Monday, October 3, 2016

Muhyiddin: RM42 juta masuk akaun Najib


NOOR HAYATI BINTI MAMAT
3 OKTOBER 2016
Muhyiddin: RM42 juta masuk akaun Najib

Muhyiddin: RM42 juta masuk akaun Najib Muhyiddin (tengah) bersama kepimpinan Pas pelbagai peringkat sewaktu Ceramah Perdana Harap 3.4 di Kemasek, Kemaman.
KEMAMAN - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pernah bertanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang wang dalam akaun peribadi pemimpin nombor satu negara itu.

Ini dinyatakan Muhyiddin sewaktu berucap pada Ceramah Perdana Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.4 di Kemasek, di sini, malam kelmarin namun tidak menyatakan tarikh pertemuan yang didakwa itu.

Muhyiddin berkata, , Abdul Gani bertanya berhubung wang RM42 juta dalam dua akaun persendirian yang ada kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kejadian itu berlaku sewaktu Abdul Gani masih lagi dalam perkhidmatan. Saya diberitahu, peguam negara berjumpa PM (perdana menteri) dan maklumkan kepada Najib dalam siasatan dibuat SPRM didapati wang dengan kadar jumlah itu ada dalam akaun PM.

“Saya juga dimaklumkan, apabila perkara itu diberitahu kepada PM, beliau nafikannya dengan memaklumkan tidak ada, sedangkan telah disahkan ada oleh peguam negara. Terbukti wang itu ada di situ kerana beliau membelanjakan wang itu,” katanya.

Muhyiddin mendakwa, bekas peguam negara itu pernah menjelaskan wang bernilai RM42 juta itu disuntik ke akaun persendirian perdana menteri melalui dua syarikat seperti dilaporkan, iaitu ada beberapa deposit wang dibuat ke akaun perdana menteri.

Katanya, SPRM ketika itu hanya menumpukan siasatan menjurus kepada dana daripada bekas anak syarikat seperti SRC International serta 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sinar Harian telah menghubungi Abdul Gani untuk mendapat komen lanjut, tetapi tiada respons.

Ceramah anjuran Pas Terengganu itu dibanjiri lebih 3,500 orang.Turut menyampaikan ceramah ialah Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Ezam Keluar Umno



Diterbitkan: Ahad, 2 Oktober 2016 10:20 PM

PETALING JAYA: Bekas senator, Mohamad Ezam Mohd Nor pada Ahad mengumumkan keluar daripada Umno.

Beliau yang menyertai parti itu pada 2008 berkata, keputusan berkenaan dibuat kerana Umno kini menurutnya tidak serius menentang rasuah dan penyelewengan.

"Hari ini 1 Muharam 1438H saya membuat keputusan untuk tidak lagi bersama parti Umno.

Saya membuat keputusan sukar ini demi mempertahankan prinsip saya berjuang demi melakukan perubahan (islah) sedaya upaya saya," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Ahad.

Menurut Ezam sejak menyertai Umno, beliau turut memberi tumpuan kepada pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Saya tetap bersangka baik kepada kerajaan transformasi di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan melakukan segala usaha mempengaruhi pentadbiran melakukan perubahan khususnya OSA.

"Apa yg berlaku adalah sebaliknya. OSA bukan sahaja tidak digubal tetapi digunakan atau lebih tepat lagi disalahgunakan keatas laporan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) kes 1MDB. Satu kes yang langsung tidak membabitkan soal keselamatan negara yang mewajarkan penggunaan OSA," katanya.