Thursday, March 20, 2014

Zunar pertahan kartunnya dalam Washington Post

KUALA LUMPUR: Kartunis politik, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque mempertahankan kartunnya yang tersiar dalam Washington Post dan menyifatkan ahli akademik yang mengkritiknya sebagai “pembela Perdana Menteri” dan “tidak cukup membaca”.
Dalam satu kenyataan media, beliau merujuk berita yang disiar The Star Online semalam bertajuk "Local cartoonist Zunar slammed over Washington Post comic strip" (Kartunis tempatan dihentam kerana kartun dalam Washington Post).
Berita tersebut memuatkan komen Ketua Politik, Keselamatan dan Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang mengulas karya Zunar berhubung isu kehilangan pesawat MH370 di akhbar Washington Post, Selasa lalu.
Akhbar Amerika itu menyiarkan kartun Zunar dalam artikel bertajuk, "Cartoon of the day: Malaysian artist on the lost jet — and his government’s ‘weak’ response to it” (Kartun hari ini: Artis Malaysia komen mengenai kehilangan jet serta kerajaan yang 'lemah'.
Mustafa seperti dilaporkanThe Star Online menyifatkan karya Zunar sebagai “tidak sensitif dan menyimpang”  serta "hanya spekulasi dan tuduhan liar".
Kartun karya Zunar itu disiar web portal Malaysiakini dan dimuatkan semula dalam blog Zunar diwww.zunar.my.
Menjawab bidasan Mustafa itu, Zunar tegas dengan pendirian bahawa kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib Razak sangat lemah dalam menangani tragedi yang menimpa kapal terbang MH370.  
“Saya memahami sesetengah ahli akademik kerjanya membela Perdana Menteri, tetapi Prof Datuk Dr. Mohamed Mustafa nampaknya tidak cukup membaca sebelum dia membuka mulut.
“Sebagai makluman, saya membuat kesimpulan yang kemudian diterjemah dalam kartun hasil dari pembacaan serta analisis yang bukan saja diperolehi bmelalui media perdana tempatan saja, tetapi melalui puluhan media antabangsa lain juga,” ujarnya. 
Zunar menyarankan Mustafa agar menonton dan membaca ulasan agensi media antarabangsa seperti CNN, Al Jazeera, Washington Post, Jakarta Post dan South China Morning Post tentang insiden kehilangan pesawat MH370 selain akhbar tempatan.
Menurutnya, jika Mustafa meluaskan pembacaannya, pasti beliau akan terbaca bagaimana China, Amerika, Vietnam dan Indonesia sangat kecewa dengan Malaysia yang didakwa tidak berkongsi maklumat penting kehilangan pesawat MH370.
“ BBC melaporkan bahawa kaum keluarga penumpang di China mengugut untuk melancarkan mogok lapar sekiranya pihak berkuasa Malaysia gagal untuk memberi mereka sebarang maklumat tepat mengenai MH370. 
“Saya tidak menyatakan bahawa kita harus percaya segala laporan media luar negara, tetapi pemahaman kita akan menjadi sangat cetek jika kita hanya membaca akhbar arus perdana,” tegas beliau. 
Menurut Zunar, sebagai kartunis beliau berusaha memberi sudut pandangan yang berbeza supaya pembaca mendapat perspektif yang lebih baik bagi pendebatan yang sihat. 
Falsafah kartun "how can I be neutral, even my pen has a stand", ujarnya menghendaki beliau mempunyai etika berkartun dalam menyampaikan mesej dan pandangan.
“Saya membuat banyak kajian dan mengumpul seberapa banyak maklumat dari perspektif yang berbeza,” ujarnya.  
Zunar pernah ditahan di bawah Akta Hasutan kerana melukis kartun manakala tujuh buku beliau diharam oleh kerajaan.  
Zunar juga menerima anugerah "Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011" oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis, Washington dan pernah mengadakan pameran solo di peringkat antarabangsa.  

