagi.
Mohamad Ezam menyifatkan percaturan politik Anwar itu merupakan satu strategi jahat yang akan merosakkan negara dan hubungan antara kaum kerana ia menyemai kebencian di kalangan rakyat.

Penduduk sengsara diancam bunyi bising



PADANG SERAI 25 Nov. - Lebih 1,200 penduduk di beberapa kampung dekat sini diancam pelbagai masalah berkaitan alam sekitar termasuk pencemaran bunyi ekoran pembinaan rumah burung walet secara berleluasa di kawasan tersebut.
Malah, kewujudan rumah burung walet yang semakin aktif di Kampung Paya Ketiau itu dikhuatiri mengundang ancaman penyakit kerana ia dibina hampir dengan penempatan penduduk.
Kehadiran lori-lori besar yang berulang-alik membawa muatan tanah dan bahan binaan projek turut merosakkan jalan mini tar di kawasan berkenaan.
Penduduk mendakwa, sehingga kini, lebih dua kilometer jalan mini tar di kawasan Kampung Paya Ketiau menghala ke Kampung Bukit Sidam, Sidam Kanan, Lesung Tujuh dan Teluk Bilu rosak teruk kerana dilalui lori yang membawa lebih muatan.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Paya Ketiau, Mohd. Yusof Din berkata, kerja-kerja membina rumah burung walet itu dijalankan secara berleluasa sejak dua tahun lalu.
Katanya, keadaan tersebut telah mengganggu ketenteraman penduduk sekitar selain dicemari najis burung.
"Pengusaha rumah itu telah membuka pembesar suara rakaman bunyi bagi memanggil burung walet daripada awal pagi sampai lewat malam," dakwanya kepada pemberita selepas mengetuai kira-kira 30 penduduk mengadakan perhimpunan secara aman membantah kegiatan tersebut di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Yusof, pencemaran bunyi yang terhasil itu turut mengganggu para pelajar sekolah mengulang kaji pelajaran.
"Mereka terganggu dengan bunyi bising itu dan ada antara mereka terpaksa berpindah ke rumah rakan atau saudara mara di tempat lain," jelasnya.
Tambah beliau, sehingga sekarang, sebanyak sembilan buah bangunan rumah walet setinggi tiga hingga empat tingkat telah didirikan di kampung itu.
"Kita diberitahu sekurang-kurangnya tiga lagi sedang dalam pembinaan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Talib Awang, 48, berkata, projek pembinaan rumah burung walet yang kesemuanya dimiliki orang luar dari kawasan itu bukan saja mengganggu penduduk tetapi turut mengundang banyak masalah.
"Antara masalah yang dihadapi ialah jalan yang digunakan rosak teruk selain kebersihan kawasan tidak terjamin," jelasnya.
Beliau berkata, penduduk pernah mengemukakan aduan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kulim serta Jabatan Kesihatan Daerah tetapi mendapat makluman mengecewakan.
"Mereka beritahu bahawa ia tidak ganggu penduduk, tetapi sekarang ia benar-benar mengancam ketenteraman kami," katanya.
Beliau berharap, pihak berkuasa terutamanya kerajaan negeri mendapatkan maklum balas daripada penduduk setempat terlebih dahulu sebelum meluluskan pembinaan rumah burung walet.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas, Abdul Rahman Mahamud ketika dihubungi memberitahu, pihaknya kecewa kerana jalan mini tar yang digunakan penduduk kampung itu rosak teruk akibat dilalui lori-lori besar ke projek pembinaan rumah burung walet.
Kata beliau, pihaknya akan membantu penduduk mengemukakan aduan secara rasmi terhadap Pejabat Tanah dan Daerah Kulim untuk diambil tindakan segera.
"Selain itu, Pejabat Pembangunan Persekutuan juga bersetuju memperbaiki jalan mini tar yang rosak dalam tempoh terdekat.
"Sebanyak RM336,800 diperuntukkan untuk memperbaiki jalan mini tar kampung ini," katanya.