Tuesday, September 24, 2013

Switzerland haramkan purdah


24 September 2013
BERN - SWITZERLAND . Switzerland bakal mengikut jejak Perancis dan Belgium dalam mengharamkan pemakaian purdah.

Media melaporkan, buat kali pertama penduduk di Selatan Swiss Canton, Ticino diarah berbuat demikian.

Dua pertiga daripada pengundi menyokong larangan itu sebelum diluluskan Parlimen.

Aktivis, Giorgio Ghiringhelli yang membangkitkan perkara itu berkata, keputusan tersebut akan dihantar kepada Organisasi Islam Switzerland.

“Sesiapa menyokong usul ini amat dialu-alukan, tetapi bagi yang mengikut undang-undang agama, mereka tidak dipelawa untuk mengundi,” katanya dipetik dari laporan Press TV.

Pemimpin kanan Parti Rakyat Demokrat Christophe Darbellay bersetuju dengan undian itu dan menganggap pemakaian purdah adalah simbol penindasan wanita.

Difahamkan, pada tahun lalu, usaha mendapatkan larangan pemakaian purdah di tempat awam ditolak Parlimen biarpun terdapat lebih 400,000 masyarakat Muslim di negara itu.

Timor Leste haram silat


2013/09/24
Dili: Polis Timor Leste tidak lagi akan bertolak ansur dengan penduduk yang terus terbabit dalam seni mempertahankan diri selepas kerajaan mengharamkan semua kelab pencak silat.

Pengharaman itu diumumkan selepas anggota kelab pencak silat terbabit dalam permusuhan hingga mencetuskan pertumpahan darah, kata pegawai semalam.
Sekurang-kurangnya 12 warga Timor Leste terbunuh dan lebih 200 cedera sejak dua tahun yang lalu kerana pergaduhan antara anggota kelab berbeza, kata Ketua Penyiasat Polis Nasional, Armando Monteiro.

Malah, pergaduhan membawa dua kematian berlaku di Indonesia, manakala kematian dan kecederaan lain berlaku di England dan Ireland.

Beliau berkata, bilangan mangsa mungkin lebih tinggi kerana ramai takut untuk melaporkan aktiviti kelab atau mendapatkan rawatan di hospital.

Tindakan tegas

“Mana-mana ahli kelab seni mempertahankan diri yang melanggar perintah kerajaan akan menghadapi tindakan undang-undang.
“Kami mengamalkan toleransi sifar untuk aktiviti seni mempertahankan diri di sini,” kata Monteiro.

Sekolah dan kelab seni mempertahankan diri sudah lama tumbuh di Timor Leste dengan ramai pelajar menentang askar ketika penjajahan Indonesia.

Mereka juga menjadi ahli sulit aktif dalam menyokong gerila dan ada yang memainkan peranan penting ke arah kemerdekaan pada 2002.

Malangnya, pelajar seni mempertahankan diri saling bermusuh dan mula membunuh lawan seperti yang berlaku pada 2006 ketika krisis politik ganas melanda hingga berpuluh-puluh maut dan berpuluh-puluh ribu menjadi pelarian.

Dalam banyak kampung dipulau itu, pelajar mula belajar pencak silat pada usia 13 tahun. Ia kini diharamkan bersama dengan karate, Kung-Fu, taekwondo dan judo.

Perdana Menteri, Xanana Gusmao mengeluarkan resolusi mengharamkan kelab seni mempertahankan diri, dua bulan lalu.
AP 

Keganasan baru di Zamboangadi selatan Filipina


Pasukan polis dan pakar bom tentera menjalankan siasatan di tempat kejadian letupan bom yang memusnahkan sebuah bas, mengakibatkan tiga orang terbunuh di bandar Zamboanga pada Jumaat lalu. Kejadian itu dipercayai dilakukan kumpulan bersenjata MNLF. - REUTERS
ZAMBOANGA 23 Sept. - Kumpulan bersenjata Barisan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) mencetuskan keganasan terbaharu di selatan Filipina, hari ini apabila bertindak menyerang sukarelawan pro-kerajaan di bandar Midsayap, 237 kilometer dari bandar Zamboanga dan menjadikan penduduk sebagai tebusan.
Pertempuran di tengah kepulauan Mindanao itu tecetus, ketika pertempuran antara tentera kerajaan dengan satu lagi kumpulan bersenjata masih berlaku yang masuk minggu ketiga di bandar ini.
Jurucakap tentera wilayah, Kolonel Dickson Hermoso berkata, anggota BIFF menyerang sukarelawan pro-kerajaan di bandar Midsayap sebelum subuh dan berundur bila bantuan tentera tiba.
Katanya, seorang anggota tentera terbunuh, manakala penduduk melaporkan melihat empat mayat anggota BIFF dibawa oleh rakan-rakan mereka.
Kumpulan bersenjata itu menjadikan 15 orang guru dan petani sebagai perisai manusia bagi menghalang pasukan keselamatan mengejar mereka sebelum membebaskan sebahagian tahanan tidak lama kemudian.
''Sebanyak tiga tebusan masih berada di tangan BIFF dan seorang ulama dihantar bagi membebaskan mereka,'' katanya.
Hermoso dan jurucakap BIFF, Abu Misry Mama mengesahkan keganasan itu tidak mempunyai kaitan dengan konflik membabitkan kumpulan bersenjata di bandar Zamboanga.
''Pertempuran ini tiada kaitan dengan insiden di Zamboanga. Ia berbeza dengan apa yang berlaku di Zamboanga. Musuh kami adalah tentera dan kami mahu mereka keluar,'' kata Mama kepada stesen radio DXMS. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130924/lu_03/Keganasan-baru-di-Zamboangadi-selatan-Filipina#ixzz2fu7qm4eR
© Utusan Melayu (M) Bhd