Korban pertama krisis Crimea


Beberapa anggota tentera Ukraine yang ditahan, dipaksa menghadap dinding ketika operasi oleh pasukan tentera Rusia di Simferopol, kelmarin. - AFP
KIEV 19 Mac - Krisis di wilayah autonomi Crimea, akhirnya mengakibatkan korban yang pertama apabila seorang askar Ukraine maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan bersenjata pro-Rusia, semalam.
Kejadian itu berlaku di sebuah kem tentera Ukraine di Simferopol ketika Perdana Menteri Ukraine, Arseniy Yatsenyuk memberi amaran bahawa krisis tersebut kini memasuki fasa ketenteraan.
"Tentera pro-Rusia telah melepaskan tembakan ke arah askar Ukraine dan tindakan itu merupakan jenayah perang.
"Saya telah meminta Menteri Pertahanan, Andrii Deshchytsya mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatnya dari Britain, Perancis dan Rusia bagi mencari jalan mengelakkan krisis Crimea meruncing," katanya.
Malah, kebimbangan tercetus peperangan antara Kiev dan Moscow semakin memuncak apabila Presiden sementara negara ini, Oleksander Turchinov memberi kebenaran terhadap askar Ukraine di Crimea untuk menggunakan senjata bagi melindungi nyawa mereka.
Arahan penggunaan senjata itu yang pertama seumpamanya dikeluarkan selepas tentera Ukraine yang ditempatkan di Semenanjung Laut Hitam, dikepung oleh tentera Rusia sejak tiga minggu lalu.
Kementerian Pertahanan Ukraine dalam kenyataannya menjelaskan, arahan itu dibuat berikutan kematian tenteranya.
Sementara itu, kira-kira 200 anggota kumpulan bersenjata pro-Rusia dilapor menceroboh masuk sebuah bangunan di ibu pejabat Tentera Laut Ukraine di Pelabuhan Sevastopol, hari ini.
Seorang jurucakap tentera laut yang enggan dikenali berkata, tiada keganasan tercetus ekoran tindakan kumpulan terbabit yang kini mengadakan perbincangan dengan anggota tentera Ukraine yang ditempatkan di situ.
Jelasnya, kumpulan itu dipercayai sukarelawan yang menyokong peralihan Crimea di bawah pemerintahan Rusia. - REUTERS/AFP/DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140320/lu_03/Korban-pertama-krisis-Crimea#ixzz2wRnM5S9w
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Crimea usir perunding damai



BEBERAPA militia Crimea bergelut dengan askar Ukraine di luar ibu pejabat Tentera Laut Ukraine di bandar pelabuhan Sevastopol semalam.


SEVASTOPOL - Pihak berkuasa di Crimea enggan membenarkan Menteri Pertahanan Ukraine dan seorang pegawai lain untuk memasuki wilayah berkenaan semalam.
Kedua-duanya menuju ke Crimea untuk cuba meredakan ketegangan antara wilayah berkenaan dengan Ukraine.
"Mereka tidak dialukan di Crimea," kata Perdana Menteri Crimea, Sergei Aksyonov yang dipetik agensi berita Interfax.
Dalam pada itu, beberapa ratus anggota militia pro-Rusia menyerbu dan menawan ibu pejabat tentera laut Ukraine di sini semalam tanpa menerima sebarang tentangan.
Bandar raya itu juga menempatkan pelabuhan Armada Laut Hitam Rusia manakala berpuluh-puluh ribu askar Rusia kini mengawal Crimea.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas konfrontasi antara askar Ukraine dan militia pro-Rusia yang menyebabkan dua orang terbunuh.
Dalam perkembangan berasingan, komander Tentera Laut Ukraine, Sergei Gaiduk kini ditahan pihak berkuasa Crimea untuk disoal siasat sekali gus meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.
Tentera Ukraine yang kecil bilangannya di Crimea kini semakin tertekan sejak wilayah berkenaan menyertai Rusia kelmarin.
Sementara itu, Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi jaminan kepada pemimpin Lithuania dan Latvia bahawa AS akan mempertahankan mana-mana anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) jika negara berkenaan diserang.
Jaminan tersebut diberikan ketika Rusia mengambil Crimea di Ukraine menjadi sebahagian wilayahnya.
Lithuania dan Latvia merupakan anggota NATO. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0320&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2wRiWqlZk 
Hakcipta terpelihara